Thursday 18 April 2019

INTERAKSI AL-QURAN DAN SAINS

Bucailleism memang tidak sepatutnya digunakan dalam membuktikan kebenaran Al-Quran. Perkara ini sudah dibahas oleh ramai mufassir moden seperti Sayyid Qutb rhm di dalam Fi Zilal Al-Quran dan lain-lain tafsir.

Cuma mengatakan Al-Quran dan sains itu tiada kaitan dan terpisah kerana sifat tabii kedua-duanya berbeza, itu adalah dakwaan yang kurang tepat.



Az-Zurqani di dalam kitabnya Manahil Irfan ada menulis tentang interaksi Al-Quran dan Sains. Berikut adalah beberapa pandangan yang dibawakan oleh beliau:
1.     Tema dan objektif utama Al-Quran adalah mukjizat dan hidayah. Segala tema serta objektif lain merupakan cabang yang terhasil daripada dua tema utama ini.
2.     Al Quran bukan sebuah rujukan sains untuk mentafsirkan kejadian alam secara terperinci. 
3.     Al Quran tidak menjadikan sains sebagai tema utamanya kerana teori sains itu berubah dari semasa ke semasa, sedangkan wahyu dan kebenaran itu tetap, absolut dan satu walaupun berbeza tempat dan masa.
4.     Walaupun begitu, Al Quran ada menyuruh dan menggalakkan agar kajian sains dilakukan terhadap fenonema alam dan diri manusia itu sendiri.
5.     Al Quran juga ada menceritakan tentang beberapa kejadian alam dan sains, yang mana kejadian itu membawa kepada bukti bahawa wujudnya Pencipta yang menjadikan alam ini sedemikan rupa. Sains diceritakan untuk memenuhi objektif utama Al Quran iaitu hidayah.
6.     Apabila menceritakan tentang sains, Allah menggunakan perkataan yang ringkas tetapi padat, yang boleh menghasilkan pelbagai bentuk kajian. Sebagai contoh, Allah menggunakan perkataan "أزواجا" ketika mengatakan tentang ciptaanNya. Ulama silam menyatakan bahawa azwaja yang dimaksudkan adalah dualisme seperti langit-bumi, siang-malam, jasmani-rohani dll. Manakala ulama kontemporari pula menyatakan bahawa azwaja bermaksud berpasang-pasangan iaitu jantan betina.

Wallahua'lam, kita mohon petunjuk Allah.





Wednesday 10 April 2019

MODERNISME, DEMOKRASI ILMU DAN KONTEKSTUALITI NAS

Kita biasa mendengar ayat sebegini:
"Agama ini bukan milik ilmuwan dan ulama' sahaja. Ia berhak ditafsirkan oleh semua pihak, dan semua golongan boleh memberikan pandangan mereka dalam isu-isu agama."

Mereka yang lebih ekstrem pula menyatakan "buat apa kita nak rujuk ulama' silam dalam isu agama? Zaman mereka dah berlalu dan fatwa mereka semua sudah lapuk!“

Golongan sebegini, yang menafikan autoriti ilmuwan Islam dalam mentafsirkan agama atas alasan kontekstualiti nas dan demokrasi ilmu ini sebenarnya adalah golongan yang kurang memahami jurang ilmu antara generasi kita dan generasi salaf.



Atas nama konteks, adaptasi, realiti yang berlainan, maqasid, paradigma dan lain-lain, mereka menafikan tradisi keilmuan Islam klasik yang telah menjaga khazanah agama, serta mencipta pelbagai manhaj untuk memastikan agama dan segala alat yang berkaitan untuk memahaminya diwariskan kepada generasi seterusnya.

Mereka merasakan autoriti ijtihad sepatutnya masih terbuka luas, agama masih terbuka pada intrepretasi bebas atas nama demokrasi ilmu, walaupun sebenarnya ijtihad mutlak hampir tiada pada zaman ini. Ijtihad yang ada pada hari ini hanyalah ijtihad yang bercampur dengan taqlid. (meminjam kata Dr Mahmoud Abd Rahman, ketua Jabatan Usul Fiqh Universiti Al-Azhar).

Yang hairannya, dalam masa yang sama mereka ini keras menentang golongan yang tidak berilmu memberikan pendapat tentang isu kesihatan seperti golongan anti-vaksin, doula, flat-earth dan lain-lain. Tetapi khusus dalam isu agama, mereka memperjuangkan demokrasi ilmu dan menolak autoriti khusus dalam bidang agama. Bukanlah mempertahankan golongan pseudo-sains tersebut, namun yang menjadi persoalannya, mengapa terjadi dikotomi sebegini?

Ini adalah beberapa intipati aliran modernisme atas nama Islam. Pada satu sudut, modernis muslim cuba untuk mengeluarkan umat Islam daripada kongkongan taqlid dan kejumudan, namun mereka tersilap apabila menafikan autoriti ilmuwan silam sebagai rujukan agama yang penting.

Sebagai pelajar dalam bidang agama, kita perlu berhati-hati dengan dakyah seumpama ini. Zahirnya indah, namun penuh dengan jarum halus yang berusaha  untuk meruntuhkan kewibawaan warisan ilmu silam.

Wednesday 3 April 2019

ISRAK DAN MIKRAJ: BELAIAN ALLAH KEPADA RASULULLAH SAW

Sempena Israk dan Mikraj pada hari ini, terkenang pula saat menapakkan kaki di bumi Thaif pada tahun lepas. Perjalanannya jauh, menaiki bas dari Makkah menelan masa 3-4 jam. Jalan yang dilalui pula di lereng-lereng bukit. Sepanjang perjalanan hanyalah pasir dan batu yang kering-kontang, tiada tanaman yang tumbuh subur melainkan sedikit.


Rasulullah SAW pergi ke Thaif dari Makkah, mencari sasaran dakwah baru setelah Quraisy (yang merupakan keluarga baginda) menolak dakwah Islam. Perjalanan yang panjang itu, yang disangka penduduknya merupakan prospek dakwah yang baik, menyambut baginda dengan cercaan dan balingan batu. 

Selepas peristiwa itu, baginda SAW berehat di sebuah pohon dan mengadu kepada Allah dalam sebuah ungkapan syair yang sangat menyentuh jiwa:

“Wahai Allah Tuhanku, kepada-Mu aku mengadukan kelemahan diriku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku di hadapan sesama manusia. 

Wahai Allah Yang Maha Kasih dari segala kasih, Engkau adalah pelindung orang-orang yang lemah dan teraniaya. Engkau adalah pelindungku. Tuhanku, kepada siapa Engkau serahkan diriku? Apakah kepada orang jauh yang membenciku atau kepada musuh yang menguasai diriku. 

Tetapi asal Kau tidak murka padaku, aku tidak perduli semua itu. Kesehatan dan karunia-Mu lebih luas bagiku, aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan, yang karenanya membawa kebahagiaan bagi dunia dan akhirat, daripada murka-Mu yang akan Kau timpakan kepadaku. Engkaulah yang berhak menegurku sehingga Engkau meridhaiku. Tiada daya dan upaya kecuali dari-Mu”.



Manusia mana yang tidak luluh hatinya apabila dilakukan sedemikiran rupa. Datang dengan niat yang baik, tiada apa-apa kepentingan. Namun disambut dengan penuh hina..luka di badan dan perasaan. Tambahan pula ketika itu, tempat baginda berpaut kasih iaitu Khadijah RA dan Abu Talib telah meninggal dunia. Kalaulah manusia biasa boleh merajuk dengan majikan mereka, masakan pula Rasul yang bekerja untuk Allah boleh merajuk dengan majikannya sendiri?

Selepas peristiwa ini, Allah telah menganugerahkan baginda dengan kurniaan ISRAK dan MIKRAJ, sebagai pujukan dan rangsangan kepada Rasulullah SAW. Allah memahami hati budi baginda. Allah memberi peluang kepada Rasulullah untuk bertemu dengan para anbiya' terdahulu, yang telah melalui jalan yang sama serta berhadapan dengan pelbagai dugaan dan mehnah seperti baginda.

Itulah tabiat dakwah dan perjuangan, ia tidak akan bergerak melainkan di hadapannya ada ujian dan cabaran..

Salam Israk dan Mikraj 1440H.