Saturday 4 November 2017

ADAKAH HUDUD BOLEH MENGURANGKAN KADAR JENAYAH?

Ada seorang sahabat saya yang cerdik dan kritis bertanyakan pelbagai soalan sekitar Hudud dalam salah sebuah group whatsapp kami. Ada beberapa soalan yang membuat saya sangat tertarik untuk menjawabnya. Soalan-soalan tersebut berbunyi (dengan sedikit pengubahsuaian):

  1. Boleh ke tercapai matlamat Hudud disyariatkan kalau seseorang masih boleh mencuri walaupun selepas dipotong semua limbs? Is pemotongan the only way to stop online theft?
  2. Pasal Hudud ni, kalau you are implementing it, you are asking over 3 billion humans untuk percaya bahawa memotong tangan is the only absolute way of stopping theft.

JAWAPAN

  1. Hudud, ataupun secara umumnya Sistem Hukuman (نظام العقوبة) dalam Islam disyariatkan bertujuan untuk menjaga beberapa perkara asasi dan keperluan dalam hidup manusia secara umum (bukan umat Islam sahaja). Sebagai contoh, dalam konteks hudud untuk kes curi, hukuman potong tangan disyariatkan untuk menjaga harta (حفظ المال) daripada sewenang-wenangnya dicuri. Apabila sesuatu jenayah sosial dilakukan, perbuatan tersebut mesti dihukum supaya semua ahli masyarakat dapat mengetahui bahawa perbuatan itu adalah salah di sisi-sisi undang-undang.
  2. Benar, sistem hukuman yang digariskan oleh Islam, agama dan falsafah pemikiran lain juga bertujuan supaya perbuatan jenayah yang dilakukan dapat dicegah. Namun cuba kita lihat sepanjang sejarah, adakah hukuman penjara, bayar denda, dan sebagainya mampu mencegah jenayah yang dilakukan daripada berulang semula? Kenapa sikap "mesti mencegah semua jenayah yang dilakukan" hanya disandarkan kepada sistem hukuman Islam, bukan sistem hukuman yang ada pada hari ini?
  3. Pencegahan jenayah dalam Islam secara khusus, bukan berlaku melalui sistem hukuman semata-mata. Pencegahan yang hakiki sebenarnya datang melalui sistem pendidikan, yang menitik-beratkan aspek keseimbangan duniawi-ukhrawi, menjaga hak Tuhan serta orang lain dan lain-lain. Ini sebabnya penerapan hudud perlu seiring dengan penambahbaikan pendidikan Islam, supaya hasrat untuk mengurangkan kadar jenayah yang semakin kronik dapat dicapai.
Islam datang dengan sistem yang menyeluruh. Apabila kita mengambilnya secara terpecah-pecah, ia tidak akan membentuk binaan Islam yang sempurna.

Tuesday 20 June 2017

6 PAKSI AQIDAH YANG PERLU DIKETAHUI OLEH SETIAP MUSLIM

Aqidah merupakan sempadan yang membezakan antara keimanan dan kekufuran. Apabila berlaku kecacatan di dalam aqidah, dikhuatiri seseorang boleh tergelincir ke jurang kekufuran. Aqidah perlu sentiasa suci dan bersih daripada segala penyelewengan yang mengandungi unsur-unsur syirik.

Akan tetapi, ada beberapa pihak yang menggunakan terma dan konotasi aqidah untuk memonopoli isu-isu cabang aqidah yang merupakan khilaf yang diakui wujud dalam agama Islam. Ini menyebabkan istilah aqidah yang sepatutnya menggambarkan asas agama serta unsur penyatuan, telah bertukar menjadi unsur perpecahan yang sangat berbahaya, hingga membawa kepada isu takfir dan tabdi' (membid'ahkan perbuatan) yang tidak berkesudahan.




Tulisan ini cuba untuk menggariskan beberapa paksi aqidah, yang sepatutnya diketahui dan dipegang oleh setiap muslim. Ia cukup untuk menjadikan seseorang muslim, walaupun mereka berbeza dalam beberapa perkara cabang aqidah yang tidak membawa kepada kekufuran. Paksi aqidah ini bersumberkan Al-Quran, As-Sunnah, serta beberapa rujukan aqidah yang muktabar dalam tradisi keilmuan Islam.;

  1. Beriman kepada Allah yang Esa, yang bersifat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan. Tiada pencipta yang berhak disembah melainkan-Nya. Dia suci daripada segala kekurangan.
  2. Allah berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki, samada perkara yang telah atau akan berlaku. Kemahuan-Nya tidak tertakluk kepada apa-apa syarat. Dia boleh dilihat oleh para mukminin ketika di syurga kelak, sebagai nikmat kurniaan terbesar atas keimanan mereka di dunia dahulu.
  3. Syurga dan neraka adalah khabar yang benar, serta merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah. Ahli syurga dan neraka kekal di dalamnya. Hari Kebangkitan secara jasmani dan ruhani juga merupakan khabar yang benar yang perlu diimani oleh setiap muslim.
  4. Para khulafa' (pemimpin) selepas Rasulullah SAW mengikut darjat kemuliaan mereka adalah Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, kemudian Ali bin Abi Thalib.
  5. Muslim tidak mengkafirkan seseorang pun daripada ahli kiblat, kecuali mereka yang mengingkari perkara asas dan muktamad yang disepakati dalam agama, dan apabila mereka melakukan perkara yang tiada takwilan lain melainkan kekufuran.
  6. Allah tidak menyerupai makhluk dalam apa-apa keadaan sekalipun, walaupun dari segi laras bahasanya seolah-seolah ada persamaan antara Allah dan makhluk. "Persamaan" ini hanyalah merupakan kelemahan manusia dalam memahami hakikat bahasa yang sesuai untuk mentakrifkan zat dan sifat Allah SWT.

Wednesday 7 June 2017

SEKULARISME; PARADOKS KEBUDAYAAN BARAT

Saya lihat secara umumnya ramai yang sudah membicarakan tentang sekularisme dan menjelaskannya dengan baik. Namun disebabkan ada beberapa pihak yang enggan merujuk bahan yang sepatutnya menjadi rujukan asasi bagi gerakan Islam, maka saya cuba menjadi pemudahcara untuk menulis tentang sekularisme dari sumber-sumber yang lain. Semoga mereka dapat menerima tulisan ini dengan baik.


DASAR DAN KOMPONEN SEKULARISME



Idea sekularisme menurut Prof Dr Abdul Rashid Moten, berdiri di atas tiga dasar; Yang pertama orientasi duniawi dan manusiawi-menafikan ukhrawi, kedua adalah sains Barat manakala yang ketiga adalah liberalisme. [1]

Beliau menerangkan ketiga-tiga dasar ini dengan lebih mendalam dalam bukunya Political Science, An Islamic Perspective; “The first postulate sanctified humanity as the ultimate reality and argues that the significance and ultimate aim of human beings should be sought with reference to the present life and social well-being without, reference to religion or to the life in the hereafter. Western science espouses a belief in natural causation and consequent emphasis on the generalisability and applicability of the methodological pattern of Newton's physics for the discovery of truth. The emphasis is upon reason, observation and experiment to the neglect of revelation, tradition or authority. Liberalism, the third constituent, is founded upon humanism, a belief in the integrity and sanctity of the free individual and upon inherent human rights to life, liberty and pursuit of happiness.”[2]

Pemikir dan ahli falsafah Islam, Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas pula mengembangkan idea tentang komponen-komponen sekularisme daripada penulis buku The Secular City, Harvey Cox. Cox menyatakan bahawa terdapat tiga komponen sekularisme iaitu, disenchantment of nature, desacralization of politics, dan deconsecration of values.



Disenchantment of nature, atau penyingkiran elemen-elemen ruhaniyah daripada alam tabi’i merupakan terjemahan die Entzauberung der Welt yang diambil daripada Max Weber, seorang ahli sosiolog Jerman. Al-Attas menyatakan bahawa “the freeing of nature from its religious overtones; and this involves the dispelling of animistic spirits and gods and magic from the natural world, separating it from God and distinguishing man from it, so that man may no longer regard nature as a divine entity, which thus allows him to act freely upon nature, to make use of it according to his needs and plans, and hence create historical change and 'development’.”[3] Al-Attas berpendapat bahawa penyingkiran elemen-elemen ruhaniyah daripada alam ini merupakan komponen terpenting dalam sekularisasi dan inilah yang mencetuskan kucar-kacir dalam peradaban Barat dan agama Kristian.

Beliau menambah lagi, “By the desacralization of politics they mean the abolition of sacral legitimation of political power and authority, which is the prerequisite of political change and hence also social change.[4] Akan tetapi, Prof Al-Attas menegaskan bahawa wujudnya pentauliahan agama pada urusan wilayah dan imarah dalam kerangka agama Islam. Rasulullah SAW dianggap sebagai utusan Allah yang mendapat wahyu daripadaNya untuk disampaikan pada umat manusia, bukan sebagai anak Tuhan yang mempunyai autoriti untuk disembah. Manakala pemimpin yang dilantik dalam kalangan umat adalah sebagai mereka yang diamanahkan untuk menjalankan hukum-hukum Allah, bukan sebagai bayangan Tuhan yang memerintah dunia dengan kekudusan mutlak, yang juta tidak  boleh melakukan apa-apa sahaja melainkan dengan mengikut divine and sacred authority yang telah ditetapkan (iaitu Rasulullah SAW).

Beliau mengulas pula tentang deconsecration of values,  “they mean the rendering transient and relative all cultural creations and every value system which for them includes religion and worldviews having ultimate and final significance, so that in this way history, the future, is open to change, and man is free to create the change and immerse himself in the 'evolutionary' process.”[5] Ini bermakna kesemua nila-nilai kemanusiaan, method menanggapi kebenaran termasuk agama dan pandangan alam menjadi relatif dan subjektif kepada seseorang individu, dan harus tandus daripada apa-apa unsur keagamaan dan spiritual.



FAKTOR PEMILIHAN SEKULARISME SEBAGAI ALTERNATIF DAN KRITIKAN TERHADAPNYA


Ada beberapa faktor yang menjadikan seseorang yang beragama memilih sekularisme sebagai matlamat dalam politik. Antara faktor tersebut adalah ;

1.      Kekecewaan melihat sistem politik yang berasaskan “agama” tidak memberikan kemajuan dan kemodenan yang sepatutnya dikecapi.

2.      Kagum dengan apa yang telah dihasilkan oleh Barat apabila mengamalkan sekularisme dalam sistem pemerintahan, dengan munculnya era Renaissance.

3.      Sikap sebahagian individu dan institusi beragama yang menggunakan agama untuk tujuan peribadi dan political mileage tertentu, yang menyebabkan agama itu dipandang buruk dan serong oleh masyarakat.

4.      Merasakan sekularisme sebagai alternatif sesuai untuk mengatasi masalah dan konflik yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Berdasarkan faktor-faktor ini, maka kebanyakan rakyat dan pemerintah hatta islamis sekalipun merasakan sekularisme merupakan kerangka terbaik bagi membentuk sebuah negara pada zaman moden ini. Tetapi timbul satu persoalan penting, benarkah alternatif yang telah dipilih oleh mereka ini?

Apabila kita berbicara tentang kemandulan agama dalam memberikan kemajuan, kita sepatutnya melihat kepada agama yang dikatakan mandul tersebut secara spesifik, bukan secara umum. Kemunculan sekularisme sememangnya berkait dengan sejarah panjang agama Kristian, yang didakwa menjadi antitesis kepada kemajuan ilmu, kebudayaan, teknologi dan ketamadunan. Agama Kristian yang dipimpin oleh gereja Roman Katolik telah menghalang perkembangan intelek yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun.

Disebabkan ini, Rashid Ghannouchi menyatakan bahawa hegemoni yang dipaksakan oleh gereja ke atas masyarakat Eropah itu merupakan sebuah justifikasi bagi kebangkitan sekularisme dan Renaissance. Beliau menambah lagi, "There might have been genuine intellectual, psychological, and historical justifications for the rebellion against the religious establishment, a rebellion, then, deemed essential for the emancipation of man and the progress of society."[6]

Ini bermakna; individu dan institusi agama Kristian yang bertanggungjawab kepada percambahan benih sekularisme dalam kebudayaan dan ketamadunan Barat. Islam tiada kaitan langsung dengan kemunculan ideologi sekularisme. Bahkan ketika Eropah sedang bergelut untuk mencapai kebangkitan, umat Islam yang berjiran dengan mereka di Eropah juga seperti di Andalus dan Pulau Sicily sedang menikmati ketamadunan yang tinggi di bawah naungan Islam.

Al-Attas pula berpendapat bahawa sebenarnya agama Kristian yang ditentang oleh gerakan rakyat itu (yang diakhiri dengan kemunculan sekularisme), hakikatnya bukanlah agama Kristian yang asli. Bahkan ianya merupakan interpretasi liberal yang tiada asanya oleh gereja-hanya untuk mengingkatkan hegemoni mereka kepada rakyat-. Di dalam buku Islam and Secularism, Al-Attas mengatakan “Secularization has its roots NOT in biblical faith, but in the interpretation of biblical faith by Western man; it is not the fruit of the Gospel, but is the fruit of the long history of philosophical and metaphysical conflict in the religious and purely rationalistic worldview of Western man.”[7]

Kenyataan Al-Attas ini menjawab persoalan bahawa kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah (yang membawa pemerintahan berasaskan agama) yang dikaitkan dengan kebangkitan Mustafa Kemal Atarturk yang membawa idea sekularisme. Realitinya di penghujung pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, secara spesifiknya selepas zaman Sultan Sulayman Al Qanuni (memerintah dari 1520-1566), para sultan, pembesar serta muslimin sendiri majoritinya sudah berada jauh dari landasan agama Islam yang sebenar.

Jadi, kekaguman muslimin kepada apa yang dicapai oleh Barat melalui sekularisme sebenarnya hanyalah paradoks semata-mata. Agama samawi yang disadur dengan pemahaman falsafah dan metafizik Greek diganti dengan ideologi baru, yang bersumberkan asas pemikiran rasional yang sama. Agama tidak sepatutnya menjadi kambing hitam dalam persengketaan ini, kerana hakikatnya agama yang sebenar-iaitu Islam yang dipelihara sehingga hari ini dan memansukhkan semua agama samawi terdahulu- sangat bertepatan dengan akal rasional manusia serta meraikan pemikiran logik dan intelek.


KONFLIK MASYARAKAT MAJMUK

Seringkali konflik masyarakat majmuk menjadi alasan serta justifikasi sebahagian pihak untuk mengambil sekularisme dan pluralisme sebagai penyelesaian. Realitinya, kepelbagaian agama dan bangsa bukanlah punca sebenar kepada konflik yang berlaku. Tetapi cara mengurus kepelbagaian itu yang menjadi punca, semakin bijak pluraliti diurus, semakin kurang konflik yang akan berlaku dalam kalangan masyarakat majmuk.

Sebagai contoh, negara Malaysia sudah mempunyai satu dokumen yang menjadi rujukan dan teras kepada setiap warganegara, tidak kira daripada mana-mana agama atau bangsa. Dokumen tersebut-iaitu Perlembagaan Persekutuan-perlu dirujuk setiap kali berlakunya konflik antara masyarakat, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dengan warganegara Madinah daripada kalangan muslimin ataupun selainnya melalui Piagam Madinah.

Apa-apa isu sensitif yang berlaku antara masyarakat majmuk perlu dibaca selari dengan klausa yang wujud di dalam perlembagaan. Ini akan membolehkan semua warganegara ikhlas yang menghargai negara ini, mengurus perbezaan yang ada di antara mereka dengan matang dan professional. Perlembagaan sudah menjelaskan dengan baik tentang pengiktirafan agama Islam sebagai agama persekutuan, batas-batas pengamalan setiap agama selain agama Islam, kebebasan beragama dengan had tertentu dan lain-lain lagi. Tidak sepatutnya berlaku provokasi dan kontroversi yang berterusan jika semua warganegara memahami intipati perlembagaan ini yang telah ditulis sejak berpuluh tahun yang lalu.


KESIMPULAN

Sekularisme telah membuktikan kerugiannya dari segi politik, ekonomi dan sosial jika diimport ke dalam negara-negara Islam. Sepatutnya pihak yang dikatakan progresif dan menyeru kepada tanwir ini perlu melihat dengan lebih luas akan kerangka kenegaraan berteraskan Islam, yang sebenarnya mengandungi banyak sistem dan nilai positif yang boleh diaplikasi dalam konsep bernegara pada hari ini. Masa depan untuk Islam.





[1]  Abd Rashid Moten, Political Science; An Islamic Perspective, page (1)
[2]  Ibid, page 2
[3]  Al-Attas, Islam and Secularism, page 18
[4]  Ibid, page 18
[5]  Ibid, page 18
[6]  Rachid Ghannouchi, The Conflict between the West and Islam
[7]  Al-Attas, Islam and Secularism, page 20