Friday 28 November 2014

MEMBONGKAR KESESATAN PLURALISME

UNSUR SEJARAH DAN WATAK 

Apabila mengkaji mengenai mana-mana aliran pemikiran yang ada di dunia pada hari ini, tidak kajian tersebut mesti disertai dengan analisis pada sejarah Barat, kerana hampir kesemua aliran pemikiran yang wujud merupakan produk daripada sejarah Barat.  Untuk pluralisme secara khusus, selain merupakan sebuah produk sejarah Barat pada kurun ke 18, ada teori yang dikemukakan oleh Dr Hesham Sakr, pakar psikologi dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang mengatakan bahawa pluralisme bermula seawal kurun ke 15 di India dengan kemunculan agama Sikh (yang cuba menyetarakan antara agama Islam dan Hindu). Pluralisme di India timbul dalam bentuk agama baru yang menyamatarafkan agama-agama yang ada, bukan seperti yang berlaku di Barat, di mana aliran pemikiran yang wujud adalah terpisah daripada agama. 
Ada 3 faktor utama yang melatari kemunculan arus pluralisme dalam sejarah Barat;

1.   Pertumpahan darah yang berlaku pada masyarakat Barat ketika itu adalah disebabkan dasar eksklusif dalam DAKWAAAN KEBENARAN, yang dimonopoli atas nama agama (Truth Claim). Contoh dakwaan kebenaran yang ketara adalah tiada keselamatan (salvation) melainkan mereka yang menganut agama Kristian Katolik. Isu yang sama juga dirakamkan dalam Al-Quran,    
      
        "Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar" [Al-Baqara:111)

2.   Sikap saling memusuhi dan tidak toleran masyarakat dalam menerima kepelbagaian agama (Religious Intolerance). Ini mengakibatkan negara yang mempunyai penganut agama yang berlainan tidak tenteram dan sering bertelagah sesama sendiri.

3.   Peranan pluralisme yang sangat signifikan (Significant Role) dalam meleburkan permusuhan yang berlaku. Pluralisme juga dilihat mampu mengurangkan peperangan yang berlaku antara Kristian Katolik dengan Protestan, Mormon, Orthodoks dan sebagainya. Selain itu, ia juga dilihat berkesan menangani permusuhan Barat dengan Islam yang disifatkan dengan terrorisme dan ekstremisme.

Terdapat dua watak utama yang melatari aliran pluralisme ini, iaitu Wilfred Cantwell Smith dan John Hicks. W.C Smith mengatakan bahawa perkataan Islam yang ada di dalam Quran merupakan sebuah kata terbitan yang bermaksud penyerahan (submission) pada Tuhan. Ini bermakusd, Islam bukanlah sebuah sistem yang menyeluiruh yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia seperti politik, ekonomi, sosial, peurndangan, hubungan luar dan lain-lain. Jadi secara tidak langsung, Yahudi dan Krisitan juga adalah "muslim" kerana mereka juga telah menyerahkan diri mereka kepada "Tuhan". John Hicks pula telah memanipulasi kata-kata ulama' sufi terkenal, Syeikh Jalāluddin Ar-Rūmī "The lamps maybe different, but the Light is the same, it comes from the beyond" untuk menjaja fahaman pluralisme. Sedangkan frasa tersebut merujuk kepada watak Musa vs Firaun yang mungkin berubah mengikut peredaran zaman, namun perwatakan/karakter Musa vs Firaun (kebenaran lawan kebatilan) akan kekal sepanjang sejarah. Hicks menyalahtafsirkan frasa ini dengan tujuan menjaja hujah pluralisme yang dipegangnya pada umat Islam.


DASAR DAN PAKSI FALSAFAH PLURALISME


Akar pluralisme adalah LIBERAL. Secara ringkasnya, masyarakat Barat ketika Zaman Pertengahan merasakan bahawa agama telah mengongkong mereka daripada maju dalam kehidupan. Agama menjadi candu pada masyarakat. Akal, logik serta rasional telah bermaharajalela lalu menentang agama yang disifatkan sebagai rigid. Pluralisme secara khusus, bermula dengan pemisahan masyarakat dengan sumber agama yang berautoriti. Kehidupan mestilah tidak terkongkong dengan agama, pihak serta nas-nas yang berautoriti. Masyarakat mestilah liberal dan bebas pada dalam semua sudut, tanpa campurtangan agama.Tokoh falsafah ulung, Prof Dr Syed Naquib Al-Attas menyifatkan perkembangan ini sebagai, 'segala realiti dan kebenaran kini hanya berasaskan akal rasional, dan akal telah menggantikan peranan Tuhan."

Selain itu, agama hanya dibataskan pada PENGALAMAN KEAGAMAAN seseorang (Religious Experience), bukan sebagai sebuah ajaran yang diwahyukan oleh Tuhan. Ini bermaksud, tiada kesalahan pada pengamalan ibadah yang pelbagai, kerana interpretasi semua orang tentang beribadah pada Tuhan itu berbeza. Fahaman ini sangat bertentangan dengan Islam, yang secara keseluruhannya bersumberkan wahyu Allah yang suci dan bukan disandarkan pada mana-mana individu.

Antara paksi yang tidak kurang pentingnya dalam pluralisme adalah RELATIVITI. Relatif dalam menyatakan kebenaran. Tiada agama yang boleh mendakwa ajaran mereka adalah benar secara mutlak, dan memaksa orang lain menerima "kebenaran" yang dibawa oleh mereka. Ini bermaksud, semua agama adalah benar dan akan membawa penganutnya ke syurga. Tidak wujud istilah mereka yang akan diazab dan dihumban ke neraka. Bagi pluralis, mereka berpegang dengan prinsip "The truth is relative, and the relativity is true."  

Seterusnya, pluralisme juga berdiri atas dasar ABSTRAK. Kebenaran bukan suatu perkara yang konkrit sepanjang masa dan tempat. Sesuatu perkara itu mungkin dianggap benar pada hari semalam, namun tidak semestinya pada hari ini perkara tersebut masih kekal kebenarannya. Dasar sebegini amat mencelarukan dan merosakkan tingkah laku manusia. Hal ini boleh dilihat dalam isu LBGT, di mana sebelum kurun ke 20, isu LGBT ini dianggap sebagai sebuah kesalahan dalam apa jua agama. Namun hari ini, bukan sekadar seks songsang, seks dengan binatang juga dihalalkan atas nama hak asasi manusia.

JARUM PLURALISME DI MALAYSIA

Tidak dapat dinafikan, arus pluralisme sudah mula mengasak secara deras di bumi Malaysia. Secara sedar atau tidak, arus ini semakin menular dalam masyarakat Malaysia yang dikatakan sering bertelagah kerana sosiopolitiknya bercorak multi-religious. Antara jarum-jarum yang dapat dikenalpasti adalah dengan KECELARUAN MAKNA, secara tidak sedar. Kita dapat melihat terdapat ramai yang cuba menyamakan pluralisme dengan plurality iaitu kepelbagaian agama (religious diversity) dan sikap toleransi beragama (religious tolerance). Ini boleh dilihat pada kenyataan Dr Chandra Muzaffar dalam kenyataan beliau yang tersebar dalam sebuah laman portal berita online. Begitu juga dengan kenyataan Dato' Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang menggesa Majlis Agama Islam Selangor untuk mendefinisikan apa itu liberalisme dan pluralisme, sedangkan umum sudah mengetahui apa yang dimaksudkan dengan dua-dua istilah itu. Istilah ini akan dimanipulasi sehinggalah tujuan akhir pluralisme itu tercapai, iaitu menyetarakan semua agama yang wujud di Malaysia.


DIALOG ANTARA AGAMA (Interfaith Dialogue) juga antara alat yang sering digunakan oleh pluralis. Dialog ini tidaklah menjaja pluralisme secara mutlak, namun apabila dialog dianjurkan dengan tujuan untuk mencari common ground antara agama, maka ini boleh mengundang unsur-unsur pluralisme untuk memonopoli dialog tersebut. Akhirnya kebenaran akan berpihak kepada agama yang memenangi hujah dalam dialog antara agama tersebut. Jika dialog dianjurkan bertujuan untuk menunjukkan kebenaran agama Islam (salah satu wasilah dakwah), maka itu tidak menjadi sebarang masalah, bahkan digalakkan seperti apa yang dilakukan oleh Dr. Zakir Naik dan Brother Shah Kirit. 

Jarum ketiga yang boleh dikenalpasti adalah MONOPOLI ISU. Apabila ada isu berkaitan yang timbul, unsur-unsur pluralisme akan disuntik secara halus dan tanpa disedari, Lebih berbahaya lagi, kadang-kadang ia dilihat seolah-olah sebuah unsur yang islamik, sehingga terdapat beberapa orang Islam yang terpedaya dengan kenyataan tersebut. Sebagai contoh, isu kematian mendiang Karpal Singh yang mengundang polemik ramai pihak. Ada yang cuba mengatakan mendiang Karpal tidak akan dimasukkan ke neraka, dengan justifikasi bahawa beliau merupakan seorang yang adil (dalam istilah demokrasi) dan memperjuangkan hak rakyat yang tertintas. Takkan Allah yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui akan memasukkan seorang yang baik ke dalam neraka? Kenyataan seperti ini sangat sinonim dengan apa yang diperjuangkan oleh W.C Smith. Beliau mengatakan bahawa bukan mereka yang beriman dan beragama Islam sahaja yang masuk ke dalam syurga, bahkan mereka yang BAIK dan mentaati "Tuhan" juga berkelayakan untuk mendapat nikmat di dalam syurga. Ini secara jelas bertentangan dengan nas yang sudah termaktub dalam Al-Quran dan Hadith. 


"Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya." [Ali-Imran 116]

TUNTUTAN DAN DESAKAN dari beberapa NGO juga dilihat sebagai salah satu jarum pluralisme di Malaysia. Dalam isu ini. Sisters In Islam (SIS) dilihat jelas menjulang pluralisme apabila menegapalai 14 tuntutan Interfaith Council (IFC) serta beberapa kenyataan mereka yang berbaur pluralisme. Selain itu, Islamic Renaissance Front (IRF) serta Insitiut Kajian Dasar (IKD) juga antara pertubuhan yang lantang memperjuangkan kesamarataan antara agama. Antara tuntutan oleh pihak-pihak ini yang boleh disebut secara ringkas di sini adalah seperti isu kalimah Allah, pentafsiran semula Al-Quran yang diihat hanya dimonopoli oleh golongan ulama', penghapusan perkataan Islam dalam MyKid, festival Seksualiti Merdeka dan beberapa isu lain yang jelas menunjukkan belang mereka di sebalik kebaikan yang diperjuangkan.  


BERINTERAKSI DENGAN PLURALISME

Pelbagai pihak perlu berperanan untuk membendung fahaman pluralisme ini daripada berleluasa. Antara pihak yang perlu berperanan adalah umara' (pemimpin), ulama' (ilmuwan) serta individu itu sendiri. Umara' perlu menggunakan kuasa yang ada untuk menghalang mana-mana pihak atau acara yang cuba menyebarkan fahaman pluralisme, seperti yang dilakukan oleh MAIS yang mengharamkan SIS serta semua petubuhan yang terbabit dalam memperjuangkan fahaman yang menyimpang daripada Islam. Ulama' pula perlu memberikan kesedaran, bimbingan, serta amaran kepada masyarakat tentang bahayanya fahaman ini pada semua penganut agama, samada islam atau agama-agama lain. Manakala individu perlu sentiasa cakna dengan isu semasa dan tidak jemu untuk menambahkan ilmu agama, supaya sentiasa sedar dengan ancaman yang wujud di sekeliling. 


RUJUKAN
  1. Fi Zilāl Al Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb
  2. At-Taaddudiyah Ad-Dīniyyah wa Ittijāhatuha wa Mauqif  Al-Islām minha, Prof Dr. Hesham Hosni Sakr
  3. Islam dan Pluralisme Agama, Dr. Khalif Muammar
  4. Pluralisme Agama, Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, Pertubuhan MUAFAKAT Malaysia


AMAR ISMAT BIN MOHD. NASIR
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliyyah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Thursday 20 November 2014

DEMOKRASI; ANTARA ALAT DAN MATLAMAT

PASCA MODERNISME 
Rupa-rupanya, setelah demokrasi berleluasa di seantero dunia, ia telah dihujum kerana bersikap rasis. Demokrasi tulen hanya mementingkan golongan majoriti sahaja, sehingga mengabaikan kehendak golongan minoriti dan hak asasi individu. Apa-apa isu yang timbul akan memihak kapada golongan majoriti, menyebabkan golongan minoriti tertindas. Ini secara tidak langsung menghasilkan kasta masyarakat, seperti yang ditentang habis-habisan oleh sosialisme. 
Demokrasi pasca modernisme pula, mula mengagungkan hak individu dan minoriti sebagai sandaran serta paksi perjuangan. Pasak asal demokrasi hilang kerana tangan-tangan manusia sendiri. Demokrasi dikhianati, dan diubahsuai sesuka hati untuk memenuhi political mileage (unjuran politik) beberapa kelompok, parti dan individu. Ini menimbulkan persoalan, apakah perjuangan demokrat era pasca modernisme ini yang melihatkan kepelbagaian versi demokrasi yang wujud di dunia?

PILIHANRAYA TANPA DEMOKRASI 



Politik antarabangsa hari ini menyaksikan apa yang diistilahkan sebagai "democracy is not a goal, but just a mere tool to achieve a personal goal". Para pendokong demokrasi seperti Amerika Syarikat, Israel dan Eropah tidak teragak-agak untuk menggunakan alat lain apabila demokrasi melalui peti undi yang dicanangkan tidak memenuhi matlamat yang diimpikan. 
Beberapa contoh yang jelas berlaku boleh diambil.
Pada 26 Disember 1991, Parti FIS (Islamic Salvation Front) telah memenangi 188 daripada 232 kerusi parlimen di Algeria, menandakan berakhirnya tampuk pemerintahan Parti NLF (National Liberation Front) yang sebelum ini mendominasi arena politik Algeria. Tiga minggu selepas  kemenangan ini diumumkan, pada 11 Januari 1992,  Presiden Chadli Bendjedid telah meletakkan jawatan dan mengumumkan pembubaran parlimen yang baru sahaja dilantik pada minggu itu.  Selepas 3 hari, 5 orang pemimpin dilantik (Haut Comité d'État) secara tidak demokratik untuk meneraju politik Algeria buat sementara waktu bagi memberi ruang agar pilihanraya baru untuk diadakan semula. Kemudian, semua pilihanraya yang berlaku hanyalah peti udi kosong yang sunyi dari demokrasi.
Dalam web opendemocracy.net, jurnalis Hicham Yezza melaporkan seperti berikut; "Against accusations that this was simply a cynical coup d'état by the military leadership, the move was presented by many within the democratic and secular movement as a necessary last ditch attempt to "save the republic" from an imminent Islamist takeover."
HAMAS (Islamic Resistance Movement) di Gaza pula pada tahun 2006 telah memenangi 76 daripada 132 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Kemenangan ini menyebabkan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat kaget, lantas tidak mengiktiraf kemenangan bersih Hamas. Mereka pergi lebih jauh dari itu, dengan melabel Hamas sebagai gerakan teroris antarabangsa serta melaksanakan sekatan ekonomi dan kepungan yang kejam serta tidak berperikemanusiaan.
Tahun 2013 pula menyaksikan Mesir dikhianati oleh demokrasi, dengan rampasan kuasa oleh pihak tentera (dengan pengaruh Amerika Syarikat) ke atas kerajaan Islamis yang diketuai oleh Parti FJP (Freedom and Justice Party). Walaupun mereka memenangi majoriti dalam pilihanraya parlimen dan presiden secara demokratik dan telus, namun pihak tentera melakukan juga rampasan kuasa atas alasan sokongan kepada Islamis telah hilang dengan demonstrasi jalanan yang berlaku. Ini tidak munasabah dengan norma-norma demokrasi, yang meletakkan peti undi sebagai cara perubahan kerajaan yang sah dan adil. Ikhwan Muslimin dilabel sebagai teroris dan esktremis antarabangsa oleh pihak tentera Mesir, dan disokong oleh negara yang bersekutu dengan Amerika Syarikat, yang dinobat sebagai demokrat dunia. Negara-negara pejuang demokrasi lain diam seribu bahasa, langsung tidak berani untuk melabel perubahan politik yang berlaku di Mesir ini sebagai "sebuah rampasan kuasa tentera yang tidak demokratik", apatah lagi untuk mengecam dan mengkritiknya. Dikatakan pula perubahan adalah kehendak demokratik majoriti rakyat yang turun ke jalanan, 
Dr Azzam Tamimi, telah menulis di dalam middleeastmonitor.com, "One wonders if a democratically elected civilian government through free and fair elections was really what the Americans were proposing as the solution for Egypt's predicament why have they not been vocal about condemning those that used military power to topple such a government? A critical perspective would conclude that the US Administration and many EU governments, like the liberal supporters of the coup inside Egypt, would prefer a democratically elected government as long as it did not include Islamists."
Akhirnya, realpolitik ala Machiavelli juga yang diamalkan oleh kuasa-kuasa besar dunia, untuk memastikan hegemoni unipolar Amerika Syarikat dan Israel terus berkuasa. Demokrasi bukanlah matlamat, hanyalah sekadar alat yang diperkudakan untuk memenuhi impian New World Order
Ini membuatkan dunia ini akan kembali bertanya pada manusia, apakah sistem politik yang paling sesuai untuk memakmurkan masyarakat global, terutama untuk negara majoriti Muslim yang sentiasa menjadi ancaman hegemoni Barat? 


AMAR ISMAT MOHD. NASIR
Jabatan Aqidah dan Falsafah, 
Fakulti Usulddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.