Saturday 26 January 2013

KERANA MAHALNYA YURAN


Hari itu berlalu seperti biasa. Aku, seorang pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia melalui rutin hidup sebagai seorang pelajar. Perjalanan dari Akademi Ikatan Muslimin (AIM) ke rumah sewaku di Pekan Razaki tidaklah jauh mana, sekadar 10 minit menunggang basikal.Cuma terik panas bahang angin Ipoh menderau juga darah di kepalaku untuk mengayuh pulang ke teratak.

Tiba-tiba datang berita yang sangat mengujakan aku. Ada sebuah program I'dad Du'at di bawah kelolaan Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pusat akan dianjurkan pada 3, 4, 5 Jun 2011. Aku begitu seronok, sebab aku tahu aku akan bertemu sahabatku yang sekian lama tidak aku ketemu. Sahabat yang telah aku kenal akannya sebab tarbiyah dan dakwah yang telah ditelusuri bersama-sama dengannya. Sebab jarak yang amat jauh memisahkan aku dan dia, aku tidak dapat langsung bertemu dengan dia. Dia pula jenis yang tak suka berbual di dalam telefon, jadi hanya SMS sahajalah yang masih menjadi tali penghubung antara aku dan dia.

Hendak dijadikan cerita, ada satu masalah besar yang aku hadapi. Program I'dad Dua't itu adalah program tertutup, bukan untuk semua. Program itu adalah untuk anak-anak ahli aktif ISMA berumur 16 dan 17 tahun sahaja. Aku bukanlah anak ahli ISMA, dan umurku sudah menjangkau 20 tahun pada tahun 2011 ini. Pening!! Aku berserabut memikirkan bagaimana untuk aku sertai juga program itu, sebab aku tahu, itu sahajalah masa yang terbaik untuk aku bertemu kembali sahabatku itu. Alhamdulillah, Allah kurniakan pada aku sebuah idea yang cukup bernas untuk aku join program!




Selang beberapa hari, aku berjumpa dengan Ust Ramadhan Al-Din, wakil anak ISMA Cawangan Perak ketika itu. Aku amat rapat dengan dia, jadi aku cuba-cuba untuk menggunakan jalan dalam untuk terlibat dalam program itu selaku pengiring peserta. Setelah puas berbincang, rupa-rupanya YDP ISMA Cawangan Perak, Tuan Haji Ishak Bin Dun sudah menurunkan arahan padanya untuk tidak membenarkan pengiring untuk bersama, atas sebab yang aku kira munasabah, untuk membiarkan anak-anak ISMA ini berdikari sendiri, tidak perlu lagi tunjuk ajar orang dewasa. Tambahan pula, lokasi program di Bandar Bharu Kulim, Pulau Pinang yang kedudukannya berhampiran sahaja dari Ipoh memunasabahkan lagi arahan beliau. Aku terkesima. Namun, aku ternampak sedikit sinaran harapan apabila Ust Ramadhan memberikan padaku nombor telefon Ust Abdul Rahim Sudin, pengarah program. Katanya, kalau aku berbincang dengan Ust Rahim mungkin aku dibenarkan untuk sertai. Ya Allah, moga kali ini berita baik yang tiba.

"Tempat program terhad. Kami pun tak dapat nak menampung kebanjiran peserta yang akn menyertai program ini". Lebih kurang beginilah SMS yang aku dapat dari Ust Rahim. Aku hampa, tak nampak sebarang harapan untuk aku join program tersebut, setelah semua jalan telah aku redah. Aku pasrah, kerana tak dapat menghabiskan masa bersama sahabatku itu dan hanya mampu berdoa sahaja agar Allah mengurniakan padanya kebaikan.
************************

Petang itu aku sedang berehat. Terlentang berseorangan di rumah sewa, dek kepenatan menyiapkan kerja yang diamananahkan oleh Pentadbiran AIM. Tugas sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar AIM memang mengerah kudratku yang tak seberapa ini. Tiba-tiba, aku mendapat panggilan dari sahabatku Zubair Ghazali, seorang aktivis ISMA Perak. Beliau mengajakku untuk menemai beliau untuk menjadi fasilitator di Program I'dad Du'at 2011. Aku terkejut bukan kepalang. Aku cuba memastikan kesahihan berita tersebut, dengan bertanyakan tentang kapasiti tempat yang agak terhad. Katanya, masih ada tempat untuk fasi menurut emel yang beliau terima. Terus hilang lelah aku petang itu! Aku terus meminjam motosikal sahabatku di rumah sewa untuk membeli tiket bas kami berdua ke Butterworth dari Medan Gopeng, Ipoh untuk dua orang. Aku bersegera bukan kerana apa, hanya kerana program itu akan bermula pada hari Jumaat, sedangkan hari ini sudah hari Rabu! Takut tiket pula yang habis nanti.


Tiba hari yang ditunggu-tunggu, hari program. Pagi itu aku cukup riang, menanti perjalanan untuk merentas negeri untuk ke lokasi program. Tiket kami jam 7.30 malam, dari Ipoh.

Kegirangan aku tersentak seketika apabila aku mendapat sms dari bonda sahabatku, yang beliau tidak dapat hadir ke I'dad Du'at. Katanya dia ada sedikit perselisihan dengan ibunya, lalu dia mengambil keputusan untuk tidak hadir ke program walaupun sudah mendaftarkan diri. Aku memberanikan untuk menghubungi dia, namun suaranya agak dingin dan dia memang nekad untuk tidak hadir ke I'dad Du'at.

Memang Allah ingin menguji aku kala ini rasanya. Sudah pelbagai rintangan yang berjaya aku tempuhi, namun akhirnya Allah telah mentakdirkan aku tidak dapat meluangkan masa dengan sahabatku itu. Alu agak kecewa, tapi aku tetap gagahkan diri aku untuk hadir, sekurang-kurangnya aku dapat mengenal rakan-rakan baru di sana. Tepat jam 7.30 malam, bas aku dan Zubair bertolak ke Bandar Bharu Kulim.

Sesampai di lokasi program, aku disambut oleh Akh Farid Bin Omar Parok, AJK Pelaksana Program. Aku murung, tapi aku gagahkan diri juga untuk senyum seperti sediakala. Setelah bersembang dan berbincang dengan Farid, nampaknya aku tidak boleh jadi fasilitator, seperti yg Zubair cadangkan pada awalnya. Aku diminta untuk jadi peserta. Aku cuba menolak disebabkan aku tidak layak menyertai kerana umurku dan status sebagai bukan anak ahli ISMA. Farid memberitahu, ramai juga yang bukan dengan kelayakan ini yang menyertai I'dad Du'at. Aku mengalah, lalu bersetuju untuk membayar RM40 sebagai yuran, walaupun ketika itu dalam kocekku hanya ada sekeping RM50. Agak mahal amaun yuran itu bagiku. RM10 tidak mencukupi untuk aku membeli tiket pulang ke Ipoh, tapi hal itu aku tangguhkan dulu untuk difikirkan. Aku ingin fokus untuk menyertai dalam program.

Pagi hari kedua program. Aku diamanahkan untuk memberi tazkirah Subuh. Dalam kekalutan menyediakan persiapan tazkirah, aku terpaku sebentar. Telefon aku berdering, tertera jelas nama sahabatku itu yang menelefon. Dia bertanya padaku nama kem lokasi I'dad Du'at berlangsung. Terpaku sebentar, rupa-rupanya dia sudah sampai di Bandar Bharu Kulim bersama ayahnya! Tambahan, dia juga akan menyertai I'dad Du'at!! Ya Allah, syukur atas kurniaan ini. Allah izinkan untuk aku luangkan masa dengannya setelah sekian lama.

Nikmat Allah terus mencurah. Kali ini, aku dibahagikan dalam kumpulan yang sama dengan sahabatku. Kami berdua sama-sama berganding bahu dengan ahli kumpulan yang lain untuk mendominasi setiap acara yang dipertandingkan. Kembara Al-Quran, Kuiz, Teater Lakonan dan lain-lain aktiviti telah kami kuasai dengan sangat baik. Lakonan kami berjaya menarik perhatian para juri, dan dipuji oleh mereka. Ukhuwwah ini telah membuahkan natijah yang amat positif.

Hari terakhir program. Semua peseta tidak pelik apabila kumpulan kami dipilih sebagai kumpulan terbaik. Memang jauh beza pencapaian antara kumpulan kami dan kumpulan-kumpulan yang lain. Cuma apa yang aku terkesima, aku dipilih sebagai peserta terbaik program!! Walaupun aku tidak layak secukupnya sebagai peserta. Aku terkial-kial mengambil penghargaan dari Ust Azizee Hasan, Setiausaha Biro Tarbiyah Pusat ISMA kerana masih tidak percaya akan anugerah Peserta Terbaik ini.

Rupanya, Allah ingin mengajarkan padaku satu sunnah alam yang amat common bagi hambaNya. Bahawa sesungguhnya, setiap kesusahan dan kesulitan ada bersamanya KESENANGAN. Allah mengulangi perkara ini dalam firmanNya 2 kali dalam Surah Al-Takaathur. Memang aku betul-betul menghayati firman Allah ini dalam perjalanan pulangku dari program. No pain, no gain. Dan aku juga tahu, Allah akan membantu hamba-hambaNya yang ikhlas beramal keranaNya. Bersangka baik dengan perancanganNya.

Aku terlupa pula untuk memberitahu. Tambang pulang dan belanja makanku ditaja oleh sahabatku. Walaupun YURAN program yang MAHAL, Allah membayar kepadaku secara tunai dengan simpulan persahabatan yang cukup erat. Oh, alangkah indahnya ukhuwwah keranaMu ya Allah!!


Amar Ismat Mohd. Nasir,
Fakulti Usuluddin, Univ Al-Azhar, Kaherah.
ISMA Mesir
[email protected]