Tuesday 30 April 2013

KENAPA IKHWAN TIDAK BERGABUNG DENGAN SYUBBANUL MUSLIMIN?



Ikhwan Al-Muslimin Dan Pertubuhan Islam

Ke atas seorang akh Muslim itu, untuk menetapkan pendiriannya dan hubungannya dengan pertubuhan-pertubuhan yang pelbagai di Mesir ini. Ini adalah supaya pandangan dan muamalahnya dengan pertubuhan tersebut selari dengan pendirian-pendirian yang telah digariskan, supaya dia tidak memusuhi siapa yang sepatutunya dijadikan wali, atau mencintai siapa yang sepatutnya dijauhi,  atau mempromosikan sudut pandangan yang diiktibarkan sebagai memerangi dakwah itu sendiri.

Saya telah jelaskan pendapat serta pendirian Islam berhubung pelbagai masalah yang bermain di kotak fikiran umat Islam ketika ini. Dalam kesempatan ini juga saya ingin jelaskan kepada sidang hadirin sekalian pendirian Ikhwan al-Muslimin tentang pertubuhan-pertubuhan Islam yang ada di Mesir. Ramai di kalangan pencinta kebaikan berharap semoga semua pertubuhan ini bergabung dan bersatu di bawah satu pertubuhan Islam yang menuju ke arah satu matlamat. Ia suatu harapan yang besar dan cita-cita yang mulia dicitakan oleh setiap orang yang cintakan kebaikan untuk negara ini.

Ikhwan al-Muslimin melihat kesemua pertubuhan ini walau apa sekalipun pendekatannya semuanya bekerja untuk menaikkan Islam. Ikhwan mengharapkan kejayaan buat semua pertubuhan ini. Ikhwan tidak pernah lupa untuk meletakkan satu agenda bagi mendekatkan kesemua pertubuhan ini, berusaha untuk menggabungkan dan menyatukan kesemua pertubuhan ini dalam suatu agenda yang disepakati bersama. Perkara ini telah diputuskan di dalam Muktamar Tahunan Ikhwan Kali Ke-4 yang diadakan di Mansoura dan Asyout pada tahun lepas. Saya sampaikan berita gembira kepada kamu bahawa apabila Maktab al- Irshad mula melaksanakan keputusan ini mereka menerima sambutan yang baik daripada semua pertubuhan yang mereka hubungi. Sambutan ini menandakan usaha ini akan berjaya tidak lama lagi, dengan izin Allah.



Ikhwan Dan Syubban al-Muslimin
Persoalan ini selalu berlegar dalam kotak fikiran orang ramai, apakah perbezaan antara jamaah Ikhwan dan jamaah Syubban? Kenapa kedua-dua jamaah ini tidak bergabung menjadi satu dan menggunakan pendekatan yang satu?
Sebelum saya menjawab soalan ini suka saya tegaskan kepada pihak yang mahukan wujudnya penyatuan tenaga dan kerjasama yang erat antara kedua-dua jamaah, bahawa Ikhwan dan Syubban terutama di Kaherah ini tidak pernah merasakan mereka berada dalam suasana persaingan. Sebaliknya mereka merasakan mereka berada dalam suasana kerjasama yang erat dan teguh. Kebanyakan isu-isu umum berkenaan Islam yang dibangkitkan oleh Ikhwan dan Syubban adalah sama dan bersama. Sebabnya matlamat yang dikongsi bersama oleh kedua-dua jamaah ialah berusaha dengan apa jua yang boleh bagi memartabatkan Islam dan membawa manfaat untuk umat Islam. Cuma wujud sedikit perbezaan mengenai cara berdakwah dan strategi yang diamalkan oleh kedua-dua penggerak serta cara penggemblengan tenaga dilakukan. Saya yakin kesemua jamaah Islam ini akan bersatu di bawah satu badan tidak lama lagi. Masa menentukan segala-galanya, dengan izin Allah.


Sumber : Risalah Manhaj dan Risalah Muktamar Kelima, Himpunan Risalah Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna

#Nota; Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1928, beberapa tahun selepas Syubbanul Muslimin tertubuh. Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna sendiri merupakan salah seorang ahli Syubbanul Muslimin sebelum beliau menubuhkan Ikhwan.


Amar Ismat Mohd. Nasir
Nasr City, Cairo
30 April 2012 12.04 pm  

Monday 22 April 2013

RISALAH PILIHANRAYA IMAM AL-BANNA


KENAPA IKHWAN MUSLIMIN MENYERTAI PILIHANRAYA PARLIMEN?

Muktamar ke 6 Ikhwan Muslimin yang berlangsung di Kaherah pada Zulhijjah 1361H bersamaan Januari 1941 telah menetapkan bahawa Ikhwan Muslimin akan menyertai Pilihanraya Parlimen di Mesir. Maktab Irsyad Ikhwan telah mengambil keputusan ini, dan telah mengemukakan beberapa ahli Ikhwan pada pilihanraya yang lalu. Keputusan ini dibuat setelah proses pilihanraya diputuskan, iaitu selepas Parlimen dibubarkan.

Ramai orang bertanya; Kenapa Ikhwan menyertai Pilihanraya? Sedangkan Ikhwan Muslimin seperti yang diketahui umum serta diwar-warkan oleh mereka sendiri, bahawa mereka adalah pertubuhan untuk perkhidmatan awam, dan sebuah pertubuhan dakwah yang ingin mengembalikan kefahaman Islam yang sebenar dan mengislah masyarakat berteraskan kaedah dan pengajaran Islam.

Sebagai sebuah pertubuhan untuk perkhidmatan awam, Ikhwan telah melaksanakan khidmat mereka pada masyarakat dengan terang dan jelas, antaranya perkhidmatan dalam bidang  pendidikan, kebajikan, sukan dan interaksi sesama manusia. Mereka mendirikan kemudahan-kemudahan seperti masjid, sekolah, klinik dan pusat-pusat penjagaan pada kadar kemampuan mereka.

Sebagai pertubuhan dakwah yang mengislah masyarakat pula, fikrah Ikhwan telah memandu masyarakat Mesir secara khusus dan masyarakat Islam keseluruhannya kepada kaedah dan pengajaran Islam yang dipraktikkan dalam setiap inci kehidupan manusia. Secara jelasnya tanpa memerlukan kepada penerangan, bahawa Islam bukan sekadar aqidah dan ibadah semata-mata, bahkan meliputi aqidah, ibadah dan amal yang mewarnai kehidupan masyarakat pada setiap lapangan secara rasmi dan nasional.

Mereka itulah Ikhwan Muslimin, pertubuhan dan dakwah. Dakwah menjadi teras fikrah dan tujuan perjuangan mereka. Dakwah itulah juga matlamat tertinggi untuk dipertaruhkan dengan diri mereka sendiri sepanjang kehidupan mereka. Paksi utama agar dakwah berjaya adalah dengan penerangan yang jelas dan berterusan, yang mampu mengetuk pendengaran manusia dan sampai ke hati dan pemikiran mereka. Ini adalah satu peringkat pencapaian yang telah dicapai oleh Ikhwan, pada pandangan mereka, terhadap masyarakat sekeliling dengan kadar kejayaan yang dapat dilihat dan dirasai.



Sudah tiba masanya bagi Ikhwan, untuk menyampaikan dakwah mereka yang mulia ini dalam persekitaran yang rasmi. Cara yang paling hampir untuk mencapai tujuan ini adalah melalui pentas parlimen. Ikhwan mesti memastikan pemidato dan du’at mereka berada di pentas ini, untuk meninggikan kalimah-kalimah dakwah mereka. Mereka juga hendaklah memastikan suara delegasi umat yang berada di pentas rasmi ini tersebar dan sampai ke seluruh masyarakat. Kerana sebab inilah Maktab Irsyad telah mengambil keputusan untuk bertanding di dalam pilihanraya parlimen.

Maka, pendirian untuk bertanding ini adalah pendirian yang biasa dan tiada yang kotor tentangnya. Pentas parlimen tidak didirikan atas seruan parti-parti politik yang berbeza, bahkan ianya adalah sebuah pentas umat. Pentas yang didengari daripadanya setiap fikrah yang baik, dan terbit daripadanya bimbingan yang sejahtera dan bermanfaat serta mengambil kira keprihatinan masyarakat.
            
Ikhwan akan memperoleh faedah yang mulia sepanjang perjalanan ini. Mereka berpeluang untuk menyebarkan dakwah pada persekitaran di mana berleluasanya pertembungan ideologi serta  perbezaan pendapat. Tidak sepatutnya dakwah yang benar dan mulia ini mendiamkan dirinya, di saat berkumandangnya semua ideologi lain yang bercampur-baur, kerana kebatilan tidak akan tertegak melainkan dengan bisunya kebenaran. Mereka juga akan dapat memahamkan manusia bahawa dakwah Ikhwan bukan sekadar peringatan dan pidato semata-mata, bahkan dakwah perlu meniti jalan di atas pentas dan himpunan rasmi. Maka setiap yang mengimani dakwah ini perlu menggerakkan diri mereka dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan segala tribulasi yang terdapat di medan ini.
           
Antara manfaat lain bagi Ikhwan adalah mereka mampu  membimbing manusia terhadap penampilan yang mulia dalam perlumbaan yang terdapat di medan ini. Kempen Ikhwan akan berdiri atas prinsip dan objektif, dan masyarakat akan melihat di hadapan mereka warna baru yang unik untuk kempen pilihanraya. Kempen yang bersih lagi suci yang bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum itu mencemuh kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka yang (dicemuh) itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh), dan jangan pula perempuan (mencemuh) perempuan lain, kerana boleh jadi perempuan (yang dicemuh) itu lebih baik daripada perempuan yang mencemuh. Janganlah kamu mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan fasik setelah beriman. Dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
            
Jika ditakdirkan kemenangan bagi Ikhwan-dan itulah yang diharapkan, maka inilah sifat yang rasmi untuk dakwah mereka. Ini juga merupakan catatan untuk kejayaan mereka dalam menyampaikan dakwah kepada pengetahuan dan pendengaran masyarakat. Dengan kejayaan ini juga, masyarakat akan melihat isyarat cita-cita yang agung serta kebangkitan dan kehidupan yang baru. Tiadalah Allah berkehendak melainkan untuk menyempurnakan cahaya (agama)-Nya.
            
Ikhwan akan berhadapan dengan pertembungan ini berpaksikan bantuan Allah yang akan menguatkan mereka serta  fikrah yang telah sebati di dalam diri dan jiwa mereka. Kelengkapan dan bantuan yang akan menolong mereka adalah iman. Keutamaan mereka adalah untuk memandu umat dan membimbing manusia untuk menemui jalannya kepada Allah.
            
Sebahagian manusia berkata dan bertanya: Bukankah dengan penyertaan Ikhwan ini akan menyebabkan mereka keluar daripada skop keagamaan kepada skop politik? Lalu mereka menjadi sebuah entiti politik sedangkan sebelum ini mereka adalah sebuah entiti agama?
            
Maka kami menjawab: Sesungguhnya Islam tidak mengenal pemisahan-pemisahan yang terdapat dalam hidup umat yang satu ini. Gerakan Islam dituntut untuk mengiklankan pandangan Islam pada setiap penjuru kehidupan, dan jalan parlimen adalah jalan yang paling hampir dan mulia untuk tujuan ini. Jalan parlimen ini tidak terkeluar daripada sifat dan bentuk entiti Islam itu sendiri.
            
Pihak ketiga pula telah berkata: Bukankah pilihanraya ini akan menyebabkan Ikhwan menjadi pesaing dan musuh kepada orang lain? Sedangkan dakwah itu memerlukan kepada penyelarasan dan saling meneguhkan antara satu sama lain.
            
Ini adalah perkataan yang baik dan kemas, bahkan kami bersemangat agar dakwah ini berjaya dengan sepenuh hati kami. Maka, pertembungan pilihanraya Ikhwan ini akan menjadi menjadi pertembungan yang ideal dan mithali, jauh daripada unsur mencemuh peribadi dan provokasi kedengkian dan kebencian. Jika masyarakat memahami makna ini, maka kita akan menyertai pilihanraya sebagai teman, dan keluar daripadanya sebagai teman juga. Adapun jika masyarakat tidak memahami erti ini, maka merekalah yang patut dipersalahkan. 

Dakwah dan ashabud dakwah tidak perlu berasa takut untuk menyelusuri jalan menuju kejayaan yang diselubungi dengan ketakutan dan kegerunan manusia, kerana Allah itu yang sepatutnya digeruni dan ditakuti oleh ashabud dakwah. Kemuliaan itu juga terdapat pada dakwah dan ashabud dakwah yang bersaing dalam perkara kebaikan, dan berperang dengan senjata yang paling suci dan wasilah yang paling mulia.

Para pengkritik juga telah mengemukakan satu soalan yang bernas: Apa yang kamu akan lakukan dengan sumpah perlembagaan kamu jika kamu memenangi pilihanraya nanti? Kerana di dalamnya terdapat teks untuk meluhurkan perlembagaan, sedangkan kamu Ikhwan sekalian melaungkan dengan sepenuh jiwa kamu bahawa “Al-Quran adalah perlembagaan kami?”

Jawapan untuk soalan ini adalah amat nyata dan jelas: Perlembagaan Mesir dan tujuannya secara umum adalah berunsurkan perbincangan dan syura, mengukuhkan kekuasaan umat dan memelihara kemerdekaan dan kebebasan. Ini tidak bertentangan dengan Quran dan selari dengan kaedah dan pengajarannya. Jika terdapat  subjek-subjek yang perlu kepada perubahan, maka perlembagaan itu sendiri memperuntukkan bahawa perubahan itu tertakluk pada parlimen dengan peruntukan undang-undang yang sudah digubal. Maka, parlimen sebenarnya adalah wasilah untuk mencapai seruan Ikhwan itu sendiri.

Maka kesimpulannya, Maktab Irsyad telah memutuskan untuk keputusan menyertai pilihanraya ini, setelah mengkaji setiap isi dan tajuk yang berkaitan dengannya. Maktab Irsyad akan memantau urusan Ikhwan secara dekat, melakar jalan yang akan dilalui Ikhwan untuk penyertaan mereka di dalam pilihanraya dan memimpin mereka dalam setiap keadaan dan situasi dengan kebijaksanan dan pemerhatian persekitaran secara umum dan khusus. Semoga dakwah memperolehi faedah dan pulangan yang besar dengan harga pengorbanan yang sedikit. 

Segala urusan adalah di sisi Allah. Cukuplah Dia menjadi penolong bagi kami, dan Dia adalah sebaik-baik pelindung.
    

Penterjemah:    Amar Ismat Mohd. Nasir      
Sumber: Risalah Al-Ikhwan Lil Intikhabat, Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna,  2010, Dar An Nasyr wa Tauzi’

Friday 19 April 2013

BINGKISAN BEYT MUSLIM

Pada hari Selasa 16 April yang lalu,  berlangsung program Daurah Beyt Muslim yang dianjurkan di Markaz ISMA Madinat Nasr. Berpanelkan Dr. Mohamad Saif Bin Jamaluddin, Bekas Bendahari Kehormat ISMA Mesir dan Ust Ahmad Syamil Bin Mohd Esa, Exco Tarbiyyah ISMA Mesir, daurah ini bertujuan untuk membincangkan tentang beyt muslim dalam arena kehidupan seorang akh.

Dari kanan, Moderator-Ust Muhammad Akid, Ust Syamil, Dr Saif

Kenapa Berkahwin?
Litaskunuu ilaiha wa ja'ala bainakum mawaddatan wa rahmah. Allah menciptakan nikah itu, supaya terhasi; daripadanya sifat sakinah, mahabbah, dan rahmah. Namun, semua daripada kita perlu menyedari, bahawa sifat-sifat ini terhasil supaya kita lebih dekat dengan Allah sebagai Pencipta. Berkahwin, supaya menjadikan cinta kita terhadap Allah itu bertambah. Secara mudahnya, perkahwinan ini meningkatkan ubudiyyah seorang hamba itu terhadap Tuhannya lantas membenarkan ayat-ayat Quran dan Hadith yang berbicara tentang keluarga.

Az zawaaj amrun diini qabla amrun duniawi. Nikah disyariatkan bukan semata-mata untuk melampiaskan nafsu si jantan dan betina semata-mata, bahkan maqasid nikah adalah jauh daripada sekadar tujuan duniawi itu. Maqasid nikah di dalam Islam adalah jauh merentas kepentingan individu yang sementara.

SEBUAH BEYT MUSLIM
Dalam konteks harakah, nikah disyariatkan supaya setiap peribadi akh dan ukht yang telah dibina dengan tarbiyyah yang mu'aanah (lasak) disatukan untuk membina sebuah beyt muslim. Beyt yang dihiasi dengan rencah-rencah tarbiyah. Disulami dengan pesanan-pesanan jihad. Disirami dengan baja-baja iman dan peringatan. Beyt ini juga digalaskan padanya harapan, untuk melahirkan generasi yang akan mengharumkan kembali ummah yang sedang merintih. Beyt muslim seorang akh perlu menjadi orbit qudwah keluarga yang lain, supaya mujtama' muslim itu terbina dengan sentuhan beyt yang didirikan atas dasar iman dan ukhuwwah.



"Ingatlah, ketika anda menyarungkan cincin itu, anda berjanji bukan sahaja untuk setia menjaga isteri anda, bahkan anda berjanji setia untuk sentiasa menjadi inspirasi keluarga lain di sekeliling anda! Itulah sarungan cincin seorang akh sejati, yang meletakkan Allah di dalam jiwa dan hati.."