Thursday 21 November 2013

ANTARA DUA DARJAT

Ada telinga yang setiap hari dihidangkan dengan gema azan lima waktu sehari. Ditambah pula dengan laungan iqamat 10 minit sejurus selepas azan. Namun jasadnya tidak mampu melawan tarikan dunia yang begitu mencengkam. Akhirnya jasadnya tewas, tidak mampu hadir solat berjemaah walaupun jaraknya ke masjid hanya beberapa langkah sahaja.

Masjid Sahabat Bawwabah Thalathah, Hayyu Asyir

Ada pula telinga yang tidak dapat mendengar azan dan iqamat dari tearataknya. Kenapa?Oh, rupanya masjid itu jauh dari kediamannya. Gema azan tidak mampu menembusi dinding-dinding konkrit kerana kejauhan. Namun jasadnya tetap sentiasa memenuhi ruang-ruang mihrab di masjid kejauhan itu untuk menyahut seruan Tuhannya lima waktu sehari semalam.
Benarlah bicara Ar-Rasul ketika baginda bersabda tentang 7 golongan yang dinaungi pada hari di mana tiada naungan melainkan naunganNya. Antara golongan-golongan itu adalah, mereka yang HATInya terpaut dengan masjid. Fahamlah kita, kenapa lafaz HATI yang baginda gunakan. Kerana bukan jarak fizikal yang hampir dengan masjid yang dikira, tapi hati yang hampir dan rindu akan rumah Tuhannya yang akan menjadi hitungan di sisi Allah S.W.T.

Ya Allah, jadikan pemilik hati ni sentiasa terpaut dengan cintaMu!