Monday 30 March 2020

MAQASID SYARIAH YANG INDAH, RABBANI DAN SYUMUL

Semasa di Mesir, saya pernah melazimi pengajian kitab Al-Muwafaqat fi Usul Asy-Syariah (karya Abu Ishaq Asy-Syatibi rhm), yang diseliakan oleh Prof Dr Mahmoud Abd Rahman. Beliau merupakan ketua Jabatan Usul Fiqh, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar, Kaherah.


Beliau pernah memberikan kami assignment-untuk membaca dua kitab karya Raghib Al-Asfahani rhm; Tafsil An-Nasy'atain wa Tahsil As-Sa'adatain dan Az-Zari'ah ila Makarim Asy-Syariah, dan menulis transkrip pengajian tentang Maqasid Syariah yang diajar oleh Syeikh Mustafa Al-Bihyawi, (ulama’ Maghribi), serta mencari 100 fatwa para ulamak silam yang terbina atas ijtihad maqasidi (seperti fatawa oleh Al-Izz Ibn Abdus Salam rhm).

Ini semata-mata untuk memberikan pelajar kefahaman yang menyeluruh kepada binaan Maqasid Syariah yang rabbani dan syumul. Maqasid Syariah tidak datang dengan hanya membaca 2,3 kitab tanpa merujuk kepada sumber aslinya iaitu Al-Quran, As-Sunnah dan rujukan muktabar yang lain. 

Bahkan untuk membicarakan tentang Maqasid, seseorang itu-seperti kata Dr Mahmoud-perlu menguasai sekurang-kurangnya Al-Quran dan hadith secara kulli dan juzie, mengetahui fatawa yang terbina atas ijtihad maqasidi, serta memahami sunan kauniyyah (sunnah penciptaan) yang mengandungi banyak unsur maqasid syariah di dalamnya.

Ia jelas menunjukkan bahawa Maqasid Syariah itu adalah bertepatan dengan sunnah penciptaan manusia. Manusia hanya akan mampu merealisasikan tujuan penciptaannya jika berada dalam ruang lingkup kehidupan bersyariah. Maqasid (tujuan) akhir syariah itu adalah untuk menjadikan manusia itu insan yang sebenar dan sempurna. Insan yang mengenali kedudukan dirinya dan Tuhannya. Kemuncak insaniah adalah ubudiyah kepada Allah SWT.

Ini menafikan dakwaan sesetengah pihak yang cuba menzahirkan syariah sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kemanusiaan, dan yang lebih teruk ada yang cuba menggambarkan seolah-olah Maqasid Syariah itu terpisah daripada Syariah itu sendiri. Ini adalah kefahaman yang cetek dan masih di gigi air dalam lautan ilmu Syariah yang dalam serta luas.

Selain itu, ini juga memberikan isyarat yang jelas bahawa ilmu Maqasid Syariah merupakan kemuncak kepada ilmu Syariah-kerana ia membicarakan tentang rahsia pensyariatan serta kehendak Tuhan-, yang memerlukan seseorang itu menguasai pelbagai perkara sebelum membicarakan tentangnya. Ia tidak layak dibicarakan tanpa bimbingan yang jelas oleh mujtahid yang benar alim ilmu syariahnya. 

Wallahua'lam.

Friday 27 March 2020

IMAM AHMAD RA DAN DIDIKAN SEORANG IBU

Siapa yang tak kenal dengan Imam Ahmad Bin Hanbal? Beliau adalah Imam Ahlus Sunnah, jaguh hadith dan penulis ensiklopedia hadith yang dinamakan dengan Musnad Ahmad. Beliau juga merupakan pengasas kepada Mazhab Hanbali. Ayahnya meninggal ketika beliau berumur 3 tahun. Beliau diasuh oleh ibunya sejak dari kematian ayahandanya.


Ibunya telah banyak memberikan tunjuk ajar dalam pembentukan syakhsiah Imam Ahmad. Ibunya akan mengejutkan beliau untuk solat Subuh, dan membawanya ke masjid yang agak jauh dalam keadaan sejuk untuk memastikan beliau dididik dengan solat berjemaah.

Dengan bimbingan ibunya juga, beliau telah melengkapkan hafazan Al-Quran semasa berumur 10 tahun. Beliau juga telah mempelajari hadith dari tokoh-tokoh ulama' hadith di sekitar Baghdad, tanah tumpah darahnya dengan pantauan ibunya.

Tidak cukup dengan itu, akhirnya ibu beliau memberikan keizinan untuk Imam Ahmad bermusafir ke luar Baghdad untuk menuntut ilmu. Walaupun tidak disisipkan dengan wang, ibunya membekalkan beliau dengan sedikit bekal makanan. Ibunya tidak memiliki harta untuk disertakan dalam perjalanan Imam Ahmad, kerana kefakiran mereka. Sesiapa yang mengkaji biografi Imam Ahmad, pasti akan mengetahui bagaimana miskinnya hidup Imam yang agung ini.

Ibunya berpesan" Aku serahkanmu di bawah jagaan Allah yang Maha Esa.." Bondanya cukup mengetahui, sesuatu perkara yang dijaga oleh Allah, ianya tidak akan hilang dan akan tiba dengan selamat di destinasi dengan izin Tuhannya.


Akhirnya, bermulalah kembara Imam Ahmad menjadi seorang imam yang sangat disegani oleh umat Islam keseluruhannya. Berkat bimbingan seorang ibu tua yang menginginkan anaknya mencari ilmu untuk bekal dunia dan akhiratnya.

اللهم اغفر لوالدي وإرحمهما كما ربياني صـغيرا

Wednesday 25 March 2020

SOLAT DI RUMAH KETIKA WABAK ADALAH MANIFESTASI RAHMAH ILAHI

Ramai daripada kita yang merasakan bahawa situasi wabak Covid-19 yang menghalang berlakunya solat berjemaah dan solat Jumaat sebagai satu hukuman daripada Allah. Allah murka dengan umat muslimin atas dosa-dosa mereka, lantas Allah “menghalau” mereka daripada rumah-rumahNya termasuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Itu adalah satu pandangan, tetapi situasi sekarang ini juga boleh dibaca daripada perspektif yang lain.

Kita selalu memandang Allah sebagai Tuhan yang sentiasa murka, suka menghukum dan lain-lain ibarat yang tidak mengambarkan keseluruhan sifat-sifat Allah yang sempurna. Nauzubillah min zalik. Walhal Allah adalah Tuhan yang maha penyayang, yang sangat mengasihi dan rahmah dengan hamba-hambaNya.

Tafsiran khusus wabak sebagai murka Allah ini juga bertentangan dengan beberapa hadith yang menunjukkan perkara yang sebaliknya. Bahkan sebenarnya wabak yang menimpa umat adalah tanda-tanda rahmat Ilahi menurut Rasulullah SAW. Dalam Sahih Bukhari, dari Aisyah RA berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wabak ta’un, lalu baginda mengkhabarkan kepadaku bahawa wabak adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah juga menjadikannya sebagai RAHMAH kepada orang-orang beriman. Barangsiapa yang berada dalam tempat yang dilanda wabak, lalu dia duduk dalam rumahnya dalam keadaan sabar dan mengharapkan ganjaran Allah serta mengetahui bahawa tiada apa yang boleh memberi musibah kepadanya melainkan Allah, maka ganjarannya adalah seperti ganjaran yang orang yang mati syahid.”

Di dalam hadith di atas, dengan jelas disebut bahawa wabak adalah rahmat Allah kepada orang-orang beriman. Manakala azab yang dikatakan tidak semestinya bermaksud murka dan laknat Allah, ia boleh juga ditafsirkan sebagai hukuman sebagai pengajaran dalam spektrum rahmah Ilahi yang luas. Peringatan kepada mereka yang lama dalam keadaan lalai dan leka dalam mengingati Allah.


Wabak juga berlaku pada golongan sahabat RA dalam sejarah umat Islam. Jika wabak ditafsirkan khusus sebagai murka Allah, ada satu persoalan yang timbul. Adakah Allah murka dengan para sahabat RA yang telah disaksikan kesolehan dan keadilan mereka seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Muaz Bin Jabal, Yazid Bin Abu Sufyan, Syurahbil Bin Hasanah dan lain-lain sahabat RA?

Lihat kata-kata Abu Ubaidah Al-Jarrah AR mengenai wabak ta’un amwas yang melanda bumi Syam pada zamannya; “Wahai manusia, sesungguhnya sakit (wabak) ini adalah rahmat kepada kamu, dan inilah tabiat dakwah nabi kamu, dan asbab kepada kematian orang-orang soleh sebelum kamu, dan Abu Ubaidah meminta kepada Tuhannya untuk memberikan beliau bahagiannya (ajalnya).”

Muaz Bin Jabal juga memperkatakan perkara yang sama, seperti yang diriwayatkan dalam Musnad Ahmad, bahawa “sakit (wabak) ini adalah rahmah dan kesaksian serta tabiat dakwah nabi kamu”.

Bahkan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani pernah menulis sebuah kitab tentang kelebihan wabak ta’un yang bernama “Bazlu Al-Ma’un fi Fadhl At-Ta’un”.

Persoalan yang timbul, bagaimana wabak ini menjadi rahmat Ilahi, dalam keadaan kita tidak mampu menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid-masjid, terutamanya di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi?

Dalam syariat Islam, kita dituntut untuk mengambil rukhsah dalam keadaan-keadaan darurat. Mengambil azimah dalam keadaan darurat hukumnya boleh jadi makruh, dan boleh juga jadi haram bergantung kepada keadaan yang spesifik. Menunaikan solat di rumah adalah salah satu daripada rukhsah yang ada dalam agama.

Penutupan masjid, penangguhan solat Jumaat dan solat berjemaah adalah antara faktor terpenting untuk memelihara kesihatan dan mengelak daripada tersebarnya wabak. Tidak dinafikan bahawa kesemua ini adalah antara syiar penting umat Islam, namun luasnya rahmah Allah hingga syiar-syiar penting ini boleh ditangguhkan semata-mata untuk kesihatan dan kesejahteraan hamba-hambaNya.

Atas kasih sayang dan rahmah-Nya, Allah mensyariatkan rukhsah solat di rumah untuk kesejahteraan para makhluk daripada wabak yang melanda. Wabak yang timbul daripada tangan kotor makhluknya juga…


Artikel asal oleh Prof Muhammad Khayr Musa (https://www.facebook.com/1567509546895117/posts/2480951372217592/)
Terjemahan dan adaptasi oleh Amar Ismat Mohd Nasir

Wednesday 18 March 2020

COVID-19 DAN DOA MUSTAJAB ORANG SOLEH


Keadaan wabak COVID 19 yang meruncing di Malaysia ini mengingatkan saya tentang sebuah kisah yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dalam kitab Sifat As-Sofwah dan Imam Az-Zahabi dalam kitab Siyar A’lam An-Nubala’. Kisah ini diriwayatkan oleh seorang tabien, Imam Muhammad Bin Al-Munkadir rhm mengenai seorang tukang kasut yang doanya mustajab. 

Pada suatu malam di Masjid Nabawi, Imam Muhammad hadir untuk menunaikan solat.  Setelah selesai qiamullail, beliau berehat di salah sebuah tiang yang ada dalam Masjid Nabawi. Ketika itu datang seorang lelaki faqir (berdasarkan pakaiannya), beliau menunaikan solat, dan kemudian berdoa kepada Allah SWT:

“Ya Allah, orang-orang Madinah telah berada dalam keadaan kemarau..dan mereka telah berdoa meminta hujan kepadaMu.
Ya Allah, aku bersumpah kepadaMu, aku tidak akan meletakkan tanganku hinggalah hujan turun di kota Madinah ini…”


Apabila Syeikh Muhammad mendengar doa ini, beliau terkejut dan menyangka bahawa lelaki faqir ini gila kerana doanya yang seakan-akan mengugut Allah untuk menurunkan hujan. Namun apa yang berlaku adalah, belum sempat lelaki tersebut menurunkan tangannya, guruh telah berbunyi di langit, dan hujan turun membasahi bumi Madinah yang kering kontang. Lelaki tersebut menangis, lalu berkata:

“Ya Allah ini bukan daripada diriku tetapi adalah kurniaanMu jua. Siapalah aku, dan apalah aku ini dalam keadaan Engkau memakbulkan permintaanku. Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan pujian dan ketinggianMu. Ya Allah, kurniaan ini adalah daripada pemberianMu, bukan daripada usahaku, sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah..”

Imam Muhammad takjub dengan lelaki ini. Lelaki tersebut meneruskan ibadahnya hingga masuk waktu Subuh. Selepas solat Subuh, Imam Muhammad ingin mengekorinya, namun dia telah hilang daripada pandangan mata. 

Pada malam keesokan harinya, Imam Muhammad menyandarkan dirinya seperti biasa di sebuah tiang dalam Masjid Nabawi sambil menunggu kehadiran lelaki tersebut. Lelaki itu datang dan melakukan ibadah seperti malam sebelumnya, hingga tiba waktu Subuh. Selepas selesai solat Subuh, Imam Muhammad mengekori lelaki tersebut secara senyap untuk mengetahui tempat tinggalnya. Setelah tahu di mana beliau tinggal, Imam Muhammad pulang dan berhajat untuk menziarahinya apabila hari sudah pagi nanti.

Pada pagi itu, Imam Muhammad pun hadir ke rumah lelaki berkenaan. Rupa-rupanya lelaki tersebut bekerja sebagai tukang jahit kasut. Melihat kedatangan Imam Muhammad, lelaki tersebut bertanya, “Wahai syeikh, adakah engkau ingin aku menjahit khuf engkau?” Imam Muhammad membalas dengan soalan, “Adakah engkau orang yang berada di Masjid Nabawi malam semalam dan berdoa agar hujan diturunkan?” 

Mendengar jawapan itu, lelaki tersebut terus berang dan berkata; “Apa kaitan engkau dengan lelaki tersebut?” Pelbagai soalan diajukan hingga menyebabkan Imam Muhammad beredar untuk meredakan kemarahan lelaki itu. Pada malam hari sewaktu iktikaf, Imam Muhammad tidak menemui lelaki tersebut yang biasanya akan hadir untuk beribadah di Masjid Nabawi.

Pada pagi berikutnya, beliau hadir ke rumah lelaki tersebut, tetapi dia tiada. Jiran lelaki tersebut yang ada berhampiran bertanya kepada Imam Muhammad; “Apa yang engkau lakukan kepada lelaki itu? Selepas berjumpa dengan engkau, dia terus mengemas barangnya dan beredar daripada sini". 

Kisah ini membuktikan bahawa wujudnya individu-individu soleh yang makbul dan mustajab doanya, tetapi namanya tidak tercatat dalam sejarah. Kisah ini hanya dicatatkan dalam kitab sebagai kisah seorang abid yang terpilih di Madinah tanpa sebarang nama seperti yang biasa direkodkan.

Moga-moga ada orang soleh di zaman ini, yang mampu berdoa untuk mengeluarkan kita daripada musibah ini. Disamping usaha dan kesedaran kita untuk menangkis jangkitan wabak COVID-19 ini, kita juga amat memerlukan doa-doa mustajab daripada individu-individu soleh yang mungkin tidak dikenali namanya, tetapi didengari doa dan permintaannya.