Monday 29 June 2015

LGBT; MANIFESTASI LIBERALISME BARAT

LGBT DAN LIBERALISME

Liberal tidak semestinya sentiasa progresif. Demokrasi Liberal pula bukanlah kemuncak sejarah manusia seperti yang ditulis oleh Francis Fukuyama, dan yang dikatakan konservatif (walaupun saya tidak setuju dengan istilah ini) tidaklah bermakna mundur ke belakang.


 Lihatlah bagaimana akhirnya liberalisme membawa kepada pengiktirafan golongan minoriti LGBT di Amerika dan menjadi legal dalam undang-undang. Pada tanggal 27 Jun 2015, Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat telah memutuskan bahawa perlembagaan mengiktiraf kedudukan dan hak LGBT, dan sekaligus membenarkan perkahwinan sejenis di kesemua 50 buah negeri AS. Ini salah satu bukti jelas betapa liberalisme membawa manusia yang dikatakan sudah mencapai kemuncak peradaban mundur ke belakang, ke zaman purba prasejarah

Jika sebelum ini, liberalis dan sekutunya cuba berlepas diri dari dilabel sebagai pemangkin gejala rogol dan rompak (kerana liberalisme menafsirkan liberal dengan kebebasan perbuatan individu tanpa sekatan kerajaan atau pihak berwajib), maka untuk isu LGBT, tidak syak lagi pendokong tegarnya adalah golongan liberalis dengan alasan komuniti LGBT ini tidak mengganggu ketenteraman rakyat lain (kerana had kebebasan dalam liberalisme adalah kebebasan orang lain), serta hujah dangkal yang mengatakan bahawa komuniti ini dilahirkan secara fitrahnya memang songsang dan mereka perlu diraikan haknya.

Apapun hujah rasional yang cuba dikemukakan oleh komuniti LGBT dan golongan liberalis ini, kesemuanya adalah hujah dangkal yang tidak berasakan atas hujah akal dan agama yang sejahtera. Tiada agama di dunia ini, agama Islam atau selainnya yang membenarkan amalan seks songsang, serta akal yang sihat juga tidak dapat menjustifikasikan wujudnya kecenderungan kepada jantina sejenis sejak lahir. Yang wujud hanyalah lintasan hati yang disuburkan oleh faktor persekitaran dan normalisasi masyarakat yang tidak menganggap LGBT sebagai satu kesalahan jenayah yang jijik. Konsepnya sama seperti istilah psikologi “cognitive dissonance”, yang membawa maksud suatu kesalahan itu akan dianggap benar jika majoriti orang melakukan ‘kesalahan’ tersebut.

KEMUNDURAN DAN DEMOKRASI LIBERAL

Gelagat sebegini mengembalikan kita ke zaman prasejarah, walaupun kita hidup pada zaman moden yang serba maju dan canggih. Dengan teknologi yang ada, kita mampu mengenali dunia, galaksi serta cakerawala, namun kita semakin tidak mengenali diri sendiri, kalah pada nenek moyang kita yang hidup pada zaman prasejarah yang lebih mengenali fitrah manusiawi. Adakah zaman akan datang kita terpaksa pula menerima kewujudan golongan paedophilia, zoophilia dan necrophilia atas hujah hak asasi terlampau?


 Demokrasi liberal pula sudah haru biru prinsipnya, ada ketika mempertuhankan majoriti, pada ketika yang lain pula berkecamuk memenuhi kehendak individu dan minoriti. Walhal wujud juga golongan yang minoriti yang ditindas di negara demokrasi seperti golongan wanita yang ingin berhijab dan memakai skirt labuh di Perancis. Minoriti Muslim Rohingya juga dinafikan hak mereka tanpa mendapat pembelaan sewajarnya dari ikon demokrasi Burma Aung San Suu Kyi, yang hanya menuturkan lips service dalam isu penindasan ini. Ini membuktikan kepada kita, demokrasi liberal tajaan Amerika hanyalah diskriminasi orientalis dalam melunaskan hajat neo-imperialisme mereka. Amerika hanya berpura-pura dan menggunakan alasan demokrasi sesuka hati mereka.

MENCONTOHI PERJUANGAN KOMUNITI LGBT?

Terdapat satu tulisan oleh seorang pimpinan gerakan mahasiswa Islam yang cuba memberikan sebuah sudut pandang baru, yang kononnya mengkehendaki golongan dan pelobi anti LGBT untuk mencontohi pelobi pro LGBT dalam menegakkan hujah dan membuat desakan bagi merealisasikan tuntuan mereka. Tiga poin yang dikemukakan adalah ruang undang-undang, pemerkasaan kajian atau penyelidikan dan perbaiki hubungan sosial sivil.

Bukanlah membakulsampahkan tulisan itu, namun dilihat tulisan itu seolah-olah ditujukan pada konservatif pro agama dan status quo, yang dilihat tidak cekap dalam memanfaatkan ruang undang-undang, malas membuat membuat kajian dan sering menimbulkan huru-hara. Ini dapat dibuktikan dengan di akhir tulisan tersebut, beliau membawakan konsep ‘Rahmat Untuk Semua’, yang sering digunakan sebagai justifikasi hujah untuk cuba berlaku “tasahul” (longgar) dalam urusan agama.

Sebenarnya isu yang paling penting adalah kembali kepada asas negara kita iaitu Rukun Negara. Rukun ini dikongsi oleh semua bangsa dan agama (bukan rukun Islam atau Iman yang hanya dipercayai oleh Melayu Islam), yang mana salah satunya adalah keluhuran perlembagaan, di mana secara jelas perlembagaan tidak membenarkan sebarang aktiviti seks songsang dalam negara. Isunya bukanlah pada memanfaatkan ruang undang-undang, tetapi isu utama adalah menghormati Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Kenaapa perlu meminda undang-undang yang sudah disepakati oleh semua bangsa sejak kemerdekaan, sedangkan kita sudah mengetahui tuntutan sebegitu (dalam kes ini tuntutan LGBT) akan mengkucar-kacirkan peradaban manusia?

Tiada isu yang perlu diungkit dalam kajian dan penyelidikan, kerana kajian yang menunjukkan keburukan LGBT tersangat banyak dalam jurnal-jurnal universiti dan penyelidikan doktor pakar dari sudut kesihatan dan kemasyaraktan. Bahkan ketamadunan manusia juga akan hancur dari segi demografi, asal-usul keturunan dan lain-lain aspek jika seks songsang dibiarkan berleluasa dan legal dalam undang-undang. Tiada fiqh ijtihad atau isu fitrah, bukan sahaja dalam agama Islam, bahkan dalam agama-agama lain yang mengiktiraf golongan LGBT ini untuk terus menonjolkan kesongsangan mereka secara terbuka.

Keamanan sosial sivil pula hanya dicapai, apabila semua rakyat menghormati dokumen tertinggi sesebuah negara (dalam konteks Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan). Keamanan tersebut tidak dapat dicapai jika tuntuan-tutntan hak asasi terlampau ini sentiasa wujud dalam masyarakat, terutamanya dari kalangan minoriti yang kecil. Tuntutan-tuntutan sebegini yang sentiasa menjadikan negara tidak tenteram dan huru-hara.

Pejuang hak asasi perlu membezakan hak layanan kepada tahanan LGBT dan hak asasi kewujudan golongan LGBT itu sendiri. Seringkali mereka memperjuangkan hak kewujudan golongan LGBT, namun membawakan hujah dan contoh kes mak nyah atau pondan yang dicabul oleh penguasa. Ini adalah falasi dalam argumen dan tertolak sama sekali, serta tidak boleh dijadikan hujah untuk membela kewujudan golongan yang mengamalkan seks songsang. Sepatutnya mereka memperjuangkan hak banduan/tahanan dalam lokap supaya sentiasa dilayan dengen berhemah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, bukannya memperjuangkan kewujudan mereka yang terang-terang bertentangan dengan akal rasional dan wahyu Tuhan.

KESIMPULAN

Paradoks liberal yang terbesar adalah memaksa orang lain untuk menganut liberalisme juga. Memaksa majoriti rakyat mengikitraf kewujudan, menerima ‘fitrah kewujudan’ mereka dan membiarkan mereka lakukan apa yang dihajati atas alasan hak asasi dan kebebasan bersuara. Retorik!


AMAR ISMAT BIN MOHD NASIR,
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.