Wednesday 17 February 2016

MENILAI KEMEROSOTAN MAHASISWA

Ramai yang mengatakan tentang isu pemerkasaan mahasiswa atau student empowerment, baik dari kalangan individu ataupun persatuan, kerajaan dan pembangkang. Masing-masing membawa skop pandangan tersendiri terhadap isu ini, dengan hujah untuk menguatkan pandangan tersebut.


PENILAIAN PUNCA SEBENAR

Saya berpendapat, kemerosotan mahasiswa perlu dinilai secara holistik dan menyeluruh. Penilaian tidak boleh dibuat hanya pada aspek akademik atau aktivisme semata-mata. Salah penilaian akan membawa kepada natijah yang salah, lantas membuahkan rawatan yang tersasar dari usul masalah. Dikhuatiri rawatan yang sepatutnya mengubati masalah, sebaliknya menimbulkan penyakit masalah yang baru dan lain pula.

Pada pemerhatian saya, punca terbesar kemerosotan mahasiswa adalah kerana kekeringan agenda di peringkat akademik dan aktivisme. Tiada agenda jelas yang ingin diperolehi dari pembelajaran akademik, serta aktivisme melulu tanpa mengambil kira hakikat aktivisme yang sebenarnya. Kerana inilah, kita dapat melihat lahirnya dari rahim institusi pengajian ini,  mahasiswa cemerlang yang hanya terperuk di perpustakaan tanpa bercampur dengan masyarakat, mahasiswa aktif dalam persatuan tetapi gagal dalam akademik, serta mahasiswa yang hanyut dengan dunia game dan movie yang melampau.


AGENDA YANG DIPERLUKAN




Ada juga mahasiswa yang kononnya berjuang untuk kebebasan akademik, tetapi rupanya kebebasan yang diperjuangkan itu sempit dan tidak lain hanya berlegar di sekitar lingkaran politik kepartian. Hakikat kebebasan akademik yang sepatutnya diperjuangkan adalah kemudahan akses untuk pelajar yang mengambil sesebuah bidang pengajian khusus, untuk mendalami subjek di luar pengkhususannya dengan mudah. Ini adalah kerana menara gading merupakan lubuk ilmu yang agung berbanding sekolah rendah dan menengah. Hanya mahasiswa yang beragenda dan  cakna dengan objektif kewujudannya di universiti (iaitu untuk berkhidmat kepada umat dan masyarakat) akan tahu kenapa penguasaan dari pelbagai bidang pengajian amat diperlukan untuk memberikan sumbangan yang terbaik pada umat.

Ilmu juga pada hakikatnya dinamik, dan menggerakkan minda serta jasad mereka yang memperolehinya. Ilmu yang hakiki tidak jumud dan rigid, yang mengurung penuntutnya dalam dinding perpustakaan semata-mata. Jadi, ilmu itu sebenarnya menjadi hujjah kenapa ilmuwan perlu turun dan membimbing masyarakat awam yang jahil, bukannya menjadi alasan untuk lebih eksklusif dan membiarkan umat dibimbing oleh mereka yang bukan ahli dalam bidang tersebut. Ilmu itu adalah sebuah asbab yang kukuh untuk mencambahkan aktivisme pada kalangan ilmuwan.

Aktivisme yang berpaksikan ilmu sebenar, tidak boleh disia-siakan pada aktiviti hiburan dan kebajikan semata-mata tanpa agenda yang jelas berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Saya bukan ingin mengkritik badan-badan amal serta kebajikan, bahkan sebenarnya memang banyak pembelaan pihak-pihak yang memerlukan dapat diberikan dengan projek hasil inisiatif badan-badan kebajikan ini. Tetapi, agenda islah umat tidak akan mampu dilaksanakan melainkan jika aktivisme dakwah digencarkan, bukan sekadar di peringkat mahasiswa atau belia, tetapi di semua peringkat dari kanak-kanak hinggalah ke peringkat dewasa. Aktivisme dakwah merupakan aktivisme yang paling mulia, serta yang paling menepati kehendak ilmu (iaitu supaya disebarkan) seperti yang disabdakan olen baginda Rasul S.A.W.

Saya sedar, ramai juga dari ahli gerakan Islam di kampus-kampus universiti yang tergolong juga dalam kalangan mereka yang saya sebutkan di atas. Namun, saya tegaskan, ahli gerakan Islam juga tidak mampu melepaskan diri dari menjadi mereka yang merosot nilai mahasiswanya. Jadi tidak pelik jika berlakunya simptom-simptom yang sama hatta pada penggerak Islam di kampus dan kolej universiti. Akan tetapi, kewujudan mereka ini tidak menafikan peri pentingnya agenda di sebalik akademik dan aktivisme dalam kalangan mahasiswa.


Ini hemat saya. Apa pula hemat anda dalam isu ini?

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon