Sunday 29 March 2015

HUDUD DAN GST; PERSPEKTIF MATERIALIS DAN ISLAMIS

Hudud dan Good and Service Tax (GST)  merupakan dua isu hangat yang mewarnai akhbar dan media sosial rakyat Malaysia kebelakangan ini. Tidak ketinggalan, sidang Parlimen Malaysia juga riuh membincangkan kedua-dua isu ini, menyaksikan pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh kesemua ahli Dewan Rakyat. Namun sebagai rakyat biasa, apakah sikap kita dalam mendepani ketiga-tiga isu ini secara khususnya?

Tulisan ini khusus untuk mereka yang bergelar Melayu Muslim di Malaysia.

Dalam melihat isu ini, saya tertarik dengan reaksi yang dipaparkan oleh beberapa individu yang menganut fahaman materialisme, baik dari aliran sosialis atau kapitalis. Mereka dengan pantas membandingkan enakmen Hudud yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dengan isu pembangunan negeri pasca banjir dan isu GST yang ditentang oleh mereka. Bagi mereka, isu pembangunan material adalah unsur terpenting dalam negara, dan menafikan sama sekali unsur spiritual dalam politik dan sosial, seperti apa yang selalu diungkapkan oleh sosialis; "Tuhan tidak perlu dibela, Dia sudah Maha segalanya. Belalah mereka yang diperlakukan tidak adil (zalim)."



Isu ini tidak terhad sekadar di Malaysia atau Indonesia, malah boleh dilihat di Mesir dan negara-negara Timur Tengah yang terlibat dengan Arab Spring. Kebanyakan negara yang dikuasai oleh Islamis yang memperjuangkan negara Islam, ditolak habis-habisan oleh mereka yang berhaluan kiri, dengan alasan revolusi yang berlaku yang dipelopori oleh rakyat bukanlah berpunca daripada tuntutan untuk mendirikan negara Islam. Akan tetapi, mereka berdemonstrasi hanya untuk memastikan mereka mendapat sesuap nasi, rumah, peluang pekerjaan dan ekonomi serta keperluan asas material yang lain semata-mata. Pada pendapat mereka, itulah punca sebenar yang menyebabkan meletusnya Arab Spring lalu menjatuhkan diktator dan regim tentera. Unsur-unsur lain seperti spiritual dan moral dinafikan kepentingannya dalam mewarnai corak poltik dan sosial negara.

Benarkah begitu, pada hakikatnya?

MATERIALISME ADALAH AKARNYA

Faham materialisme yang dianuti oleh sosialis komunis (dan kapitalis, seperti yang dihipotesiskan oleh Muhammad Baqir As-Sadr) menyebabkan mereka hanya melihat dunia, sejarah serta konflik yang berlaku melalui kacamata material dan keperluan jasad semata-mata (dialectical materialism and materialism interpretation of history). Segala konflik yang berlaku hanyalah pertembungan antara dua golongan (class struggle), iaitu antara bourgeoisie (golongan pemodal) dan proletariat (golongan pekerja) dalam mengaut kekayan serta keuntungan. Konsep yang dipopularkan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels ini mengenengahkan teori yang mengatakan bahawa komuniti manusia hanya menginginkan keperluan-keperluan material, dan menafikan keperluan moral dan spiritual. Bagi Marx, konsep keadilan adalah pada pengagihan keperluan material yang saksama antara semua rakyat termasuk golongan pemodal. Apabila keperluan asas material ini dipenuhi, maka keperluan-keperluan lain seperti agama dan etika tidak akan menjadi keutamaan, kerana sifat manusia itu sendiri adalah materialistik, baik secara individu atau masyarakat.

Atas dasar ini, maka isu Hudud secara mikronya atau negara Islam secara makronya tidak akan menjadi agenda golongan komunis ini, kerana bagi mereka agama hanyalah candu pada sosial. Agama hanya dijadikan tunggangan untuk memenuhi nafsu golongan pemodal. Sedangkan istilah "agama" yang digunakan oleh mereka merujuk pada agama Kristian dan Yahudi, bukan agama Islam yang syumul dan tidak pernah mengabaikan unsur ekonomi serta keperluan material. Ini bermaksud, jika enakmen Hudud atau apa-apa unsur keagamaan teruatama Islam cuba diketengahkan di negerri-negeri maju sekalipun, golongan sosialis komunis ini akan mempersoalkan isu ekonomi dan material juga, jika tidak wujud isu GST pun.

Namun, timbul pula satu persoalan, adakah Islam hanya mengambil berat unsur spiritual dan moral, lantas mengabaikan unsur material dan tidak berinteraksi dengan kehendak manusia secara langsung?

ISLAM ADALAH SOLUSI 

Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna berkata; 
"Kita berhadapan dengan komunisme dan sosialisme. Dalam persefahaman antarabangsa hari ini kedua-dua fahaman ini dianggap sebagai sebahagian nilai demokrasi. Ini sahaja yang mampu dilakukan oleh pejuang demokrasi. 
Namun demikian saya amat-amat yakin, tiada satupun di antara teori-teori tersebut yang mampu membawa kebaikan kepada kita. Setiap teori tersebut ada kelemahan yang ketara dan kelebihan yang tersendiri. Semua teori ini lahir bukan dalam negara kita dan ia lahir untuk budaya asing yang berbeza dengan budaya kita. Apatah lagi kita sendiri sebenarnya telahpun memiliki suatu sistem yang lengkap dan mampu membuat perubahan yang menyeluruh iaitu sistem Islam. Islam telah menggariskan beberapa asas ekonomi yang menyeluruh dan asasi. Jika asas-asas ini kita pelajari dan kita laksanakan dengan betul nescaya segala masalah kita akan selesai. Malah lebih dari itu kita mampu menggarap pula segala kelebihan yang ada dalam teori lain. Di samping itu kita juga dapat mengelak segala kelemahan yang ada dalam teori-teori tersebut. Seterusnya kita akan dapat mengetahui bagaimana cara untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Kita juga akan mampu memperbaiki keadaan hidup setiap lapisan masyarakat. Tidak syak lagi kita akan menemui cara yang terbaik untuk memperolehi kehidupan yang selesa."[1]

Manakala, Al-Marhum Muhammad Qutb pula mengungkap;
"Manusia sentiasa terfitnah dengan nilai kebendaan dan menyangkanya sebagai tonggak kehidupan. Di dalam konteks ini, sama sahaja sama ada orang dahulu ataupun orang zaman sekarang. Ketika pandangan manusia tidak melihat kepada punca kebaikan yang sebenar dan jiwa mereka lupa terhadap hakikat alam yang luas, maka ketika itu mereka tidak akan melihat melainkan nilai-nilai material dan mereka tidak akan mengetahui melainkan apa yang dapat disaksikan oleh pancaindera. Tetapi, Islam mahu meluaskan kehidupan dan menggambarkannya dalam rupa bentuknya yang hakiki. Ia tidak melupakan dunia material dan keperluan kehidupan, bahkan memberikan perhatian yang secukupnya kepada kedua-duanya sebagaimana jelas di dalam perkara-perkara yang diperincikan oleh syara' dan penambahan-penambahan berterusan yang dilakukan oleh fiqh Islam sepanjang zaman. Tetapi, ia tidak berpada dengan perkara-perkara itu sahaja, kerana kehidupan pada realitinya tidak begitu bahkan ia menjangkau ke ufuk yang terbentang luas dan ke tahap yang lebih tinggi dan besar." [2]

Kita dapat menyimpulkan daripada pandangan kedua-dua tokoh ini, bahawa Islam tidak pernah mengabaikan keperluan material dari unsur kehidupan manusia, bahkan menjadikan ianya sebagai sebuah pakej yang terkandung dalam sistemnya, sebagaimana unsur spriritual, moral dan lain-lain. Ini adalah konsep at-Tawhid (Menyatukan) dan asy-Syumul (Menyeluruh) yang dipelopori oleh Islam. Islamis percaya, HANYA dengan mengembalikan individu dan masyarakat kepada Islam, mereka akan mampu menyelesaikan masalah politik, ekonomi, sosial, pendidikan, perhubungan antarabangsa dan lain-lain. Islam sebagai satu-satunya solusi mutlak dalam menghadapi akar-umbi masalah, bukan sekadar solusi tempelan yang hanya menyentuh permukaan masalah sahaja.

Al-Banna berkata lagi;
"Saya juga yakin bahawa tidak ada satupun sistem atau ajaran yang dapat mencurahkan kebahagiaan ke dalam jiwa manusia dan membimbing mereka secara praktikal dan jelas ke arah mencapai kebahagiaan ini sepertimana yang ditonjolkan oleh ajaran suci Islam; Agama yang bertepatan dengan fitrah, jelas dan praktikal. Namun di sini bukanlah ruang untuk menghuraikan segala kandungan ajaran ini. Di sini juga bukan tempat untuk membuktikan bahawa ajaran ini menjanjikan hasil tadi dan membawa ke arah kebahagiaan seluruh manusia. Perbincangan ini memerlukan ruang yang lain. Apatah lagi saya yakin kita semua sebulat suara menerima kesahihan kenyataan ini. Malah ramai di kalangan bukan Islam yang mengakui hakikat ini. Mereka mengakui keindahan dan kesempurnaan Islam." [3]

Dengan Islam, Hudud tidak akan dilaksanakan pada golongan tertentu sahaja, lantas mengabaikan golongan yang berautoriti seperti sultan dan pemerintahan dalam radar pantauan perlaksanaan Hudud. Hudud akan dilaksanakan dengan adil dan saksama, meraikan kesemua pihak yang bernaung di bawah sistemnya. Hudud akan melindungi harta dan kehormatan semua rakyat, muslim mahupun non-muslim sehingga akhirnya pelaku jenayah dengan sendirinya akan menyerahkan diri untuk dikenakan hukuman Hudud, seperti yang dipaparkan dalam sirah baginda Rasulullah S.A.W.Ini membuktikan bagaimana adilnya Hudud, sehingga pelau jenayah berasa bersalah jika dirinya tidak dihukum dengan hukuman Allah tersebut.



Dengan Islam, GST tidak akan dilaksanakan tanpa melalui beberapa prosedur yang sepatutnya, menurut konsep yang digariskan dalam sistem ekonomi Islam. Dalam usaha mencari sumber keuntungan dan menstabilkan kewangan negara, pihak kerajaan boleh mulakan dengan mengurangkan gaji dan elaun para menteri dan penjawat kerajaan, sebelum mengambil pendekatan mengggunakan duit rakyat. Jika terpaksa dilaksanakan juga, maka GST perlulah dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang sudah ditetapkan oleh JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan; iaitu

i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;
ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;
iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;
v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;
vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan Setempat [4]

RUMUSAN

Dengan tulisan ini, maka jelas perbezaan perspektif materialisme dan Islam dalam mendepani krisis-krisis nasional yang berlaku. Sebagai Islamis yang meyakini bahawa Islam adalah penyelesaian kepada segala isu yang timbul, kita seharusnya lebih bersungguh untuk menawarkan solusi mutlak kepada msyarakat, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga dan terpengaruh dengan solusi tempelan yang dikumandangkan oleh Barat. Aset Islam sangat berharga dan sudah terbukti berkesan dalam memerintah dunia, seperti yang dapat disaksikan oleh sejarah.


RUJUKAN;
  1. Himpunan Risalah; Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna; halaman 199
  2. Hadis-Hadis Pilihan, Al-Marhum Muhammad Qutb, halaman 113
  3. Himpunan Risalah; Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna, halaman 122
  4. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kajian-terhadap-cukai-barangan-dan-perkhidmatan-gst


AMAR ISMAT BIN MOHD. NASIR
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon