Wednesday 13 November 2019

DEMOKRASI DAN KEFAHAMAN ISLAM

Demokrasi selalu dianggap sebagai kemuncak pencapaian manusia dalam sistem politik. Mana-mana negara yang belum mengamalkan sistem demokrasi liberal secara penuh, maka negara itu akan dianggap mundur dan ketinggalan zaman, walaupun itu hanya persepsi. Lihat saja apa yang digambarkan oleh media massa tentang negara Cuba, Korea Utara, Iran, Pakistan dan lain-lain, mereka disinonimkan dengan kemunduran dan kemiskinan yang jelas.

Akibat daripada perang persepsi ini, masyarakat dan ahli politik global meletakkan demokrasi sebagai matlamat yang perlu dicapai, atas nama kemajuan umat manusia. Negara-negara pemuka demokrasi juga menyebarkan seruan untuk menganut demokrasi liberal ini ke seluruh pelusuk dunia. Negara-negara Islam juga tidak terkecuali daripada menerima dakyah demokrasi ini.



Apa yang kita faham daripada demokrasi ini sebenarnya?

Kita selalu menanggapi demokrasi sebagai sebuah cara pentadbiran negara dan pemilihan pemimpin. Demokrasi memberikan kuasa kepada rakyat untuk bersama-sama menentukan masa depan pemerintahan negara, menukar pemimpin secara aman dan lain-lain. Tidak dapat dinafikan, unsur-unsur ini adalah sisi positif yang boleh dimanfaatkan daripada demokrasi seperti yang tertera dalam kata-kata yang masyhur:
" الكلمة الحكمة ضالة الحكيم فحيث وجدها فهو أحق بها"
Terjemahan: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana, di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya.”

Namun, perlu diketahui bahawa sistem demokrasi ini bukan sekadar sistem pemerintahan dan pentadbiran semata-mata. Ia datang sebagai sebuah pakej menyeluruh, merangkumi falsafah dan ideologi di sebaliknya. Falsafah yang melatari demokrasi adalah liberalisme, yang lebih sinonim dikenali dengan liberal demokratik. Fahaman ini membawa elemen penafian autoriti Tuhan dan agama, kesamarataan manusia, relativiti akhlak dan nilai, dan lain-lain elemen yang berkaitan.

Apabila dilihat dari kaca mata falsafah, liberal demokratik sangat bertentangan dengan intipati ajaran Islam, walaupun tidak dinafikan konsep pemilihan pemimpin dan pertukaran kuasa secara aman itu secara zahirnya selari dengan Islam. Selaku muslim, kita tidak boleh terlalu mabuk dengan permainan demokrasi hingga kita mencairkan aqidah yang sepatutnya menjadi struktur hidup seorang muslim. 

Ketika demokrasi meminta kita untuk meninggalkan syariat, memberikan wala’ kepada kafir yang menentang hukum Allah, dan meletakkan neraca akhlak kepada pilihan individu dan majoriti, adakah kita sanggup mengenepikan demokrasi? Atau kita sudah menganut agama demokrasi, dan rela menganaktirikan agama yang menjadi anutan kita selama ini?

Pilihan di tangan anda.