Thursday 21 March 2013

KEDAULTAN SULTAN MENJAMIN MASA DEPAN ISLAM DI MALAYSIA



Saban hari, kita disogok dengan pelbagai bentuk persepsi akan kewujudan Institusi Raja di Malaysia. Pelbagai pihak dan individu yang melontarkan pendapat, ada yang berpendapat masih relevan Institusi Raja terus dikekalkan, dan tidak kurang juga yang menginginkan agar institusi ini dilenyapkan kerana fungsinya yang tidak mapan, dan sudah tamat tempoh menurut sebahagiannya.
Jika diteliti, kebnayakan yang menganggap institusi raja ini sudah lapuk adalah kerana raja-raja sudah tiada peranan yang betul-betul penting di dalam negara. Lantas, lontaran idea untuk melenyapkan institusi ini timbul,dan ada juga yang mencadangkan agar Malaysia dibentuk menjadi sebuah negara republik.
Dari sudut pandang masa depan Islam, Institusi Raja mempunyai peranan yang amat besar dan penting untuk kedaulatan Islam itu sendiri. Perkara 3 Perlembagaan memperuntukkan bahawa, setiap Raja adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing, manakala Yang-Dipertuan Agong  merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja seperti Melaka, Pulau-Pinang, Sabah dan Sarawak. Sepertimana yang kita sedia maklum, bahawa Institusi Raja di Malaysia mempunyai ada dua entiti, iaitu Yang Dipertuan-Agong dan Majlis Raja-Raja.
Begitu juga dalam Jadual 4 Perlembagaan, kita boleh dapati bahawa sumpah Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja sebagai ketua agama adalah menegak dan memelihara agama Islam pada setiap masa. Dalam tugas menjaga agama ini, baginda mempunyai budi bicara dan tidak terikat dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO).  
Berdasarkan beberapa peruntukan di atas, kita dapat menyimpulkan sebuah keputusan, di mana Institusi Raja mempunyai kuasa yang melangkaui parti politik dalam hal yang berkaitan agama Islam. Sebagai contoh, titah Sultan Selangor, Paduka Sultan Syarafuddin Idris Syah tidak membenarkan sebuah pun kelab malam dibuka di Selangor. Baginda juga tidak mengizinkan kalimah Allah digunakan di dalam Bible Bahasa Melayu. Titah Sultan ini wajib dipatuhui oleh semua pihak, termasuklah pihak kerajaan mahupun pembangkang, walaupun masing-masing ada kepentingan politik yang tersendiri.
Institusi Raja merupakan lambang dan simbol kepada agama Islam itu. Banyak kelebihan dan peranan yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk Raja-Raja berkaitan dengan agama Islam itu sendiri. Dalam erti kata lain, agama Islam diberikan ruang yang cukup luas di Malaysia, dan dijaga rapi oleh sebuah institusi khusus berbanding agama-agama lain. Ini secara tidak langsung membuktikan, dengan wujudnya Institusi Raja ini, maka Islam sukar diganggu gugat walaupun agama –agama lain dibenarkan untuk dipraktikkan di Malaysia.
Mungkin ramai yang berpendapat, ada di antara Raja dan Sultan yang tidak pun mengamalakn Islam dalam kehidupan peribadi mereka, di sebalik ‘jawatan’ mereka sebagai Ketua Agama Islam. Memang di sana wujud serba-serbi kekurangan, itu tidak boleh dinafikan. Raja-raja tidak berkuasa mutlak dan bukanlah seorang Muslim yang terlepas daripada melakukan dosa. Namun tidak sepatutnya kita menafikan peri penting Insitusi Raja dalam memelihara Islam hanya dengan kekurangan yang ada, tanpa melihat dalam skop yang lebih meluas dan futuristik. Ancaman-ancaman yang lebih membahayakan terhadap Islam pada masa akan datang, memerlukan sebuah entiti khusus yang memeliharanya. Jangan kerana marahkan nyamuk, maka kelambu dibakar.
Kesimpulannya, salah satu cara signifikan untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia adalah dengan mempertahankan Institusi Raja. Dengan kewujudan Institusi Raja di Malaysia, mana-mana pihak kerajaan ataupun pembangkang yang berkepentingan tidak mampu menggugat apa-apa isu berkaitan sensitiviti agama Islam. Masyarakat Melayu perlu bijak dalam membuat pilihan dan penilaian, untuk memastikan Islam terus berdaulat  tanpa ancaman dari mana-mana sudut.

credit to: http://arusbaru.my/2013/02/23/kedaulatan-sultan-menjamin-masa-depan-islam-di-malaysia/