Tuesday 23 July 2019

MEMAHAMI POLEMIK AQIDAH VS POLITIK


Setelah membaca kertas kerja dan mendengar ceramah Ustaz Fauwaz Fadzil (UFF), saya dapat menyimpulkan ada beberapa noktah yang saya tidak bersetuju dengan beliau. Saya mengiktiraf kelimuwan beliau yang mendalam dalam ilmu Syariah, namun bagi saya ada kebenaran yang perlu dirungkai tentang polemik aqidah vs politik ini. هو شيخنا حبيب إلينا، ولكن الحق أحب إلينا منه‫..


  1. Benar, di dalam kitab aqidah, tiada bab tentang as-siyasah. Tetapi yang ada hanyalah bab al-imamah (kepimpinan). Ia asalnya adalah perbahasan dalam kitab fiqh, tetapi dimasukkan perbahasannya ke dalam kitab aqidah untuk membezakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan pegangan Syiah dan Khawarij. Di dalam bab ini dijelaskan perbezaan pegangan ahlus sunnah dan pegangan yang selainnya berkaitan imamah.
  2. Namun begitu, taqsimat itu ada konteksnya yang perlu difahami. Seperti kata Imam Al-Laqqani dalam syarah beliau atas matan  beliau sendiri Jauharah At-Tauhid, bahawa imamah yang dimaksudkan adalah perlantikan imam (nasbul imam) yang khusus adalah tidak termasuk dalam perkara aqidah. Ini jelas menafikan pegangan Syiah yang menyatakan bahawa imamah itu berlaku dengan nas (imam itu dilantik melalui nas), bukan dengan ijtihad dan baiah. Ini bermakna, sesiapa yang mengingkari imamah atau kepimpinan seseorang itu, maka dia telah kufur kerana mengingkari nas. 
  3. Sedangkan dalam aliran Ahlus Sunnah, perlantikan imam dalam daerah ijtihad, jadi sesiapa yang tidak bersama kepimpinan tersebut, tidaklah jatuh kafir. Paling jauh mungkin dilabel bughah dan pemberontak sahaja, namun beliau masih muslim.
  4. Jelas di sini, apa yang dimaksudkan bahawa isu imamah bukan aqidah bukanlah bermaksud keseluruhan isu imamah dan siyasah itu dalam tidak berada dalam ruang lingkup aqidah, tetapi beberapa isu-isu tertentu sahaja seperti ta’yin al-imam (perlantikan imam secara khusus). 
  5. UFF ada menukilkan kata-kata Imam Al-Ghazali dalam Al-Iqtisod fi Al-I'tiqad dalam muqaddimah bab Al-Imamah. Saya ingin menambah, selepas daripada muqaddimah tersebut, Imam Al-Ghazali ada membawakan perbahasan penting tentang kewajipan untuk melantik imam. Bagi Imam Al-Ghazali, melantik imam adalah kewajipan syarie, kerana imam akan menyusun atur pentadbiran dunia, yang secara langsung akan menyebabkan nizam ad-din (urus tadbir agama) menjadi tersusun. Urus tadbir agama merupakan perkara yang diperintah oleh Allah secara qat’ie, jadi perkara yang membawa kepada urus tadbir agama (perlantikan imam) juga menjadi wajib. Bukankah  perkara yang wajib dan dinaskan itu termasuk dalam daerah aqaid?
  6. Imam Al-Ghazali hanya menyatakan tentang keperluan melantik pemimpin, bukan kewajipan memilih individu tertentu sebagai pemimpin. Perlu dibezakan antara naratif Imam Al-Ghazali dan apa yang dipegang oleh Syiah Imamiyah.
  7. Saya berpegang, dan menegaskan bahawa dalam siyasah, ada perkara-perkara yang dinaskan. Kita tidak boleh mengatakan politik itu bukan aqidah secara borong.. Ia kenyataan yang benar, tetapi tidak benar dalam masa yang sama. Perlu kepada tafsilan dan penjelasan supaya golongan sekularis dan liberalis tidak mengambil kesempatan dengan hujah ini.
  8. Apa contoh isu politik yang bersangkut-paut dengan aqidah? Secara ringkasnya seperti yang disebut di atas, iaitu kewajipan melantik imam yang berkelayakan untuk memimpin urustadbir dunia dan agama. 
  9. UFF ada menyatakan tidak semua sekularisme itu membawa kepada kekufuran. Benar, hukum takfir ini jelas memerlukan kepada pelbagai prosedur untuk disabitkan kekufuran seseorang. Tetapi yang lebih penting adalah sejauh mana kita memahami falsafah di sebalik kemunculan sekularisme itu sendiri. Adakah agama Islam dan tasawwurnya sama seperti gereja Katolik yang menyebabkan kita juga perlu mengimport Renaissance dan Reformation ke dunia kita? Saya harap UFF boleh menilai kembali ijtihad ini, yang saya kira tidak tepat, bahkan tidak sesuai untuk diperkatakan dalam suasana serangan kepada institusi agama yang berlaku sekarang ini.
  10. Menafikan keseluruhan politik daripada aqidah boleh menyebabkan suburnya gerakan liberalis dan sekularis yang memang ingin mendiamkan agama daripada ruang publik masyarakat. Kita harus berhati-hati supaya tidak dipergunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk meninggikan agenda mereka.

 Wallahua’lam, kita mohon petunjuk Allah.



Amar Ismat 
23 Julai 2019

Monday 8 July 2019

BAGAIMANAKAH KONSEP BUDI DITERJEMAHKAN DALAM PERADABAN MELAYU?

Pertama sekali, kita perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan budi dalam kebudayaan Melayu. Budi adalah satu konsep sturuktural yang berpaksikan eleman batiniah (dalaman) yang dipancarkan melalui elemen lahiriah.

Elemen batiniah membawa maksud kepercayaan jiwa (al-qalb) dan akal fikiran (al-aql) untuk membuat keputusan dan pertimbangan yang tepat, Elemen lahiriah yang terzahir pula adalah seperti perlakuan, pertuturan, kesopanan dan kesantunan itu dirangkumkan dalam kategori budi bahasa dan budi pekerti. 

Peradaban Melayu lebih terkenal dengan aspek adab dan budi berbanding aspek material yang biasanya disandarkan kepada tamadun-tamadun selain Melayu. Peradaban Melayu lebih masyhur dengan persoalan tatasusila, moral, dan etika yang dilengkapkan dengan aspek keagamaan yang mendasari jiwa dan roh peradaban Melayu.


Adab dan budi Peradaban Melayu ini jelas terpancar dalam hikayat-hikayat dan prosa sastera tradisional Melayu. Banyak pepatah yang menggambarkan worldview orang Melayu tentang akhlak seperti “hutang emas dibawa belayar hutang budi dibawa mati” serta "hancur badan dikandung tanah, budi baik terkenang jua”, serta pelbagai lagi peribahasa yang lain.

Bahkan istilah peradaban itu sendiri, yang merupakan istilah bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa-bahasa lain, menggambarkan kefahaman orang Melayu silam terhadap konsep kemajuan berasaskan adab dan budi ini. 

Peradaban bukan sekadar persoalan tentang kemuncak pencapaian dan penghasilan manusia dalam aspek politik, ekonomi, sains serta teknologi, namun ianya juga adalah satu manisfestasi ketinggian akal dan budi yang diterapkan kepada kelompok manusia berpaksikan ajaran agama.

Dalam Hikayat Hang Tuah juga diceritakan bagaimana sepatutnya akhlak dengan sultan dan pemerintah. Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah, kerana Hang Jebat melakukan keganasan dalam istana yang ditawannya. Antara mesej tersirat daripada peristiwa ini adalah “penderhakaan” kepada negara/sultan merupakan satu jenayah serta anarki (yang dilakukan oleh Hang Jebat) mesti dibanteras demi kestabilan negara.

Namun begitu, ilmuwan Melayu tidak berhenti di situ. Bahkan mereka juga mengatakan bahawa prinsip keadlian mesti ditegakkan hatta kepada pemerintah melalui pepatah “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Keadilan mesti berlaku kepada semua kelompok masyarakat seperti dalam prinsip syariat Islam.

Selain itu, terdapat juga karya-karya yang membincangkan tentang ilmu ketatanegaraan ataupun bahasa modennya good governance seperti Tajus Salatin, Bustanus Salatin dan Thamarat Al Muhimmah, sama seperti karya Ghiyathul Umam karya Imam Al Haramain Al-Juwayni rhm.

Inilah mesej agung tentang peradaban yang dapat kita analisis daripada pepatah dan karya-karya ilmuwan Melayu silam. Namun sayangnya selepas kedatangan penjajah, kita telah mengambil sudut pandang Barat mengenai kemajuan dan ketamadunan. Ini menyebabkan kita menjadikan Barat sebagai model, lalu menjauhkan kita daripada hakikat peradaban yang pernah dikecapi oleh nenek moyang kita suatu masa dahulu.

Kita perlu mengembalikan semula peradaban kita yang telah hilang, dengan cara dan manhaj kita sendiri. Takkan Melayu hilang di dunia.

Rujukan:
1. Hassan Ahmad: Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan Akal Budi Bangsa Melayu Sepanjang Zaman.
2. Zainal Abidin Borhan: Memantapkan Peradaban Melayu.