Thursday 26 June 2014

RAMADHAN DAN AL-QURAN, MENALAR SINAR KEMULIAAN

     Fajar Ramadhan kini terbit lagi, alhamdulillah buat kesekian kalinya. Ada yang merindui, ada yang menanti, dan tidak kurang juga yang membenci. Walaupun pelbagai reaksi dan persepsi kita terhadap kedatangan Ramadhan, bulan ini sudah terpahat sebagi sebuah bulan yang paling mulia di sisi Allah SWT.  Mulia Ramadhan pada puasanya, pada perjuangannya, mungkin ramai yang sudah maklum dan tahu. Cuma bezanya, dalam entri ini kemuliaan Ramadhan akan cuba diolah dari sisi pandang yang agak berbeza.

RAMADHAN DAN AL-QURAN
Pernah terfikir, di mana kaitan kemuliaan Ramadhan dengan Al-Quran? Signifikan kemuliaan Ramadhan dengan Al-Quran boleh dianalogikan begini.

     Bayangkan di atas jalanan tempat lalu lintas manusia, terdapat secarik kertas yang tertulis jenama sebuah pakaian bertaraf antarabangsa. Manakala di sebelah kirinya pula terdapat secarik kertas lain yang tertulis padanya beberapa potong ayat Al-Quran. Pastinya sebagai seorang Muslim yang sensitif, kertas Al-Quran itu akan diambil lalu diletakkan di tempat yang tinggi atau dibakar. Ini naluri iman yang sentiasa mengalir dalam hati seorang muslim. Dia tidak sanggup untuk melihat kertas Al-Quran itu dipijak-pijak oleh manusia. Berbeza dengan kertas jenama tadi, yang tidak menjadi perhatian sesiapa lalu dibiarkan berada di jalanan walaupun kedua-duanya berasal daripada bahan dan kertas yang sama.


Analogi seterusnya, antara sebuah masjid dan sebuah kompleks beli-belah. Pengunjung yang ingin memasuki masjid perlu menutup aurat dan menjaga adab-adab di masjid seperti yang termaktub di dalam kitab Akhlak. Namun perkara sedemikian tidak pula berlaku pada pengunjung kompleks beli-belah. Bahkan duduk bersahaja dan tidur di dalam masjid dengan niat iktikaf pun ada ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah. Pernah terlintas, mengapa situasi dalam dua bangunan ini berbeza, sedangkan material untuk membina sebuah masjid dan kompleks beli-belah adalah sama sahaja?

Daripada kedua-dua analogi di atas, ternyata faktor yang menjadikan secarik kertas dan sebuah bangunan itu mulia adalah dengan Al-Quran. Kertas tersbut tertulis padanya kalimah-kalimah Al-Quran, manakala masjid merupakan tempat berkumandangnya alunan dan tempat tersimpannya Al-Quran. Dengan dinisbahkan pada Al-Quran, perkara yang biasa menjadi luar biasa dan mulia di sisi semua!


     Bagaimana pula keadaanya jika Al-Quran itu dinisbahkan pada sebuah bangsa atau seorang  individu? Pastinya ”bangsa atau individu Al-Quran” tersebut merupakan semulia-mulia bangsa dan individu yang wujud di dunia ini. Ini selaras dengan gelaran generasi Sahabat RA pada zaman Rasulullah, yang digelar sebagai Jiil Al-Quran Al-Farid (Generasi Al-Quran Yang Agung). Sebagaimana yang diketahui juga, Rasulullah telah menyifatkan generasi baginda sebagai generasi terbaik yang pernah wujud di muka bumi.

      Kerana perkara yang sama Allah telah memuliakan Ramadhan. Allah melengkapkan penurunan Al-Quran dari Sidratul Muntaha ke Baitul Izzah di dunia pada bulan Ramadhan.  Lupakah kita, ungkapan Al-Quran Al-Karim, sangat sinonim dengan ucapan “Ramadhan Karim”?

Ramadhan Karim.
Allahu Akram.


Artikel Terkait


EmoticonEmoticon