KENAPA IKHWAN
MUSLIMIN MENYERTAI PILIHANRAYA PARLIMEN?
Muktamar ke 6 Ikhwan Muslimin yang
berlangsung di Kaherah pada Zulhijjah 1361H bersamaan Januari 1941 telah
menetapkan bahawa Ikhwan Muslimin akan menyertai Pilihanraya Parlimen di Mesir.
Maktab Irsyad Ikhwan telah mengambil keputusan ini, dan telah mengemukakan
beberapa ahli Ikhwan pada pilihanraya yang lalu. Keputusan ini dibuat setelah
proses pilihanraya diputuskan, iaitu selepas Parlimen dibubarkan.
Ramai orang bertanya; Kenapa Ikhwan
menyertai Pilihanraya? Sedangkan Ikhwan Muslimin seperti yang diketahui umum
serta diwar-warkan oleh mereka sendiri, bahawa mereka adalah pertubuhan untuk
perkhidmatan awam, dan sebuah pertubuhan dakwah yang mentajdid kefahaman Islam
dan mengislah masyarakat berteraskan kaedah dan pengajaran Islam.
Sebagai sebuah pertubuhan untuk
perkhidmatan awam, Ikhwan telah melaksanakan khidmat mereka pada masyarakat
dengan terang dan jelas, antaranya perkhidmatan dalam bidang pengetahuan, kebajikan, sukan dan interaksi
sesama manusia. Mereka mendirikan kemudahan-kemudahan seperti masjid, sekolah,
klinik dan pusat-pusat penjagaan pada kadar kemampuan mereka.
Sebagai pertubuhan dakwah yang
mengislah masyarakat pula, fikrah Ikhwan telah memandu msayarakat Mesir secara
khusus dan masyarakat Islam keseluruhannya kepada kaedah dan pengajaran Islam
yang dipraktikkan dalam setiap inci kehidupan manusia. Secara jelasnya tanpa
memerlukan kepada penerangan, bahawa Islam bukan sekadar aqidah dan ibadah
semata-mata, bahkan meliputi aqidah, ibadah dan amal yang mewarnai kehidupan
masyarakat pada setiap lapangan secara rasmi dan nasional.
Mereka itulah Ikhwan Muslimin,
pertubuhan dan dakwah. Dakwah menjadi teras fikrah dan tujuan perjuangan
mereka. Dakwah itulah juga matlamat tertinggi untuk dipertaruhkan dengan diri
mereka sendiri sepanjang kehidupan mereka. Paksi utama agar dakwah berjaya
adalah dengan penerangan yang jelas dan berterusan, yang mampu mengetuk
pendengaran manusia dan sampai ke hati dan pemikiran mereka. Ini adalah satu
peringkat pencapaian yang telah dicapai oleh Ikhwan, pada pandangan mereka
tehadap masyarakat sekeliling dengan kadar kejayaan yang dapat dilihat dan
dirasai.
Sudah tiba masanya bagi Ikhwan,
untuk menyampaikan dakwah mereka yang mulia ini dalam persekitaran yang rasmi.
Cara yang paling hampir untuk mencapai tujuan ini adalah melalui pentas
parlimen. Ikhwan mesti memastikan pemidato dan du’at mereka berada di pentas
ini, untuk meninggikan kalimah-kalimah dakwah mereka. Mereka juga hendaklah
memastikan suara delegasi umat yang berada di pentas rasmi ini tersebar dan sampai
ke seluruh masyarakat. Kerana sebab inilah Maktab Irsyad telah mengambil
keputusan untuk bertanding di dalam pilihanraya parlimen.
![]() |
Gambar hiasan, ehsan dari iTarbiyyah.com |
Maka, pendirian untuk bertanding ini
adalah pendirian yang biasa dan tiada yang kotor tentangnya. Pentas parlimen
tidak didirikan atas seruan parti-parti politik yang berbeza, bahkan ianya
adalah sebuah pentas umat. Pentas yang didengari daripadanya setiap fikrah yang
baik, dan terbit daripadanya bimbingan yang sejahtera dan berrmanfaat serta
mengambil kira keprihatinan masyarakat.
Ikhwan akan memperoleh faedah yang
mulia sepanjang perjalanan ini. Mereka berpeluang untuk menyebarkan dakwah pada
persekitaran di mana berleluasanya pertembungan ideologi serta perbezaan pendapat. Tidak sepatutnya dakwah
yang benar dan mulia ini mendiamkan dirinya, di saat berkumandangnya semua
ideologi lain yang bercampur-baur, kerana kebatilan tidak akan tertegak
melainkan dengan bisunya kebenaran. Mereka juga akan dapat memahamkan manusia
bahawa dakwah Ikhwan bukan sekadar peringatan dan pidato semata-mata, bahkan
dakwah perlu meniti jalan di atas pentas dan himpunan rasmi. Maka setiap yang
mengimani dakwah ini perlu menggerakkan diri mereka dan bersiap sedia untuk
berhadapan dengan segala tribulasi yang terdapat di medan ini.
Antara manfaat lain bagi Ikhwan
adalah mereka mampu membimbing manusia terhadap
penampilan yang mulia dalam perlumbaan yang terdapat di medan ini. Kempen
Ikhwan akan berdiri atas prinsip dan objektif, dan masyarakat akan melihat di
hadapan mereka warna baru yang unik untuk kempen pilihanraya. Kempen yang
bersih lagi suci yang bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat
ayat 11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum
itu mencemuh kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka yang (dicemuh) itu
lebih baik daripada mereka (yang mencemuh), dan jangan pula perempuan
(mencemuh) perempuan lain, kerana boleh jadi perempuan (yang dicemuh) itu lebih
baik daripada perempuan yang mencemuh. Janganlah kamu mencela satu sama lain,
dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buru
panggilan adala panggilan fasik setelah beriman. Dan barangsiapa yang tidak
bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Jika ditakdirkan kemenangan bagi
Ikhwan-dan itulah yang diharapkan, maka inilah sifat yang rasmi untuk dakwah
mereka. Ini juga merupakan catatan rasmi untuk kejayaan mereka dalam
menyampaikan dakwah kepada pengetahuan dan pendengaran masyarakat. Dengan
kejayaan ini juga, masyarakat akan melihat isyarat cita-cita yang agung serta
kebangkitan dan kehidupan yang baru. Tiadalah Allah berkehendak melainkan untuk
menyempurnakan cahaya (agama)-Nya.
Ikhwan akan berhadapan dengan
pertembungan ini berpaksikan bantuan Allah yang akan menguatkan mereka serta fikrah yang telah sebati di dalam diri dan
jiwa mereka. Kelengkapan dan bantuan yang akan menolong mereka adalah iman.
Keutamaan mereka adalah untuk memandu umat dan membimbing manusia untuk menemui
jalannya kepada Allah.
Sebahagian manusia berkata dan
bertanya: Bukankah dengan penyertaan Ikhwan ini akan menyebabkan mereka keluar
daripada skop keagamaan kepada skop politik? Lalu mereka menjadi sebuah entiti
politik sedangkan sebelum ini mereka adalah sebuah entiti agama?
Maka kami menjawab: Sesungguhnya
Isalm tidak mengenal pemisahan-pemisahan yang terdapat dalam hidup umat yang
satu ini. Entiti Islam dituntut untuk mengiklankan pandangan Islam pada setiap
penjuru kehidupan, dan jalan parlimen adalah jalan yang paling hampir dan mulia
untuk tujuan ini. Jalan parlimen ini tidak terkeluar daripada sifat dan bentuk
entiti Islam itu sendiri.
Pihak ketiga pula telah berkata:
Bukankah pilihanraya ini akan menyebabkan Ikhwan menjadi pesaing dan musuh
kepada orang lain? Sedangkan dakwah itu memerlukan kepada penyelerasan dan
saling meneguhkan antara satu sama lain.
Ini adalah perkataan yang baik dan
kemas, bahkan kami bersemangat agar dakwah ini berjaya dengan sepenuh hati
kami. Maka, pertembungan pilihanraya Ikhwan ini akan menjadi menjadi pertembungan
yang ideal dan mithali, jauh daripada unsur mencemuh peribadi dan provokasi
kedengkian dan kebencian. Jika masyarakat memahami makna ini, maka kita akan
menyertai pilihanraya sebagai teman, dan keluar daripadanya sebagai teman juga.
Adapun jika masyarakat tidak memahami erti ini, maka merekalah yang patut
dipersalahkan.
Dakwah dan ashabud dakwah tidak perlu berasa takut untuk menyelusuri jalan
menuju kejayaan yang diselubungi dengan ketakutan dan kegerunan manusia, kerana
Allah itu yang sepatutnya digeruni dan ditakuti oleh ashabud dakwah. Kemuliaan
itu juga terdapat pada dakwah dan ashabud dakwah yang bersaing dalam perkara
kebaikan, dan berperang dengan senjata yang paling suci dan wasilah yang paling
mulia.
Para pengkritik juga telah mengemukakan satu soalan yang bernas: Apa yang
kamu akan lakukan dengan sumpah perlembagaan kamu jika kame memenangi
pilihnaraya nanti? Kerana di dalamnya terdapat teks untuk meluhurkan
perlembagaan, sedangkan kamu Ikhwan sekalian melaungkan dengan sepenuh jiwa
kamu bahawa “Al-Quran adalah perlembagaan kami?”
Jawapan untuk soalan ini adalah amat nyata dan jelas: Perlembagaan Mesir
dan tujuannya secara umum adalah berunsurkan perbincangan dan syura,
mengukuhkan kekuasaan umat dan memelihara kemerdekaan dan kebebasan. Ini tidak
bertentangan dengan Quran dan selari dengan kaedah dan pengajarannya. Jika
terdapat subjek-subjek yang perlu kepada
perubahan, maka perlembagaan itu sendiri memperuntukkan bahawa perubahan itu
tertakluk pada parlimen dengan peruntukan undang-undang yang sudah digubal.
Maka, parlimen sebenarnya adalah wasilah untuk mencapai seruan Ikhwan itu
sendiri.
Maka kesimpulannya,
Maktab Irsyad telah memutuskan untuk keputusan menyertai pilihanraya ini,
setelah mengkaji setiap isi dan tajuk yang berkaitan dengannya. Maktab Irsyad
akan memantau urusan Ikhwan secara dekat, melakar jalan yang akan dilalui
Ikhwan untuk penyertaan mereka di dalam pilihanraya dan memimpin mereka dalam
setiap keadaan dan situasi dengan kebijaksanan dan pemerhatian persekitaran
secara umum dan khusus. Semoga dakwah memperolehi faedah dan pulangan yang
besar dengan harga pengorbanan yang sedikit.
Segala urusan adalah di sisi Allah. Cukuplah Dia menjadi penolong bagi
kami, dan Dia adalah sebaik-baik pelindung.
Penterjemah: Amar
Ismat Mohd. Nasir
Sumber: Risalah Al-Ikhwan
Lil Intikhabat, Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna,
2010, Dar An Nasyr wa Tauzi’
2 comments
salam,erk, mungkin ana ada persoalan.
mungkin ana tak cukup baca habis tentang isu politik malaysia @ mesir @ mana2 pun.
ini bukan apa2. hanya persoalan, yg bermain difikiran.
soalannya adalah:
1. ana pernah dengar, sebelum ini, isu mengapa ikhwan tidak masuk kedalam politik. sbb kita tengokkan, ikhwan telah ditubukan pd 1924. and yet, selepas hampir 90 tahun, baru ikhwan menceburkan diri dalam politik. secara rasmi. persoalannya adalah, mengapa baru sekarang? maksudnya, adakah terdapat waktu2 @ faktor2 tertentu yg ikhwan rasa, "owh, dh smpai masanya untuk kita join politik.."
2. sebenarnya ana sangat setuju apabila ikhwan dh masuk politik. tetapi, nk tanya, adakah ikhwan menolak secara total untuk bekerja dgn yg bukan islam? contoh, kalau politik malaysia sekarang, mca,dap,pkr,bn ditolak mentah2 kerana mereka tidak menyokong islam. macamana ye?
beberapa soalan. serius, bukan niat provokasi atau apa2.. hanya tertanya2..jazakallah..
Wasalam.
1. Ikhwan ditubuhkan pada 1928, bukan 1924. Dan sebenarnya bila baca risalah ni, Ikhwan dah masuk pentas politik sejak dari 1942 lagi, bukan baru masuk pada 2010. Tahun 2012 Ikhwan masuk dengan menubuhkan parti, tapi sebelum2 tu Ikhwan bertanding atas tiket parti lain dan bebas.
2. Ikhwan dan Islam memang tak tolak bertahaluf dengan orang kafir secara mutlak. Namun apa beberapa syarat ketat yang digariskan oleh ulamak dalam hal ini. Rujuk http://www.youtube.com/watch?v=rRb2xtcKudI untuk maklumat lanjut
Syukran kerana komen.
EmoticonEmoticon