Friday 6 March 2015

SAYYID QUTB DAN TAKFIR; SEBUAH PENJELASAN

Baru-baru ini tersebar status yang mengkritik kitab Di Bawah Naungan Al Quran  (Fī Zilāl Quran), tulisan Asy-Syahīd Sayyid Qutb. Istilah yang sering digunakan iaitu masyarakat jahil (mujtama3 jāhiliy) dikatakan menjadi paksi kepada radikalisme dan terrorisme yang disalahtafsirkan oleh sebahagian umat Islam, dan disandarkan salahfaham radikal itu kepada jemaah Ikhwan Muslimin, dan dikaitkan dengan ISIS, Hizbullah, Al-Qaeda dan HAMAS. 

Tuduhan yang disandarkan ini bukanlah tuduhan-tuduhan baru, tetapi semboyan lama yang kini dialunkan kembali oleh beberapa masyaikh Al-Azhar, antaranya bekas mufti Mesir sendiri iaitu Syeikh Dr. Ali Jum3ah dan Syeikh Usamah Sayyid Al Azharī.

Saya merupakan antara peminat tegar tulisan Asy-Syahīd Sayyid Qutb sejak di bangku persekolahan lagi. Buku Fī Zilāl Quran, Inilah Islam (Hāzā Ad Dīn), Masa Depan Untuk Islam (Al-Mustaqbal Lihāzā Ad-Dīn), Petunjuk Sepanjang Jalan (Maālim fi At-Torīq) dan Keadilan Sosial dalam Islam (Al-Adālah Al-Ijtimā'iyyah fil Islām) adalah buku-buku yang saya miliki, yang bagi saya cukup untuk menggambarkan pemikiran dan idea yang cuba diketengahkan oleh Asy-Syahīd.

Fikrah Pemisahan Total


Dari analisis dan pembacaan yang dibuat pada penulisan Asy-Syahīd, saya mendapati beliau mempelopori dan mengarusperdanakan fikrah Mufāsolah (Pemisahan Total) dalam pembentukan acuan pemikiran, yang mana menoktahkan bahawa agama Islam (baca: wahyu) mestilah bersih dan bebas daripada mana-mana unsur hawa dan jāhiliyyah, dalam merangka projek (masyrū3) Islam atas muka bumi. 

Fikrah ini amat mirip dengan apa yang dapat disimpulkan dari tulisan Maulānā Sayyid Abul A3lā Al-Mawdūdī, seorang Islamis yang berjuang di bumi India dan Pakistan serta pengasas kepada gerakan Jamaat el Islami di Pakistan.


Kafir Boleh Dibunuh - Syed Qutb?


Persoalan yang timbul, adakah apabila Asy-Syahīd menggunakan istilah jāhiliyyah pada mana-mana individu atau masyarakat akan memberi konotasi kafir pada golongan tersebut, lantas mentakfirkan dan menghalalkan darah mereka untuk dibunuh? Ini antara tuduhan ekstremisme yang cuba dilemparkan kepada tulisan Asy-Syahīd. Saya akan kupas persoalan ini berdasarkan apa yang saya pelajari dari kuliah Usuluddin Jabatan Aqidah dan Falsafah di Al-Azhar dalam subjek Tafsir Maudhū3ie dan Falsafah Islām.

Perkataan jāhiliyyah, apabila disandarkan pada individu atau masyarakat, tidaklah membawa konotasi kufur. Ini sangat jelas, daripada perbuatan Rasulullah menisbahkan perbuatan Abu Zar Al Ghiffārī yang menggelarkan Bilāl Bin Rabah dengan gelaran Ya Ibna Saudā' (Wahai anak si hitam; Bilal merupakan keturunan Habsyah/Ethiopia) sebagai perbuatan jāhiliyyah. Sabda baginda; يا أبا ذر إنك امرؤ فيك جاهلية"" Wahai Abu Zar, sesungguhnya pada diri kau terdapat bibit-bibit jāhiliyah)-Hadih riwayat Imam Muslim. 

Dalam isu ini, Rasulullah tidak meminta Abu Zar untuk mengucapkan lafaz syahādah kembali-menandakan lafaz jāhiliyyah tidak membawa erti takfir-tetapi hanya meminta beliau meminta maaf daripada Bilāl semata-mata. Ini jelas membezakan lafaz jāhiliyyah dan konotasi kāfir yang disalahfahami beberapa kelompok Islamis dan ulama'.

Dalam buku Langkah Bermula (Al-Muntolaq) karya Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rāsyid, beliau mengatakan dalam Bab Kami Menolak Hawa Nafsu (Narfudhu Al-Ahwā');
"Oleh kerana itu, setiap kali maksiat seorang muslim bertambah, bertambahlah KADAR JĀHILIYYAH yang ada padanya. Tetapi dia tidaklah menjadi jāhiliyyah seluruhnya, kecuali jika dia mensyirikkan Allah di dalam ibadahnya atau dia beriktikad bahawa sebahagian dari perkara yang diharamkan Allah adalah halal atau beriktikad bahawa sebahagian daripada yang dihalalkan Allah adalah haram dan beriman hanya pada sebahagian dari syariat Allah dan kufur pada sebahagian yang lain. Inilah rahsianya mengapa Rasulullah S.A.W memberi amaran agar berhati-hati ketika mengkafirkan individu yang telah zahir keIslamannya, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya: (“Wahai si kafir!” Kembalilah kufur itu kepada salah seorang dari mereka. Jika benar, maka kafirlah orang yang dikatakan. Kalau tidak, kembalilah kufur itu kepadanya")

Untuk isu takfir ini, Asy-Syahīd Imam Hasan Al Banna telah menggariskan satu uslub yang sederhana (mu3tadil) dalam Usul 20 (Usūl Isyrīn);

“Janganlah kita mengkafirkan seorang Islam yang berikrar dengan dua kalimah syahadah dan beramal mengikut tuntutannya dan menyempurnakan apa yang difardhukan kepadanya berdasarkan satu pendapat yang dipegangnya atau satu maksiat yang dilakukannya; kecuali jika dia mengaku dengan kalimah kufur atau menyangkal perkara yang perlu dan sepatutnya diketahui tentang agama, mendustakan keterangan al-Quran, atau mentafsirkannya mengikut satu perspektif yang tidak menepati uslub bahasa Arab tentang sesuatu perkara, atau membuat satu amalan yang tidak membawa pengertian lain selain dari kufur.”

Daripada penerangan di atas, jelas bahawa lafaz jāhiliyyah hanyalah bermakna individu dan masyarakat itu memiliki ciri-ciri masyarakat jāhiliyyah yang wujud sebelum Islam muncul pada awal zaman kenabian Rasulullah. Begitu juga dalam Al-Quran, Allah menisbahkan lafaz jāhiliyyah kepada keadaan masyarakat sebelum kemunculan Islam. 

Firman Allah;

"أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ"Apakah hukum Jahiliyah (yang silam) yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?[Al-Ma'idah:50]

Ikhwan Muslimin tidak tersilap dalam memahami teks dan konteks yang ada dalam siri-siri penulisan Asy-Syahīd Sayyid Qutb. Bahkan IM secara jelas menyuarakan bantahan mereka dengan cara yang aman, serta menggunakan demokrasi untuk mendapat legitimasi politik dalam pemerintahan. 

Mereka juga menafikan terlibat dalam mana-mana kegiatan terrorisme dan radikalisme di Mesir atau mana-mana negara, seperti ISIS. Keganasan yang berlaku di Sinai misalannya hanyalah wayang lama yang cuba dimainkan untuk mengkambinghitamkan IM, seperti yang berlaku semasa zaman Jamal Abdun Nasser. 

Bahkan United Kingdom sendiri tidak dapat membuktikan IM terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan seperti yang digembar-gemburkan dalam corong radio dan televisyen pro-regim. Yang wujud hanyalah justifikasi batil yang cuba melegitimasikan pemerintahan regim dengan hujah keamaman palsu.

Rujukan;

1. Fī Zilāl Qurān; Asy-Syahīd Sayyid Qutb
2. Fahmul Islam Min Zilāl Usūl Isyrīn; Al-Marhūm Jum3ah Amin Abdul Aziz
3. Al-Muntolaq; Muhammad Ahmad Ar-Rāsyid





Artikel Terkait

1 comments so far

https://www.youtube.com/watch?v=0aV9bU2O9SA


EmoticonEmoticon