Monday 6 April 2015

MAKA, SEMPURNAKANLAH HIDAYAHMU!

وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

"Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya" (Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim; Hadith ke-36 dari Hadith 40 Imam Nawawi)

Hadith ringkas ini menunjukkan satu sifir khusus yang Allah kemukakan untuk umat Islam, terutama dari sudut  kacamata muslim terhadap alam dan dunia ini. Ada beberapa noktah penting yang mesti dilihat dari hadith ini, supaya hadith ini mampu menjadi pedoman dan panduan untuk umat Islam dalam meneliti arus dunia yang sangat terdedah kepada falsafah dan pemikiran yang menyeleweng daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

Hadith ini mengisyaratkan kepada kita, bahawa dalam apa-apa bantuan atau pertolongan oleh seorang muslim kepada muslim yang lain, dia tidak boleh mengharapkan apa-apa balasan semula melainkan meletakkan segala balasan atas perbuatan baiknya itu hanyalah daripada Allah. Segala perbuatan baik dan ihsan seorang muslim pada saudara muslimnya samada banyak atau sedikit, mestilah diniatkan ikhlas kerana Allah semata-mata, dan tidak mengharapkan balasan melainkan ganjaran daripadaNya.



Dunia hari ini melihatkan hubungan antara manusia, samada individu, sosial, dan antara negara semua hanyalah hubungan atas dasar maslahah (kepentingan) bagi kedua-dua pihak. Setiap pihak yang berhubung atau mebuat perjanjian, mesti mendapat benefit (keuntungan) dari pihak yang lain. Jika mana-mana pihak tidak dapat memberikan apa-apa benefit kepada pihak yang lain, maka hubungan dan perjanjian tersebut akan putus serta-merta kerana dasar hubungan itu dibina (pada asalnya) sudah lenyap.

Namun dalam sistem Islam, Allah mengajar kepada muslim bahawa hubungan antara manusia mestilah didahului dengan konsep Rabbaniyah, iaitu konsep kewujudan Tuhan, dan keterikatan antara Tuhan dan manusia. Hubungan yang dibina bukan semata-mata disandarkan pada benefit material atau moral di dunia semata-mata, bahkan mengambil kira unsur rabbani dan ruhi yang wujud dalam Islam. Jika seorang muslim menghulurkan bantuan pada muslim yang lain, biarlah dia tidak mendapat balasan material atau moral yang setimpal atas ihsannya itu, kerana dia yakin akan janji Allah untuk membantunya selagimana dia membantu saudara muslimnya yang lain. Ini sekaligus menafikan hubungan atas dsar maslahat yang berleluasa di dunia secara umumnya.

Konsep ini menjamin kesejahteraan hubungan daulah Islam samada dalam negara (individu dan sosial) dan luar negara supaya sentiasa berjalan atas landasan Syariat-Nya yang adil. Dan bukankah balasan di sis manusia itu akan luput, tetapi ganjaran di sisi ALlah itu lebih baik dan berkekalan?

Firman Allah;
A096
"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan." (An-Nahl; 96)

Di surah yang lain, Allah berfirman;
A017
"Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Al-A'la; 17)


* * * * *

Selain itu, antara noktah penting yang mesti diperhalusi di dalam hadith ini adalah makna bantuan dan pertolongan itu sendiri. Adakah bantuan yang dimaksudkan di sini terhad pada bantuan material semata-mata? Jika itulah makna bantuan yang difahami, maka definisi bantuan dan pertolongan itu sudah disempitkan, sedangkan hakikatnya ia sangat luas dan menyeluruh pada semua aspek material, moral dan spiritual.

Noktah ini boleh diqiaskan melalui makna nikmat yang Allah firmankan di dalam Quran. Seringkali umat Islam menyangka nikmat itu hanyalah terhad pada nikmat material seperti rezeki dan kekayaan semata-mata. Tetapi jika diteliti dengan lebih mendalam, dalam Surah Al-Fatihah, Allah telah menyamakan golongan yang tidak diberi nikmat dengan orang yang dimurkaiNya dan golongan yang sesat. Menggunakan konsep mafhum al-mukhalafah (mafhum bertentangan), nikmat yang dimaksudkan di sini adalah nikmat hidayah (Islam dan Iman) itu sendiri.

A007

"Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat" (Al-Fatihah; 7)

Melalui qias ini, bantuan dan pertolongan juga boleh dimaksudkan dengan BANTUAN HIDAYAH yang diberikan pada oleh seorang muslim pada saudara muslimnya yang lain. "Allah akan memberi hidayah pada hambaNya, selagimana dia memberi hidayah pada saudaranya.." Tidakkah sifir ini tepat dengan konsep yang dibawa dalam beberapa ayat Quran yang lain?

Firman Allah;
A105
            
"Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan." (Al-Maidah; 105)

Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita, bahawa hidayah Allah pada seseorang, tidak akan lengkap dan sempurna selagi dia tidak berusaha memberikan hidayah kepada orang lain, Bahkan, jika diselarikan dengan hadith awal tadi, seseorang muslim itu dijanjikan akan kekal berada di dalam hidayah Allah, jika dia berterusan memberikan hidayah kepada orang lain!

Indahnya Islam ini ya Allah. Sungguh sabda Rasululllah ringkas, namun mempunyai fiqh dakwah dan hadharah yang sangat mendalam.


AMAR ISMAT BIN MOHD. NASIR
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliah Usuluddin,
Universiti AL-Azhar, Kaherah.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon