Wednesday 3 July 2013

SEMUA KITA ADALAH WARTAWAN!

     Melihat kepada isu Tamarud (sekitar Jun 2013) yang semakin memuncak di Mesir, ditambah dengan isu Syria yang berlarutan lebih setahun, serta isu Turki  tentang hak demokrasi yang disuarakan oleh sebilangan rakyat, benar-benar menginsafkan kita selaku umat Islam. Dunia Islam milenia pasca Khilafah Uthamniyyah ini saban hari ditekan dan diasak dari segenap sudut oleh blok Barat dan blok Timur yang menjadi boneka Barat untuk menghancurkan Islam.

Himpunan yang berlaku di Mesir

     Satu muhasabah penting dalam merungkai isu negara-negara Islam ini khususnya dan dunia secara umumnya untuk semua individu Muslim dan terutamanya aktivis harakah, yang perlu diamati dengan cermat. Tidak boleh tidak, setiap daripada kita mestilah menjadi seorang wartawan, walaupun kerjaya rasmi kita bukanlah sebagai wartawan di mana-mana stesen media. Hatta seorang pelajar dan mahasiswa sekalipun, mereka tidak boleh melepaskan diri daripada tugas untuk menjadi 'reporter' umat ini.

     Ust Abdullah Zaik menukilkan dalam bukunya Nota Untuk Naqib, dalam bab Semua Kita Adalah Wartawan dan Semua Kita Adalah Saluran Maklumat,

"Apa yang berlaku di Malaysia, Mesir, Amerika dan di mana-mana sahaja, kita dapat melihat peranan IT yang begitu ketara dalam satu-satu perubahan. Pada zaman ini, adalahmenjadi kewajipan ke atas setiap orang yang mengikut tarbiyyah untuk menguasai teknologi IT."

"Dulu kita pernah mengamalkan kaedah ini, tetapi sekarang amalan ini semakin tidak berfungsi menyebabkan kita kerugian banyak peluang atau terlepas potensi yang sepatutnya kita boleh rebut dan gunakan untuk dakwah."

     Seorang aktivis harakah mesti mengetahui dengan tepat dan terperinci setiap maklumat tentang peristiwa yang berlaku dalam blok Islam, laksana seorang wartawan yang menulis laporan untuk disiarkan dalam media massa. Dia juga perlu mengulas berita  tersebut mengikut kacamata tarbiyyah yang difahaminya, supaya masyarakat dapat melihat tasawwur atau gambaran realiti yang sebenar apabila berhadapan dengan isu semasa yang diketengahkan. Masyarakat kadang-kadang tertipu dengan mainan media arus perdana dan media alternatif yang tidak berdiri atas dasar dan acuan yang kukuh, iaitu acuan tarbiyyah Islamiyyah itu sendiri.

     Bukan tujuan saya hendak menafikan kepentingan media arus perdana dan alternatif yang sedia ada, namun masyarakat lebih dahagakan siraman berita dan ulasan realiti semasa yang betul-betul mendidik dan membina thaqafah serta membina fikrah setiap individu dalam masyarakat. Aktivis harakah adalah seorang jurubicara umat, yang selayaknya berdiri di pentas-pentas media untuk menyampaikan fikrah dan thaqafah Islam pada masyarakat, dengan segala kelengakapan yang ada!

     Pesanan saya kepada pelajar Melayu Malaysia yang berada di Mesir dan Turki, ambillah ibrah dengan sebaiknya tentang isu yang berlaku di negara kita tempat kita bermusafir. Jadilah wartawan yang terbaik untuk menceritakan segala yang berlaku untuk santapan dan tatapan masyarakat sewaktu kepulangan kita nanti. Pengalaman itu yang amat berguna untuk mencorakkan kepimpinan dan bentuk negara kita pada masa hadapan kelak, tanpa mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemimpin sebelum-sebelum ini.

Ayuh, mari menjadi wartawan!

Amar Ismat,
Nasr City, Cairo
3 Julai 2013 03.45 pm