Sunday 9 February 2014

Kembara Khazanah Khilafah; Istanbul, Turki. Part 2

HAGIA SOPHIA
  
     Setelah singgah sebentar di Maqam Sultan Abdul Hamid II dan bergambar di sana, kami meneruskan perjalanan ke Hagia Sophia, antara tempat yang menjadi identiti Istanbul berdekad lamanya sejak zaman empayar Rom lagi. Pada asalnya kami menganggap Hagia Sophia adalah sebuah masjid, rupanya tanggapan kami salah. Hagia Sophia telah menjadi sebuah muzium sejak 1935 lagi semasa Turki di bawah pemerintahan Mustafa Kamal. Hagia Sophia mengalami beberapa transformasi sejak ianya dibina. Asalnya ia adalah sebuah gereja sehinggalah semasa pembukaan Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al Fateh, baginda telah mengubah Hagia Sophia menjadi sebuah masjid. Mustafa Kamal pula telah mewartakannya sebagai monumen sejarah dan dijadikan muzium sehingga hari ini. Satu isyarat yang dapat kami kenalpasti, untuk mengetahui ideologi apa yang menguasai Istanbul, lihatlah pada Hagia Sophia.


     Ust Fuad Jamil, salah seorang peserta rombongan iFateh atau lebih dikenali sebaga Ust Fuad Fetya yang sudah membuat serba sedikit kajian tentang senibina Hagia Sophia telah menunjukkan pada kami akan kecacatan binaan Hagia Sophia. Sehingga hari ini, Hagia Sophia sedang melalui beberapa proses pembaikan untuk mengelakkan monumen bersejarah ini daripada runtuh menyembah bumi. Walaupun dari luar kelihatan sangat indah, namun kelihatan beberapa kecacatan di dalam binaan Hagia Sophia yang jelas di dinding dan pasak sekeliling bangunan.

     Selain itu, apa yang menarik perhatian kami adalah, terdapat tulisan khat yang dukir kalimah "Allah" dan "Muhammad" bercampur dengan gambar Virgin Mary dan Jesus Christ di bahagian dinding atas bangunan. Di sekeliling tingkat dua Hagia Sophia juga terdapat banyak ukiran paderi-paderi sejak zaman Maharaja Justinian lagi, ditambah pula dengan ukiran salib di pintu masuk. Seolahnya terdapat unsur pluralisme di sini. Timbul juga persoalan, kenapa semasa zaman Sultan Muhammad Al Fateh beliau tidak mengikis semua ukiran-ukiran Kristian ini? Sedangkan Rasulullah dahulu semasa Pembukaan Kota Makkah, baginda telah menghancurkan kesemua 360 berhala di sekeliling Kaabah. 
Lambang Salib di dinding atas pintu masuk

Gambar ukiran Virgin Mary dan Jesus Christ antara khat kalimah "Allah dan "Muhammad"

Ukiran paderi dan maharaja Kristian
     Setelah bertanya pada tourist guide kami dan beberapa orang tempatan, kami beroleh jawapannya. Rupa-rupanya, semasa zaman Sultan Al Fateh, baginda telah menampal ukiran-ukiran Kristian itu dengan campuran simen, seolah-olahnya kelihatan seperti sebuah dinding. Dan persoalan kenapa baginda tidak mengikis terus ukiran-ukiran ini seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah tehadap Kaabah adalah kerana baginda Rasul pernah melarang para sahabat untuk mengubah seratus peratus gereja menjadi masjid. Kaabah pada awal pembinaanya bukanlah gereja atau tempat penyembahan berhala. Kerana itulah Rasulullah meruntuhkan semua berhala, mengembalikan Kaabah kepada tujuan asal ia dibina, berbeza dengan Hagia Sophia. Tambahan pula, Sultan Al Fateh telah mengambil faktor kekukuhan Hagia Sophia. Baginda khuatir jika dikikis juga ukiran-ukiran itu, Hagia Sophia akan runtuh kerana binaanya yang memang tidak kukuh pada asalnya. 

     Ketika zaman Mustafa Kamal pula, beliau telah mengarahkan lapisan simen yang menutup ukiran-ukiran Kristian itu dikikis. Kesan-kesan kikisan itu kekal sehingga hari ini, dan boleh dilihat dengan jelas pada beberapa buah ukiran. Maka terjawablah persoalan kenapa seolahnya terdapat unsur pluralisme di dalam binaan ini. Mustafa Kamal yang telah mewartakan Hagia Sophia sebagai muzium dan mengikis simen-simen itu dikatakan cuba untuk mensekularkan Hagia Sophia dari sebarang pengaruh agama, baik Islam atau Kristian. Ia bukan masjid mahupun gereja, dan tiada tanda-tanda khusus untuk mengatakan ianya sebuah rumah ibadat. Mustafa Kamal sengaja mencampurkan adukkan tanda-tanda Islam dan Kristian di dalam Hagia Sophia supaya masyarakat hanya menganggapnya tinggalan sejarah biasa dan tidak terpalit dengan mana-mana peradaban agama. Tanda sekularisme menguasai Istanbul!

     Menurut Ariff Zainuddin, tourist guide kami, PM Turki Recep Tayyip Erdogan sedang berusaha dalam Parlimen Turki untuk menjadikan Hagia Sophia sebaagai sebuah masjid semula. Isyarat bahawa sekularisme sudah tamat tempoh sah lakunya di Istanbul. Persoalannya, mampukah Erdogan berjaya untuk mengubahnya? Agenda Islamisasi beliau akan bertembung dengan rancangan tourism Kementerian Pelancongan Turki yang banyak menjana ekonomi negara dengan pewartaan Hagia Sophia sebagai muzium dan  fikrah Kemalisme yang masih tebal dalam kalangan rakyat Turki.

Bersambung dalam part3, insya Allah!

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon