Tuesday 9 August 2016

MASA DEPAN MALAYSIA, PERSPEKTIF ANAK MUDA

MUQADDIMAH

Setiap kali munculnya bulan Ogos saban tahun, pelbagai naratif kemerdekaan yang akan muncul daripada semua pihak. Ada yang mengupasnya dari perspektif sejarah, ada pula yang membawakan perspektif pencapaian negara sepanjang kemerdekaan, semuanya bagi menanam semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia.

Tetapi hakikatnya, kebanyakan naratif ini hanyalah romantisisme kemerdekaan yang sentiasa diulang setiap kali tarikh 31 Ogos berkunjung tiba, tanpa mengetahui apakah esensi kemerdekaan yang hakiki, serta perspektif Islam dalam bernegara. Kedua-dua item ini sangat penting, supaya negarawan yang patriotik jelas bagaimana kerangka sebenar membina sebuah negara yang beridentitikan Melayu Islam, bukan negara liberal plural yang menghakis jatidiri dan identiti.


KONSEP BERNEGARA DALAM ISLAM

Adakah Islam memerlukan sebuah negara? Jika ya, kenapa Islam memerlukannya?
Persoalam ini merupakan persoalan yang sangat penting untuk merungkai salah faham yang hasil percampuran faham Islam dengan faham liberalisme dan sekularisme. Islam bukan sekadar agama dalam skop individu, tetapi merupakan agama yang juga dinamik dalam skop sosial, meliputi publik dan privasi.

Kerana itu, Islam tidak sekadar melihat kesalahan-kesalahan dalam jenayah yang dihukum dengan hukum Hudud misalnya, sebagai semata-mata kesalahan individu. Tetapi ianya boleh juga  menjadi kesalahan dalam komuniti sosial sekitar individu tersebut.

Kembali kepada persoalan keperluan Islam terhadap negara. Ya, Islam memerlukan negara, atas illah perlaksanaan syariat Islam (yang menjadi suruhan di dalam nas secara qatie) yang sempurna hanya akan dapat dicapai dengan adanya sebuah kerajaan dan negara. Walaupun di dalam Al Quran tidak dijelaskan dengan sorīh istilah Dār Al-Islām, namun persoalan yang timbul, bagaimanakah hukum-hakam qadha' dan jenayah mampu dilaksanakan jika pemerintahan dan kekuasaan bukan milik umat Islam? Di manakah juga kita meletakkan sirah baginda Rasul sebagai pembina negara Islam pertama jika kita menyatakan Islam tidak memerlukan sebuah negara? Selain itu, illah Islam memerlukan sebuah negara juga atas dasar kesyumulannya yang merangkumi maslahat duniawi (kerajaan dan urusan pentadbiran) serta ukhrawi (keselamatan dari azab neraka).

Persoalan seterusnya yang timbul selepas soalan di atas, apakah pula konsep negara yang Islam kehendaki? Di sini kebanyakan ulama', fuqaha' dan mufakkir Islam berkhilaf, bahkan khilaf ini berlanjutan lebih-lebih lagi dalam menyesuaikan konsep negara Islam dalam kerangka moden negara bangsa yang dipaksakan perlaksanaannya kepada setiap negara di seluruh dunia. Mufakkir Islam Asy-Syahid Sayyid Qutb rhm berpendapat bahawa negara Islam adalah negara yang menjalankan undang-undang Islam dan berhukum dengan syariat Islam, manakala pengasas gerakan Jamaat Islam Maulana Abul A'la Al-Mawdudi menyifatkan konsep teodemokratik (menggabungkan separuh konsep negara teokratik dan demokratik) adalah  paling hampir dengan konsep negara Islam.

Maqasid negara Islam pula adalah untuk mendirikan syiar agama, menyebarkan keadilan dan tadbir urus yang baik, mengembangkan dakwah Islam kepada manusia seluruhnya, serta berjihad mempertahankan Islam dari sebarang bentuk ancaman samada dari dalam ataupun luar.


HAKIKAT KEMERDEKAAN



Sebagaimana yang disebut dalam muqaddimah tadi, kemerdekaan mempunyai perspektif yang pelbagai. Ada yang menyifatkannya sebagai sebuah kebebasan dari cengkaman penjajah, tidak kurang juga yang mengatakan merdeka untuk menentukan jatuh bangun negara sendiri tanpa campur tangan dari pihak luar. Benar kemerdekaan adalah kebebasan, twtapi tidak cukup sekadar itu. Kemerdekaan hakikatnya adalah pemeliharaan jatidiri dan identiti umat Melayu Islam. Sejauhmana kita berjaya memelihara jatidiri dan identiti dalam 59 tahun kemerdekaan yang sudah dikecapi?

Taruhan kemerdekaan pula adalah pada survival umat Melayu Islam dalam meniti arus globalisasi dan liberalisasi, bukan semata-mata pada perubahan atau pengekalan kuasa yang berlaku melalui pilihanraya dan peti undi. Isunya bukan pada parti mana yang anak muda pilih, tetapi pada cara pemilihan itu dilakukan dalam skop survival umat. Apa guna sebuah bangsa yang mempunyai rumah yang tersergam indah, bangunan pencakar langit, jawatan yang besar, khazanah dan perbendaharaan negara yang melimpah ruah tetapi maruah bangsa tergadai, identiti dan jatidiri lebur, serta kedaulatan negara diserah pada orang lain untuk dicaturkan.


REALITI MALAYSIA HARI INI

Realiti Malaysia hari ini, boleh diperhalusi dari dua sudut yang berbeza. Sudut pertama, pimpinan negara (ahli politik kerajaan mahupun pembangkang), manakala sudut kedua rakyat ataupun umat yang menjadi pengikut kepada pemimpin.

Realitinya, pemimpin samada dari pihak kerajaan atau pembangkang dibayangi masalah korupsi  nepotisme, serta ketirisan dalam pemerintahan. Tanpa perlu menyebutkan contoh secara spesifik, semua sudah boleh merumuskan bahawa masalah ini sudah mencapai tahap yang kronik, dan perlu pada rawatan sesegera mungkin.

Pemimpin Melayu Islam pula secara khusus, kebanyakannya berfikir secara stereotype dan terikut pada rentak serta trend semasa dalam memimpin. Secara zahirnya, mereka nampak rancak dalam berpolitik, berdakwah, berdemo, berdialog namun pada hakikatnya keadaan umat makin lemah dan terancam tanpa disedari. Masjid, maahad-maahad tahfiz makin galak dibina, program-program serta rancangan realiti islamik semakin banyak, namun agenda Islam masih tiada kemajuan, hanya berputar dalam pusingan yang sama. Pimpinan tertipu dengan agenda islamisasi tempelan yang tidak memberi sumbangan signifikan dalam memgembalikan hauzah al-muslimīn (hegemoni muslimin).

Sudut kedua pula, iaitu rakyat juga mempunyai masalah yang sama. Secara umumnya, rakyat terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama adalah kelompok yang langsung tidak mengambil endah perkembangan perihal negara samada semakin maju atau mundur, dan membiarkan diri terus hanyut dengan urusan harian di tempat kerja atau belajar. Yang menjadi keutamaan hanyalah periuk nasi masing-masing tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Kelompok kedua, adalah mereka yang sedar dan kritis dalam isu pembangunan negara. Namun mereka ini kebanyakannya terpengaruh dengan kerangka fikir yang diimport dari Barat, lalu meletakkan ketamadunan Barat sebagai indeks dan neraca dalam memajukan negara. Ini menyebabkan rakyat mengabaikan agenda Islam, lantas menyebabkan Islam dan semangat ketimuran tidak lagi menjadi humum utama dalam fikiran rakyat.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA pada Mesyuarat Agung ISMA 2006 telah menyatakan, "Demokrasilah (Barat) yang telah mengajar kita derhaka kepimpinan Islam (khilafah), membolos diri dari keaslian intima` kita kepada Islam, berpecah dari kesatuan Islam dan murtad terhadap nilai pegangan. Apa yang tidak boleh dipaksa dengan wasilah damai dipaksa dengan kekuatan tentera. Inilah yang sedang kita saksikan di pentas dunia hari ini. Di bawah slogan kempen demokrasi dan kebebasan, umat Islam tertipu dan membawa campur tangan musuh dalam negara sendiri."

Wal hasil, rakyat keliru dan terperangkap dalam kemelut di antara kepentingan umum umat dan percanggahan kepentingan politik. Rakyat tidak dapat membezakan pilihan-pilihan yang ada, samada ianya menepati maslahat umat atau hanya memenuhi hasrat politik tertentu yang tidak membawa apa-apa manfaat pada agenda Islam. Akhirnya umat lemah lalu diambil kesempatan atas kelalaiam dalam meneliti perancangan musuh.

Rakyat juga berpecah, seolah-olah perpaduan pada sesetengah parti politik dianggap sebagai suatu yang haram dan bertentangan dengan mazhab politik, manakala perpecahan adalah satu solusi yang ideal untuk perubahan sosio politik negara ke arah yang lebih baik. Setiap kali ada pelan perpaduan yang cuba dibangkitkan (terutama yang melibatkan parti Melayu Islam), ketika itulah muncul suara-suara sumbang yang ingin menggagalkan usaha perpaduan yang hakikatnya akan sangat memacu agenda Islam dengan lebih dinamik.


MASA DEPAN MALAYSIA YANG DIINGINKAN

Persoalan akhir yang timbul, apakah masa depan Malaysia yang diinginkan selepas kita mengetahui segala perkara ini?
Secara ringkasnya, ada empat perkara yang wajar dilaksanakan oleh kesemua pihak daei kalangan pimpinan mahupun rakyat untuk memastikan Malaysia kekal dalam kemerdekaan sebagaimana yang Islam sarankan.

1.      Kembali semula mengamalkan Islam secara menyeluruh, kerana hanya dengan Islam yang sebenar  negara terjamin untuk makmur.
2.      Mengambil Islam seperti yang diambil oleh Rasulullah SAW, dan mengambil pandangan yang sederhana dan pertengahan daripada ijtihad para ulama', serta berpegang kepada usul tanpa tenggelam dengan perbahasan masalah furu' yang tidak berkesudahan.
3.      Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Para pemimpin Melayu sewajibnya bersepakat di dalam isu-isu yang melibatkan umat Melayu Islam, jika tidak mampu bersatu dalam sebuah entiti atau organisasi.

4.      Waspada terhadap ancaman asing terhadap perpaduan dan identiti negara sepeti liberalisme, pluralisme, sekularisme, chauvinsime, gerakan kristianisasi dan juga syiah.