Thursday 26 June 2014

RAMADHAN DAN AL-QURAN, MENALAR SINAR KEMULIAAN

     Fajar Ramadhan kini terbit lagi, alhamdulillah buat kesekian kalinya. Ada yang merindui, ada yang menanti, dan tidak kurang juga yang membenci. Walaupun pelbagai reaksi dan persepsi kita terhadap kedatangan Ramadhan, bulan ini sudah terpahat sebagi sebuah bulan yang paling mulia di sisi Allah SWT.  Mulia Ramadhan pada puasanya, pada perjuangannya, mungkin ramai yang sudah maklum dan tahu. Cuma bezanya, dalam entri ini kemuliaan Ramadhan akan cuba diolah dari sisi pandang yang agak berbeza.

RAMADHAN DAN AL-QURAN
Pernah terfikir, di mana kaitan kemuliaan Ramadhan dengan Al-Quran? Signifikan kemuliaan Ramadhan dengan Al-Quran boleh dianalogikan begini.

     Bayangkan di atas jalanan tempat lalu lintas manusia, terdapat secarik kertas yang tertulis jenama sebuah pakaian bertaraf antarabangsa. Manakala di sebelah kirinya pula terdapat secarik kertas lain yang tertulis padanya beberapa potong ayat Al-Quran. Pastinya sebagai seorang Muslim yang sensitif, kertas Al-Quran itu akan diambil lalu diletakkan di tempat yang tinggi atau dibakar. Ini naluri iman yang sentiasa mengalir dalam hati seorang muslim. Dia tidak sanggup untuk melihat kertas Al-Quran itu dipijak-pijak oleh manusia. Berbeza dengan kertas jenama tadi, yang tidak menjadi perhatian sesiapa lalu dibiarkan berada di jalanan walaupun kedua-duanya berasal daripada bahan dan kertas yang sama.


Analogi seterusnya, antara sebuah masjid dan sebuah kompleks beli-belah. Pengunjung yang ingin memasuki masjid perlu menutup aurat dan menjaga adab-adab di masjid seperti yang termaktub di dalam kitab Akhlak. Namun perkara sedemikian tidak pula berlaku pada pengunjung kompleks beli-belah. Bahkan duduk bersahaja dan tidur di dalam masjid dengan niat iktikaf pun ada ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah. Pernah terlintas, mengapa situasi dalam dua bangunan ini berbeza, sedangkan material untuk membina sebuah masjid dan kompleks beli-belah adalah sama sahaja?

Daripada kedua-dua analogi di atas, ternyata faktor yang menjadikan secarik kertas dan sebuah bangunan itu mulia adalah dengan Al-Quran. Kertas tersbut tertulis padanya kalimah-kalimah Al-Quran, manakala masjid merupakan tempat berkumandangnya alunan dan tempat tersimpannya Al-Quran. Dengan dinisbahkan pada Al-Quran, perkara yang biasa menjadi luar biasa dan mulia di sisi semua!


     Bagaimana pula keadaanya jika Al-Quran itu dinisbahkan pada sebuah bangsa atau seorang  individu? Pastinya ”bangsa atau individu Al-Quran” tersebut merupakan semulia-mulia bangsa dan individu yang wujud di dunia ini. Ini selaras dengan gelaran generasi Sahabat RA pada zaman Rasulullah, yang digelar sebagai Jiil Al-Quran Al-Farid (Generasi Al-Quran Yang Agung). Sebagaimana yang diketahui juga, Rasulullah telah menyifatkan generasi baginda sebagai generasi terbaik yang pernah wujud di muka bumi.

      Kerana perkara yang sama Allah telah memuliakan Ramadhan. Allah melengkapkan penurunan Al-Quran dari Sidratul Muntaha ke Baitul Izzah di dunia pada bulan Ramadhan.  Lupakah kita, ungkapan Al-Quran Al-Karim, sangat sinonim dengan ucapan “Ramadhan Karim”?

Ramadhan Karim.
Allahu Akram.


Saturday 21 June 2014

MENYANGKAL HUJAH PELAMPAU HAK ASASI; LGBT

     "Tuhan sudah ciptakan saya sebegini rupa", kata seorang gay. "Fitrah saya memang suka pada kaum sejenis", sahut seorang lesbian yang lain. Inilah hujah common yang dihamburkan apabila ditanyakan kepada golongan LGBT ini.


SANGKALAN HUJAH
     Ternyata jawapan yang diberi salah dan tidak tepat, sekurang-kurangnya di sisi agama Islam yang jelas melarang keras amalan homoseksual. Bahkan Allah juga telah menurunkan azab yang pedih ke atas kaum Nabi Lut yang mengamalkan seks sejenis ini. Allah sendiri telah berfirman mengatakan sedemikian rupa, seperti yang tertulis dalam Surah Al-A'raf;
اِنَّكُمۡ لَـتَاۡتُوۡنَ الرِّجَالَ شَهۡوَةً مِّنۡ دُوۡنِ النِّسَآءِ​ ؕ بَلۡ اَنۡـتُمۡ قَوۡمٌ مُّسۡرِفُوۡنَ‏ 
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas." [Al-A'raf ayat 81]

     Meneliti hujah dari sudut Tauhid pula, ternyata hujah 'suka pada golongan sejenis merupakan fitrah yang dikurniakan Tuhan' adalah hujah yang tidak bertepatan dengan nas-nas wahyu yang diturunkan. Ini berdasarkan firman Allah, 
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). [Al |Imran ayat 14]

Daripada ayat ini, kita boleh mengambil istidlal bahawa setiap lelaki diciptakan umtuk menyukai wanita dan begitu juga sebaliknya dengan menggunakan kaedah usul fiqh mafhum mukhalafah, setiap wanita juga diciptakan untuk menyukai lelaki.

Jadi, bagaimana boleh wujud golongan LGBT ini di dalam komuniti masyarakat sedangkan terang-terang amalan ini bercanggah dengan norma agama dan tamadun manusia?

FAKTOR KEWUJUDAN
     Sebuah teori yang boleh dkonklusikan tentang kewujudan golongan LGBT ini adalah terletak pada faktor persekitaran dan normalisasi yang berlaku dalam komuniti sekeliling. 

     Seorang manusia memang diciptakan untuk menyukai mereka yang berlainan jantina, kerana itulah fitrah manusia yang beriman dengan Tuhan. Namun tidak dinafikan, kadang-kadang timbul lintasan hati untuk menyukai dan bersama dengan golongan sejenis. Maka ketika inilah faktor persekitaran dan normalisasi memainkan peranan penting dalam menentukan kewujudan golongan LGBT. Jika persekitaran (dunia realiti dan maya) yang didiami adalah persekitaran yang subur dengan budaya homoseksual dan budaya ini tidak digambarkan sebagai sebuah kesalahan, maka lintasan hati ini akan terus mekar lalu membentuk peribadi yang cenderung lantas mengamalkan budaya songsang homosesksual. Begitu juga sebaliknya, jika persekitaran dan normalisasi yang dipraktikkan adalah betul dan tepat, maka tidak akan wujud golongan songsang ini.

     Hujah ini boleh dijustifikasikan dengan keadaan yang berbeza, sebagai contoh arak dan minuman keras yang sudah diketahui pengharamnnya di dalam Islam. Misalannya, seorang remaja muslim terlintas di hatinya untuk meminum arak. Jika persekitaran yang dia diami dan normalisasi yang berlaku berkisarkan tentang pengharaman dan bahaya arak, maka serta merta dia akan menjauhi arak tersebut dan membatalkan lintasan hatinya. Namun, jika persekitaran yang didiami adalah sebaliknya, sudah tentu dia tidak akan teragak-agak untuk meneguk arak tersebut.

SIFIR MENGATASI
     Untuk mengatasi gejala LGBT dan maksiat-maksiat lain (LGBT juga boleh dikira sebagai maksiat, dan boleh dikatakan sebagai maksiat terkeji), maka sifirnya adalah pada pembentukan biah solehah (persekitaran yang baik) dan didikan Islami oleh ibu bapa dan pendidik. Inilah sifir sama yang digunakan untuk membentuk peribadi-peribadi agung yang melakar sejarah umat. Dalam masa yang sama, jangan biarkan golongan  LGBT yang bertopengkan hak asasi ini terus menular di dalam komuniti, supaya masa depan masyarakat dan negara sentiasa aman daripada serangan-serangan songsang yang bertuhankan nafsu haiwani!
     
     

Monday 16 June 2014

AGAMA DAN NEGARA; MENELUSURI DEFINISI SEKULARISME

    

     Kita sering melihat, hujah para pensinis agama (baca: Islam) banyak berkisar tentang campurtangan negara dalam urusan private sphere (skop peribadi) rakyat yang sepatutnya bebas dalam melakukan perkara yang tidak memberi mudarat pada komuniti sekeliling (pada pandangan mereka). Sebagai contoh yang nyata, jabatan-jabatan agama negeri tidak boleh menyerbu sesuka hati mana-mana kelab malam atau hotel bajet untuk membanteras kes khalwat ataupun pelacuran yang berlaku (yang terbaru serbuan terhadap majlis perkahwinan), atas hujah kebebasan hak asasi yang disadurkan dengan hujah dalam isu tajassus (mengintip orang lain melakukan kesalahan).

     Jawapan mudah boleh diberikan kepada pensinis agama ini. Memang betul, tugas negara dalam isu legislatif dan eksekutif lebih bersifat public sphere (skop awam). Namun, dalam falsafah politik Islam, Islam telah menggariskan beberapa unsur penting dalam menangani isu yang berkaitan dengan private sphere, dan telah meletakkan batas terhadap kebebasan bersuara dan hak asasi. Ini adalah bertujuan supaya negara sentiasa aman dan tidak dicemari dengan norma-norma yang boleh menjahanamkan masyarakat. Negara mempunyai autoriti untuk masuk campur dalam isu private sphere dalam keadaan tertentu demi menolak mudharat yang lebih besar yang bakal berlaku.

     Sebagi contoh, ketika zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, baginda memerangi golongan yang enggan membayar zakat, riddah (murtad) dan nabi palsu. Isu-isu yang diperangi ini bukanlah isu negara, tetapi isu peribadi beberapa individu dalam umat ketika itu. Namun, dengan ijtiihad Saidina Abu Bakar, dan setelah disyurakan dengan beberapa sahabat yang lain, maka mereka mengambil keputusan untuk memerangi golongan-golongan ini, walaupun pada luarannya, isu ini tidak akan menjejaskan perkembangan politik dan ekonomi empayar Islam ketika itu. 

     Islam tidak seiras sekular. bahkan umpama langit dan bumi yang tidak akan bertemu. Islam turun dari langit, sekular tumbuh dari bumi. Di dalam Islam, isu agama ada yang menjadi tanggungjawab individu dan ada yang di bawah tanggungan negara, berbeza dengan sekularisme yang meletakkan urusan agama hanyalah tanggungan peribadi semata-mata.  Sebab itu politik Islam istimewa dan sukar difahami oleh masyarakat yang dibentuk acuan politiknya dengan acuan sekular. Begitu juga isu negara, ada beberapa unsur yang dinaskan oleh nas-nas agama yang wajib diikuti, dan ada yang dibuka ruang ijtihad seluasnya dalam kerangka wahyu Ilahi.

     Baru kita memahami, kenapa Islamis bersungguh-sungguh ingin menegakkan negara Islam seperti yang dicita-citakan semua gerakan Islam di seluruh pelusuk dunia. Ini adalah kerana, itu adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh agama terhadap negara, sebagaimana tanggungjawab agama terhadap individu. Kewajipan menegakkan negara yang berlandaskan syariat, adalah sama tuntutannya dengan kewajipan mendirikan solat lima waktu. Ini amat berbeza dengan falsafah politik sekular, yang memisahkan antara private dan public, antara agama dan negara!