Monday 29 October 2012

KORBAN DAN CINTA, BERPISAH TIADA!

Banyak perkaitan yang boleh dibuat sempena dengan hari Allah Eid Adha ini. Perkaitan ataupun ta'liq perlu dilakukan, supaya maqasid disyariatkan sesuatu ibadah dapat kita hayati dan dipraktiskan dengan penuh khusyuk.

Saban tahun, seruan korban akan berkumandang di seantero dunia muslim. Ada yang berkorban harta untuk membeli bahagian-bahagian korban, ada pula yang berkorban tenaga untuk menyembelih dan melapah haiwan-haiwan korban. Tidak kurang juga yang mencapai klimaks pengorbanan harta dan tenaga, iaitu dengan menziarahi tanah yang paling mulia di muka bumi, Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah.

Falsafah korban sebenarnya amat mudah untuk ditafsirkan. Tidak perlu pada method kajian yang pelbagai. Korban adalah titik penghujung untuk sebuah CINTA. Cinta akan menuntut seorang pencinta untuk berkorban terhadap perkara atau orang yang dicintainya. Jika dilakarkan sebuah graf, cinta menjadi paksi X dan pengorbanan menjadi paksi Y, maka kita akan melihat graf tersebut adalah berkadar terus. Teorinya, semakin mendalam cinta terhadap sesuatu perkara, semakin besar pengorbanan yang akan dilakukan demi perkara tersebut.

Korban Eid Adha tahun ini di Kaherah, bersama Ikatan Muslimin Malaysia ISMA Mesir

Gelaran Khaliullah, Kekasih Allah untuk Nabi Ibrahim AS bukanlah diperoleh dengan tawa dan kegembiraan. Noktah hidup Nabi Ibrahim, antara Nabi yang memegang watak Ulul Azmi dalam kalangan Anbiya' ini, ternyata membuktikan beliau mengorbankan pelbagai perkara dan kepentingan peribadi, semata-mata untuk meraih cinta kekasih agungNya Allah S.W.T.

Nabi Ibrahim menerima cabaran seawal usiaNya seorang remaja. Dimarahi ayah dan kaumNya kerana menghancurkan berhala yang menjadi sembahan mereka. Meningkat dewasa, baginda dijatuhkan hukuman bakar oleh Raja Namrud. Setelah beristeri, baginda diuji dengan tiadanya zuriat untuk satu tempoh masa yang panjang. Akhirnya kemuncak ujian baginda adalah dengan perintah Allah agar beliau menyembelih anakandanya sendiri iaitu Nabi Ismail AS walapum baginda hanya beberapa kali sahaja sepanjang hidupnya dapat berjumpa dengan anakandanya itu.


'Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.' An-Nisa': 125

Namun, cinta yang tersemat kukuh di hatinya merelakan baginda untuk mengorbankan segalanya.

Agungnya pengorbanan Ibrahim. Sungguh yang bertakhta di hati baginda hanyalah Allah. Walaupun cintanya diuji beberapa kali dan dari pelbagai penjuru, namun cinta baginda tulus suci buat kekasihnya Allah dan bebas dari cinta fana yang lain.

Cinta akan selamanya disulami dengan pengorbanan. Korban topup, wang ringgit, masa, nyawa dan sebagainya. Cinta tanpa pengorbanan, adalah cinta retorik semata. Hanya manis meniti di bibir sahaja.

Persoalannya, siapakah yang bertakhta di hati kita, dan sebesar manakah pengorbanan kita untuk meraih cinta itu..?

'Ya Allah, letakkan Dunia itu di tanganku, dan Akhirat itu di hatiku, supaya Dunia itu senang diberi dan Akhirat itu senang dibawa mati...'


Amar Ismat,
10th District, Nasr City, Cairo.
28 Okt 2012 11.15 PM

Ramuan Segala Bagai

"Harini aku nak keluar riadhah. Tapi aku tak tahu nak main apa ni. Korang ada cadangan tak?" Tanya Fateh pada housematenya yang lain.

"Main street soccer jelah mcm biasa kat depan Imarah Selangor tu, kan ramai main kat situ." Cadang Khaled.

"Carilah kelainan sikit. Asyik nak ikut orang je. Apa kata main takraw kat sebelah Imarah Pahang, bolehlah rapatkan sket ukhuwwah dengan student negeri lain," Abg Farhan, senior Fateh dan Khaled pula bersuara.

"Mudah kau joging je Fateh, boleh kau explore tempat menarik sket sekitar Hayyu Ashir ni. Nanti boleh kau teman aku jalan-jalan nanti.." Bisik Faiz pula.

Pening jadinya Fateh. Bertalu-talu cadangan housemate menerjah telinganya. Akibat terlalu pening untuk membuat keputusan, akhirnya Fateh hanya termenung sahaja, memerhatikan mereka yang bermain street soccer, sepak takraw dan joging dari dur 4 di Imarah Selangor, bangunan yang paling gah tersergam di Kompleks Pelajar Malaysia di Hayyu Ashir, Madinat Nasr, Kaherah. Kaku dek kerana terlalu banyak berfikir akan cadangan yang diutarakan, menyebabkan dia terlupa tujuan asalnya hanya untuk beriadhah semata.



Awas!!!

Anda pasti menerima banyak kalam-kalam nasihat dan bimbingan sebelum permusafiran anda untuk mendalami ilmu. Abang-abang yang prihatin juga beraksi sedemikian rupa. Ada yang mencadangkan anda agar ikut sahaja seperti apa yang siswa lain lakukan. Ada yang menyuruh anda mencari kelainan. Tidak kurang juga yang 'menyasarkan' anda dari landasan anda yang sebenar.

Paksinya, anda adalah diri anda. Orang lain hanya mampu memotong rumput dan memberikan panduan, tapi anda sendirilah yang akan memulakan langkah bersejarah itu. Jangan kerana terlalu banyak berfikir cadangan orang lain, sehingga anda tersungkur sebelum mula melangkah.

Saya tidak hanya mahu 'melihat' sejarah itu dilakar. Saya mahu menjadi watak yang membangunkan sejarah itu. Saya ingin mencipta dan memahat sejarah yang agung dalam hidup saya.

Inilah saya, anda pula bagaimana?

Wednesday 3 October 2012

Musafir Seribu Batu

Akhirnya aku menjejakkan kaki jua ke bumi bersejarah ini. Orang Arab menggelarnya Ardhul Kinanah, Ardhul Anbiya', dan Ardhu Firaun dan Musa.

Aku menyimpan hasrat untuk berkelana di bumi ini, sejak sekian lama. Sejak aku berumur 16 tahun. Sejak itu, aku mengiringi teman-teman seperjuangan setiap tahun sehingga pada tarikh keramat 25 Sept 2012, giliran orang lain pula yang mengiringi permusafiranku. Sebak, girang, duka, teruja semua bercampur-baur dalam perasaanku. Airmata yg menitis, sama ada airmata suka atau duka pun aku keliru.

Ucapan keramat pertama sebaik sahaja aku melangkah kaki atas debu pasir Kaherah, adalah 'Ahlan Wasahlan ila Ardhil Kinanah'..!!!
Ucapan yang amat menyentuh kalbuku. Perjuangan musafir menjadi alim, tarbawi dan haraki telah bermula.

Doakan agar aku mampu menggapai impianku, dan impian semua sekalian.


Amar Ismat,
10th District, Nasr City,
Cairo, Egypt.
3 Okt 2012.

Wednesday 12 September 2012

Aku Di Mana Ya Tuhan?

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

TINGG!...Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya.Lelaki itu menoleh ke kiri,kanan dan disekelilingnya.Tiada siapa yg berdekatan dengannya.Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya. Tidak lama kemudian,lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya.Pun sama,dia mengambil dan menyimpannya. "Rezeki aku!" kata lelaki itu dalam hati.
Lelaki itu tidak sedar,logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu. Sebenarnya ,ketuanya mahu memanggilnya.Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan,cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.


Namun,jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut.Dek kerana itulah,ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas.Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.
Sayangnya,sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah,lelaki itu masihbelum juga mendongak ke atas.
Lantas,ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai.Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.
Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu.Setelah merasa sakit dan terganggu,lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi.
Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.
P/s : Sahabat sekalian,kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.Tanpa sedar,Allah sering menjatuhkan 'syiling' lambang rezeki,rahmatatau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita. Tuhan menjatuhkan 'syiling' itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.Tetapi,kita acapkali lalai untuk 'mendongak' ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi,apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian,lalu Dia jatuhkan pula 'batu' yg berupa musibah,kegagalan,keperitan dan pengalaman yg menyakitkan. Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.

Wednesday 2 May 2012

Melangkaui Kerangka Biasa

     Pernah satu malam ketika bulan Ramadhan, para Ikhwan ingin menunaikan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah. Maka timbul perselisihan dalam kalangan Ikhwan ketika itu, ada yang ingin menunaikan 8 rakaat, ada pula yang ingin menunaikan 20 rakaat. Masing-masing membawa hujah dan dalil, ada yang mengatakan Raslullah hanya menunaikan 8 rakaat sahaja secara berjemaah, tidak kurang pula ynag membawakan dalil Amirul Mukminin Umar Al-Khattab menunaikan 20 rakaat Tarawih secara berjemaah. Maka hampir berlaku tikam lidah dalam kalangan ketika itu.
     
     Lalu Imam Hasan Al-Banna datang, lalu mengarahkan semua Ikhwan untuk pulang dan menunaikan Solat Sunat Tarawih sendiri di rumah masing-masing. Beliau bertegas dalam menyuruh semua Ikhwan untuk pulang ke rumah. Lalu seorang Akh bertanya kempada Imam Hasan, " Wahai Sheikh, kenapa kau menyruh kami semua pulang ke rumah, bukankah lebih baik di dalam bulan Ramadhan ini kami mengerjakan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah? Pahalanya akan berlipat kali ganda.."





Lalu Imam Hasan Al-Banna membalas,
"Ya betul apa yang kau perkatakan. Namun, bukankah Solat Tarawih itu SUNAT sahaja hukumnya, sedangkan Menjaga Ukhuwwah itu WAJIB?"

Hebat kerangka pemikiran Imam Al-Banna. Beliau mampu menunjukkan satu contoh unggul untuk iktibar kepada kita hari ini. Yang paling penting, adalah menjaga ukhuwwah, jikah hujah dan dalil yang dibawa tidak bercanggah dengan nas dan tuntutan syarak.

Usah terperangkap dengan blok yang selamanya memisahkan. Usah menghukum orang membabi buta tanpa sebarang tasawwur yang jelas. Usah lagi berpecah.
Mari kita kembali kepada Islam, kerana di dalamnya, terdapat penyelesaian segalanya. Itu matlamat dan destinasi  terakhir kita.

Firman Allah : " Hai orang yang beriman, barang siapa di antara kamu murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan satu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang kafir yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Dan itulah kurniaan Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah Maha Luas (pemberiannya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Maidah : 54)

Firman Allah : Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Al-Hujurat : 10)


Amar Ismat
Maahad Tahfiz Ikatan Muslimin
2 Mei 2012 06.30 p.m

Thursday 15 March 2012

Bicara Sebuah Gemilang

     Bila bicara tentang kegemilangan Islam, lantas fikiran akan kita akan diterjah dengan kehebatan lahiriyah. Kemegahan jasadiyah. Gemilangnya Islam, kita akan gambarkan sebuah singgahsana agung , sebuah pusat pentadbiran yang kukuh dan hebat, laksana Zigurat bagi Tamadun Mesopotamia dan Piramid bagi Tamadun Mesir Purba.

     Itulah yang cuba didendangkan kepada kita. Kita rupanya, tersilau dengan ahwal 'Kegemilangan Islam' yang hakiki. Kita disogok dengan khabar, bahawa gemilangnya Islam itu hanya dengan kemajuan lahiriyah, jasadiyah dan material semata.   
Masjid Aya Sophia tersergam indah di Turki, salah satu daripada kemegahan Islam .
     Realitinya, gemilang Islam bukan pada material semata. Bukan dengan pembangunan lahiriyah sahaja. Bahkan sebenarnya, lakaran kegemilangan Islam itu sudah bermula dengan lahirnya Rasulullah ke atas muka bumi ini. Dan lakaran itu makin sempurna, apabila Rasulullah mencoret pula sahabat baginda dengan celupan tarbiyyah Islamiyyah yang syumul, yang baginda sendiri telah melaluinya hasil tarbiyyah Allah Maha Esa. 

     Benar. Gemilang Islam itu sebenarnya berpaksikan pada megahnya peribadi ummahnya. Islam mampu tersebar ke seantero dunia dan memimpin muka bumi ini kerana cekalnya peribadi ummahnya dalam mendakwahkan risalah. Mudah sahaja buktinya, lihat sahaja masjid di zaman nubuwwah yang hanya berlantaikan pasir, bertiangkan pohon kurma dan berbumbungkan pelepah tamar. Berbekalkan kesempitan ini, Rasulullah dan rijal sahabat ini mampu mengangkat kalimah Allah, menjadi setinggi kalimah di dunia ini.

     Perhatikan pula Abu Hafs Umar Al-Khattab. Tawadhu' sungguh peribadi Amirul Mukminin ini tika membenarkan hadith Rasul-Nya. Hanya jubah compang-camping yang menjadi sarung tubuhnya ketika mengambil kunci kota Al-Quds di Jerusalem, ketika Islam menawan kota itu. Lantas rahib Yahudi penjaga kota itu menitiskan airmata lalu mengungkapkan, 
" Jika pemimpin seperti kamu yang menjaga Al-Quds ini, maka selama-lamanya kami tidak akan dapat menjejakkan kami ke kota ini lagi.."

     
     Kesimpulannya, bukan sekadar agenda tempelan semata. Kita tidak mahu membina masjid yang ahnya tersergam indah, namun sunyi daripada keramaian yang lain. Kita tidak mencetak banyak Al-Quran semata-mata, jika hanya manjadi hiasan di almari sahaja. Ya, formula untuk untuk kita kembalikan kegemilangan itu semula, tidak boleh tidak, dengan membina peribadi ummah ini yang sedang merintih..! 

 "Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya. Setiap gagasan ada pendokong panjinya. Pemuda adalah senjata rahsia kepada setiap kebangkitan.."
-Hasan Al-Banna-


Amar Ismat
Seksyen 16, Shah Alam
15 Mac 2012 10.55 p.m

  

Wednesday 29 February 2012

Berkejar dengan Ketika

     Sudah lama coretan terhenti. Mungki kelemahan penulis sendiri dalam mengurus diri yang masih lagi lemah serba-serbi. Langsung penulis teringat ungkapan Al-Banna dalam mentakrifkan seorang peribadi Muslim itu, sala satunya adalah "Munazzam Fi Syu'unihi" (Tersusun dalam Urusannya). Harap Allah mudahkan penulis dalam menyusun dan merangka urusan kehidupan selepas ini. 

     Belajar daripada alam dan pengalaman, merupakan satu lumrah yang amat menarik untuk kita kupas. Subjek luar dari silibus ini, perlu dielaborasi dengan teliti oeh orang yang mengalaminya. Hal ini adalah kerana, pengalaman merupakan emas yang termaktub dalam kehidupan seseorang, sesuatu yang sangat berharga untuk dilupai dan dillalui begitu sahaja tanpa diambil titik-titik penting daripadanya.

     Daripada ISMA Tamhidi Outdoor yang penulis ikuti baru-baru ini di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah, Perak, penulis banyak dapat merumus kesimpulan. Bekalan dalam perjalanan kehidupan, agar penulis tidak tersilap melangkah dan menongkah pada masa hadapan.
Pertandingan Melastik di hutan
Bersama Barisan Staf AIM 2012 yang setia berjuang

     Beberapa noktah penting untuk tatapan peribadi penulis, dan rasanya boleh dikongsi bersama semua:
  1.  Perjuangan tidak mengenal erti lelah. Di kala tangan dan kaki sudah letih berpencak di siang hari, tiada alasan bagi para Da'ie untuk melabuhkan dahinya atas hamparan sejadah menghadap Yang Esa pada malam harinya. Biar letih itu yang mengejar kita. Lantas, tercapailah gagasan "Ruhban Fi al-Lail wa Fursan Fi an-Nahar".
  2. Peluang mendekati dan memahami teman, jangan pernah disia-siakan. Kerana semasa berada dalam program yang mana  kita keluar dari kepompong jadual seharian kita, itu adalah masa yang amat baik untuk dihabisi dengan lebih mengenali teman seperjuangan.
  3. Sensitif melihat Agama masih lagi tidak sampai kepada sesetengah manusia yang begitu hampir dengan kita. Moga Allah suburkan jiwa kita dengan dakwah, layaknya seperti bicara Asy- Syahid Imam Hasan Al- Banna : ' Aku ingin berdakwah, hingga dakwahku didengari oleh janin di dalam perut ibunya..!"
Alf Syukran semua urusetia dan peserta ISMA Tamhidi Outdoor atas program yang menarik.




Imam Ahmad Bin Hanbal pernah ditanya, "Bilakah diri ini boleh merasa kerehatan? Maka jawabnya, "Ketika sebelah kakimu berpijak di Syurga.."


Amar Ismat
Maahad Tahfiz Ikatan Muslimin, Ipoh
29 Feb 2012 06.18 p.m     

Saturday 28 January 2012

Debaran dan Pedoman

     Alhamdulillah. Kurnia-Nya begitu besar kerana dengan izin-Nya, kita masih bergelar muslim dan masih lagi mengagungkan-Mu ya Allah.

     Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2011 baru sahaja menjengah di setiap sekolah-sekolah, kerajaan mahupun swasta pada 26 Jan yang lalu. Debaran itu turut juga dirasai penulis, sebagai calon STAM 2011 di Akademi Ikatan Muslimin
Calon di AIM sabar menunggu natijah masing-masing

Pengetua AIM bersama pelajar-pelajar yang mendapat mumtaz dalam semua subjek STAM 2011
          Pesan penulis, kepada semua sebagai satu penyuntik semangat untuk terus berkelana dan merantau untuk mencari ilmu tanpa mengenal asa dan jemu:

  1. Kepada yang tersasar,  When we can't have what we love, we must learn to love what we have.         
  2. Kepada yang  tepat sasarannya, Satu lakaran peristiwa dan sifat wira sudah terbentuk. Langkah untuk meniyapkan dan menyempurnakan lakaran itu sudah bermula dan perlu diteruskan.   
     Dedikasi Mumtaz ini khusus buat Mama, Ayah, Abang, Ijat, asatizah, mu'allimin, mu'allimat, ikhwah, akhawat dan buat yang paling memerlukan, ummah yang sedang merintih. Moga segulung ijazah kita ini bersamanya terselit sebuah risalah agung.

Mumtaz Untuk Ummah

Amar Ismat,
Maahad Tahfiz Ikatan Muslimin,
28 Jan 2011, 09.52 a.m
                                                                                                

Monday 23 January 2012

Menjadi Seorang yang Responsif

     Sudah lama raasnya tidak berkarya. Beban kerja yang digalas, memang menyempitkan ruang dan peluang untuk menulis. Alhamdulillah, bila bercuti, ruang itu terbuka sedikit untuk mengambil masa dan menulis sebentar.

     Rasa kagum terhadap generasi para sahabat, semua kita sebagai muslim tidak lari daripada perasaan tersebut. Iman dan pengorbanan Saidina Abu Bakar R.A, keberanian dan kebijaksanaan Saidina Umar Al-Khattab R.A, dan semuanya mempunyai kelebihan masing-masing, yang diiktiraf oleh Rasulullah sebagai 'Generasi Kurun Terbaik' yang pernah dilahirkan di muka bumi.

Kewujudan Masjid Qiblatain di Madinah, membuktikan ciri agung yang ada pada para sahabat, iaitu Sur'ah Istijabiyah (Respons yang Segera).
    
     Benar. Masjid ini wujud, sejurus selepas turunnya wahyu memerintahkan agar para muslimin menukar arah qiblat dari Masjidil Aqsa di Jerusalem, ke Masjidil Haram di Makkah. Diriwayatkan ketika turunnya firman Allah ini, para sahabat sedang menunaikan solat Asar. Tanpa melengahkan barang sedikit masa pun, mereka terus menghalakan wajah mereka menghadap Masjidil Haram, sebagai mengenggam kukuh arahan Allah Rabbul Jalil .

     Kisah ini bukan satu-satunya analogi respons segera para sahabat dalam urusan kebaikan, bahkan bertimbun-timbun lagi galang contoh betapa para sahabat ini, tiada istilah 'sekejap' bagi diri mereka dalam melunaskan perintah Allah S.W.T.

     Jika kita di tempat para sahabat, mungkin kita akan menyelesaikan solat Asar itu terlebih dahulu, kemudian  menukar kiblat ketika menunaikan solat Maghrib nanti. Namun bukan untuk para sahabat. Respons mereka terhadap rangsangan kebaikan, amat sensitif. Agungnya tarbiyyah Rasulullah pada diri mereka.

3:133
And hasten to forgiveness from your Lord and a garden as wide as the heavens and earth, prepared for the righteous; Ali Imran:133
Mari, betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul.

Amar Ismat
Seksyen 16, Shah Alam
23 Jan 2012 11.16 a.m




Sunday 1 January 2012

Antara Pilihan dan Keterpaksaan

     Entri terbaru 2012. Mungkin agak berat dan kompleks.
     Kadang-kadang kita keliru, kerana sumber kita hanya fikiran kita yang sempit sekecil lubang haiwan. Namun kerana itulah diturunkan wahyu, sebagai petunjuk dalam kita mamahami dan membuka fikiran kita untuk menerawang seluas-seluasnya, meliputi segenap lapisan angkasa jajahan Allah S.W.T ini.

     Bukankah sudah dikhabarkan, sebenarnya 'terpaksa' itu fitrah. 'Terpaksa' datang ke program. 'Terpaksa' menelaah buku-buku yang bukan menjadi minat. 'Terpaksa' meluangkan masa seminggu sekali dan sebulan sekala untuk mendalami ilmu agama yang kurang menjadi perhatian semasa. Ramai daripada kita (mungkin) yang tergolong dalam kalangan yang 'terpaksa' ini.

     Analogi mudah penulis ketengahkan, 'Terpaksa' itu merupakan adik kecil kepada 'Rela dan 'Selera'. Bayangkan jika seawal usia 7 tahun, ibu dan ayah kita tidak 'memaksa' kita untuk mendirikan solat, adakah dewasa ini, kita sendiri akan yang akan membentangkan sejadah untuk menunaikan solat? Jika ibu dan ayah  kita membiarkan kita untuk solat hanya ketika kita mahu sahaja, nescaya dewasa ini, kita akan terbiasa untuk solat hanya ketika kita berkeinginan semata.

     Tidak hairanlah ramai daripada ibu ayah kita yang mensyaratkan, jika ingin keluar bersama teman atau bermain playstation dan komputer,  kita dikehendaki untuk solat terlebih dahulu. Bahkan ketika berada di luar rumah pun, ibu dan ayah tidak aakn jemu untuk mengingatkan kita untuk mengutamakan solat mendahului segala urusan lain. 

     Tidak lain dan tidak bukan, mereka membuat demikian hanya kerana ingin melahirkan peribadi anak yang 'rela' untuk solat, bukan 'terpaksa' untuk solat atau hanya solat ketika ibu ayah mengingatkan atau ada berhampiran. Untuk melahirkan seorang yang 'rela' untuk solat dan akhirnya 'selera' untuk mengajak orang lain untuk solat bersama, semuanya bermula dengan 'arahan' dan 'keterpaksaan'. Kuncinya, dalam tempoh 'keterpaksaan' itu, seseorang itu wajib untuk mencari hikmah dan sebab mengapa dipaksakan sesuatau perkara ke atas dirinya. Ini untuk memudahkan proses tumbesaran daripada 'Terpaksa' kepada 'Rela dan akhirnya dewasa dalam 'Selera'.

Tarbiyyah Rasulullah, berjaya menghasilkan Generasi Sahabat yang 'Selera' dalam menjalankan amal Dakwah yang tercinta ini. 'Rela' berkorban seluruh jiwa raga dan harta benda untuk meninggikan kalimah Allah di miuka bumi ini.


          Betul. Seperti yang dicanangkan dalam 3 Idiots, kita tidak patut dipaksa oleh orang atau unsur lain dalam membuat sebarang keputusan. Kita berhak memilih keputusan kita sendiri. Segala isi pelusuk bumi ini adalah kepunyaan Allah, namun tetap, pilihan menjadi harta tunggal kepunyaan manusia. Pun begitu, berdasarkan kajian peribadi penulis, tidak semua pilihan itu milik kita manusia, kerana sebahagian itu tetap milik Yang Esa.
Termaktub kekal dalam firman Allah:

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." 

     Allah memerintahkan untuk keluar berperang di jalan-Nya, sama ada berat ataupan ringan keadaanya. Walaupun mungkin bertentangan dengan pilihan hati, namun pilihan Allah mengepalai segalanya, atas dasar kita adalah hambaNya. Tiada pilihan dalam urusan agama, kerana itulah jihad dan pengorbanan kita dalam melunaskan tanggungjawab kepada Tuhan Rabbul Jalil.



Kesimpulan mudah entri kali ini:
  1. Kebanyakan perkara kebaikan dan urusan agama titik tolaknya bermula dengan keterpaksaan. Jika kita menolak keterpaksaan itu, sebenarnya di sisi yang lain, kita tergelincir dari landasan fitrah manusia yang sebenar. Terima apa sahaja kebaikan yang ada, dan cuba fahami hikmah tersirat di sebaliknya.
  2. Pilihan kita mestilah selaras dengan kehendak Allah. Dalam apa keadaan, kepala segala urusan adalah Islam dan ummahnya. Itu keutamaan yang perlu diambil kira dlam percaturan kita untuk membuat sebarang pilihan.

     "Barangsiapa yang hidup untuk dirinya sendiri, hidupnya kecil dan dia akan mati selama-lamanya.
     Barangsiapa yang hidup untuk untuk dirinya sendiri dan untuk orang lain, hidupnya agung dan dia akan 'hidup' selama-lamanya..."


Amar Ismat
Seksyen 16, Shah Alam
01 Jan 2012 03.00 a.m