Thursday 13 February 2014

Kembara Khazanah Khilafah; Istabul, Turki. Part 3

MASJID SULTAN AHMED

Masjid Sultan Ahmet diselubungi kabus



Kami menunaikan solat jamak qasar Zohor Asar di Masjid Sultan Ahmed, atau lebih dikenali dengan nama Masjid Biru. Sebenarnya, istilah Masjid Biru tidak pernah digunakan oleh rakyat setempat Turki sepanjang sejarah.. Tetapi istilah ini hanya digunakan oleh masyarakat Barat kerana mozek biru yang digunakan untuk membina dinding dalam Masjid Sultan Ahmed ini. Tetapi seingat saya sepanjang 10 hari berada di Turki, saya tidak pernah jumpa mozek biru ini. Mungkin pandangan mata saya yang kurang tajam.

Binaan luar dan dalam masjid iras-iras binaan Masjid Ali Pasha di Kaherah. Menurut Saudara Abdul  Halim Bin Mohd. Khayat, Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Turki, arkitek Uthamniyyah yang sama yang telah membina kedua-dua masjid ini. Bahkan, lampu chandelier dan warna karpet merah juga sama dengan apa yang ada di Masjid Ali Pasha!



ISTANA TOPKAPI



Usai solat dan mengambil gambar di Taman Sultan Ahmed yang amat menarik, kami meneruskan perjalanan ke Topkapi Palace. Istana Topkapi telah dibina semasa zaman Sultan Muhammad Al-Fateh selepas beliau menawan Kota Konstaninople. Rasa kagum dan takjub tidak berhenti-henti mengalir dalam diri setiap kali menapak meneroka Istana Topkapi yang seakan-akan sebuah kompleks pentadbiran yang besar ini. Terlalu banyak binaan dalam kawasan istana sehingga tak sempat untuk mengetahui apa kegunaan setiap satu binaan!
Tempat Sultan mendengar masalah rakyat

Salah sebuah binaan di dalam istana

Dari istana kelihatan Selat Bosphorus
Apa yang lebih mengagumkan saya adalah, bukan sahaja orang Islam yang kagum akan simbol ketamadunan yang dibina oleh Sultan Muhammad Al Fateh ini, bahkan orang bukan Islam dari pelbagai pelosok benua juga amat kagum dan takjub dengan peradaban Uthmaniyyah ini.

Cuma timbul satu persoalan penting dari kedua-dua pembinaan Masjid Sultan Ahmed dan Istana Topkapi ini. Adakah binaan-binaan yang sudah tentunya mahal dan menelan jutaan wang ini mengikut sunnah baginda Rasulullah dan Khulafa’ Ar Rasyidin semasa mereka memerintah negara? Bahkan teratak yang Rasulullah diami hanya mempunyai sehelai kain hamparan seperti yang diriwayatkan, dan binaan Masjid Nabawi pula hanyalah berlantaikan pasir, berbumbungkan pelepah tamar dan bertiangkan batang pohon kurma. Apakah ijtihad yang telah diambil oleh khalifah sejak zaman Umayyah untuk membina binaan yang tersergam indah sebagai simbolik kemegahan tamadun Islam?
Ada sebarang komen?  

Insya Allah jika ada rezeki, saya akan kongsikan pendapat saya dan rakan yang lain tentang perkara ini dalam post akan datang.

Sunday 9 February 2014

Kembara Khazanah Khilafah; Istanbul, Turki. Part 2

HAGIA SOPHIA
  
     Setelah singgah sebentar di Maqam Sultan Abdul Hamid II dan bergambar di sana, kami meneruskan perjalanan ke Hagia Sophia, antara tempat yang menjadi identiti Istanbul berdekad lamanya sejak zaman empayar Rom lagi. Pada asalnya kami menganggap Hagia Sophia adalah sebuah masjid, rupanya tanggapan kami salah. Hagia Sophia telah menjadi sebuah muzium sejak 1935 lagi semasa Turki di bawah pemerintahan Mustafa Kamal. Hagia Sophia mengalami beberapa transformasi sejak ianya dibina. Asalnya ia adalah sebuah gereja sehinggalah semasa pembukaan Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al Fateh, baginda telah mengubah Hagia Sophia menjadi sebuah masjid. Mustafa Kamal pula telah mewartakannya sebagai monumen sejarah dan dijadikan muzium sehingga hari ini. Satu isyarat yang dapat kami kenalpasti, untuk mengetahui ideologi apa yang menguasai Istanbul, lihatlah pada Hagia Sophia.


     Ust Fuad Jamil, salah seorang peserta rombongan iFateh atau lebih dikenali sebaga Ust Fuad Fetya yang sudah membuat serba sedikit kajian tentang senibina Hagia Sophia telah menunjukkan pada kami akan kecacatan binaan Hagia Sophia. Sehingga hari ini, Hagia Sophia sedang melalui beberapa proses pembaikan untuk mengelakkan monumen bersejarah ini daripada runtuh menyembah bumi. Walaupun dari luar kelihatan sangat indah, namun kelihatan beberapa kecacatan di dalam binaan Hagia Sophia yang jelas di dinding dan pasak sekeliling bangunan.

     Selain itu, apa yang menarik perhatian kami adalah, terdapat tulisan khat yang dukir kalimah "Allah" dan "Muhammad" bercampur dengan gambar Virgin Mary dan Jesus Christ di bahagian dinding atas bangunan. Di sekeliling tingkat dua Hagia Sophia juga terdapat banyak ukiran paderi-paderi sejak zaman Maharaja Justinian lagi, ditambah pula dengan ukiran salib di pintu masuk. Seolahnya terdapat unsur pluralisme di sini. Timbul juga persoalan, kenapa semasa zaman Sultan Muhammad Al Fateh beliau tidak mengikis semua ukiran-ukiran Kristian ini? Sedangkan Rasulullah dahulu semasa Pembukaan Kota Makkah, baginda telah menghancurkan kesemua 360 berhala di sekeliling Kaabah. 
Lambang Salib di dinding atas pintu masuk

Gambar ukiran Virgin Mary dan Jesus Christ antara khat kalimah "Allah dan "Muhammad"

Ukiran paderi dan maharaja Kristian
     Setelah bertanya pada tourist guide kami dan beberapa orang tempatan, kami beroleh jawapannya. Rupa-rupanya, semasa zaman Sultan Al Fateh, baginda telah menampal ukiran-ukiran Kristian itu dengan campuran simen, seolah-olahnya kelihatan seperti sebuah dinding. Dan persoalan kenapa baginda tidak mengikis terus ukiran-ukiran ini seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah tehadap Kaabah adalah kerana baginda Rasul pernah melarang para sahabat untuk mengubah seratus peratus gereja menjadi masjid. Kaabah pada awal pembinaanya bukanlah gereja atau tempat penyembahan berhala. Kerana itulah Rasulullah meruntuhkan semua berhala, mengembalikan Kaabah kepada tujuan asal ia dibina, berbeza dengan Hagia Sophia. Tambahan pula, Sultan Al Fateh telah mengambil faktor kekukuhan Hagia Sophia. Baginda khuatir jika dikikis juga ukiran-ukiran itu, Hagia Sophia akan runtuh kerana binaanya yang memang tidak kukuh pada asalnya. 

     Ketika zaman Mustafa Kamal pula, beliau telah mengarahkan lapisan simen yang menutup ukiran-ukiran Kristian itu dikikis. Kesan-kesan kikisan itu kekal sehingga hari ini, dan boleh dilihat dengan jelas pada beberapa buah ukiran. Maka terjawablah persoalan kenapa seolahnya terdapat unsur pluralisme di dalam binaan ini. Mustafa Kamal yang telah mewartakan Hagia Sophia sebagai muzium dan mengikis simen-simen itu dikatakan cuba untuk mensekularkan Hagia Sophia dari sebarang pengaruh agama, baik Islam atau Kristian. Ia bukan masjid mahupun gereja, dan tiada tanda-tanda khusus untuk mengatakan ianya sebuah rumah ibadat. Mustafa Kamal sengaja mencampurkan adukkan tanda-tanda Islam dan Kristian di dalam Hagia Sophia supaya masyarakat hanya menganggapnya tinggalan sejarah biasa dan tidak terpalit dengan mana-mana peradaban agama. Tanda sekularisme menguasai Istanbul!

     Menurut Ariff Zainuddin, tourist guide kami, PM Turki Recep Tayyip Erdogan sedang berusaha dalam Parlimen Turki untuk menjadikan Hagia Sophia sebaagai sebuah masjid semula. Isyarat bahawa sekularisme sudah tamat tempoh sah lakunya di Istanbul. Persoalannya, mampukah Erdogan berjaya untuk mengubahnya? Agenda Islamisasi beliau akan bertembung dengan rancangan tourism Kementerian Pelancongan Turki yang banyak menjana ekonomi negara dengan pewartaan Hagia Sophia sebagai muzium dan  fikrah Kemalisme yang masih tebal dalam kalangan rakyat Turki.

Bersambung dalam part3, insya Allah!

Saturday 8 February 2014

Kembara Khazanah Khilafah; Istanbul, Turki. Part 1

     Pertama kali menjejak kali di Istanbul, Turki. Menghirup udara segar di ruang langit bekas pusat pemerintahan Khilafah Turki Uthamniyyah. Perasaan bangga dan gagah terus menghinggap di jiwa, melihat seribu satu khazanah tinggalan khilafah di bumi Istanbul.

     Hari pertama menghabiskan masa di sekitar Istanbul Eropah. Dengan angin deras beserta suhu 1 celcius, kami berjalan menatap dan menjiwai keseluruhan kesan-kesan peninggalan Daulah Uthamniyyah. Tempat-tempat penting yang dilawati adalah Maqam Sultan Abdul Hamid II, Muzium Hagia Sophia, Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru) dan Istana Topkapi. . Hujan mengiringi sepanjang perjalanan kami yang keseluruhannya dengan berjalan kaki.


Maqam Sultan Abdul Hamid II




     Kalau masa zaman sekolah dulu, Sultan Abdul Hamid II kami kenali sebagai khalifah terakhir yang memerintah di dunia Islam sebelum khilafah dilupuskan sistemnya oleh Bapa Turki Moden, Mustafa Kamal Atarturk. Rpanya watak Sultan Abdul Hamid ini bukanlah khalifah terakhir secara mutlak, tetapi dalam erti kata yang lain pemerintah terakhir yang mempunyai ciri khalifah sejati. Antara projek yang sudah dilakarkan oleh beliau semasa zaman pemrintahannya antaranya adalah projek Hicaz Demiryolu (Hejaz Railway), landasan keretapi yang menggabungkan ketiga-ketiga Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa dalam sebuah laluan. Begitu juga dengan projek Marmaray, yang menghubungkan antara Istanbul Eropah dan Asia merentasi Selat Bosphorus. Kedua-dua ini tidak berjaya disiapkan, kecuali projek Marmaray yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan pada tahun 2013.
Stesen Marmaray Uskudar, Istanbul Asia

Pelan Asal Projek Marmaray oleh Sultan Abdul Hamid II

Projek Marmaray adalah hasil kerjasama Turki-Jepun
     Dengan lakaran projek-projek yang hebat ini, membuatkan kami semua terfikir, siapa sebenarnya watak Sultan Abdul Hamid II ini? Di celah-celah ketirisan sultan-sultan Uthamniyyah pasca zaman Sultan Sulayman Al Qanuni, Allah telah mengurniakan buat umat ini seorang watak khalifah yang amat teguh tegas dalam membela umat Islam keseluruhannya. Kita boleh melihat inspirasi ideal beliau untuk memudahkan perhubungan sesama Muslim dan menitikberatkan kesatuan umat sejagat daripada projek-projek beliau. 

     Ketika tahun 1902, semasa Theodore Hertzl, pengasas Zionis menawarkan 150 juta pound sterling pada beliau untuk membeli tanah Palestin, beliau dengan tegasnya telah menjawab,
" Nasihatkan Hertzl supaya jangan meneruskan rancangannya. Aku tidak akan melepaskan walaupun segenggam tanah ini kerana ianya bukan milikku, ianya hak ummat Islam, Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi boleh simpan wang dan harta mereka. Jika Daulah Khilafah Islamiah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Tetapi sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusuk pedang ke tubuhku daripada melihat tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan daripada Daulah Islamiah. Ianya adalah sesuatu yang tidak akan berlaku, aku tidak akan memulakan pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup" 

    Kerana ketegasan beliau inilah Yahudi Zionis amat gerun akannya, lantas melaksanakan satu konspirasi di bawah tajaan Mustafa Kamal Atarturk yang menyaksikan Sultan Abdul Hamid II dilucutkan jawatan sebagai khalifah dan dibuang negeri ke Salonica pada tahun 1909 bersama waris-waris beliau. Akibatnya, umat Islam terkapai-terkapai ditinggalkan sendirian tanpa watak seorang khalifah pembela umat.

     Untuk hari pertama setakat ini sahaja. Terlalu banyak ibrah dan inspirasi yang inigin dikongsikan sepanjang hari pertama jaulah Turki ini. Di post-post yang akan datang insya Allah.