Tuesday 23 July 2019

MEMAHAMI POLEMIK AQIDAH VS POLITIK


Setelah membaca kertas kerja dan mendengar ceramah Ustaz Fauwaz Fadzil (UFF), saya dapat menyimpulkan ada beberapa noktah yang saya tidak bersetuju dengan beliau. Saya mengiktiraf kelimuwan beliau yang mendalam dalam ilmu Syariah, namun bagi saya ada kebenaran yang perlu dirungkai tentang polemik aqidah vs politik ini. هو شيخنا حبيب إلينا، ولكن الحق أحب إلينا منه‫..


  1. Benar, di dalam kitab aqidah, tiada bab tentang as-siyasah. Tetapi yang ada hanyalah bab al-imamah (kepimpinan). Ia asalnya adalah perbahasan dalam kitab fiqh, tetapi dimasukkan perbahasannya ke dalam kitab aqidah untuk membezakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan pegangan Syiah dan Khawarij. Di dalam bab ini dijelaskan perbezaan pegangan ahlus sunnah dan pegangan yang selainnya berkaitan imamah.
  2. Namun begitu, taqsimat itu ada konteksnya yang perlu difahami. Seperti kata Imam Al-Laqqani dalam syarah beliau atas matan  beliau sendiri Jauharah At-Tauhid, bahawa imamah yang dimaksudkan adalah perlantikan imam (nasbul imam) yang khusus adalah tidak termasuk dalam perkara aqidah. Ini jelas menafikan pegangan Syiah yang menyatakan bahawa imamah itu berlaku dengan nas (imam itu dilantik melalui nas), bukan dengan ijtihad dan baiah. Ini bermakna, sesiapa yang mengingkari imamah atau kepimpinan seseorang itu, maka dia telah kufur kerana mengingkari nas. 
  3. Sedangkan dalam aliran Ahlus Sunnah, perlantikan imam dalam daerah ijtihad, jadi sesiapa yang tidak bersama kepimpinan tersebut, tidaklah jatuh kafir. Paling jauh mungkin dilabel bughah dan pemberontak sahaja, namun beliau masih muslim.
  4. Jelas di sini, apa yang dimaksudkan bahawa isu imamah bukan aqidah bukanlah bermaksud keseluruhan isu imamah dan siyasah itu dalam tidak berada dalam ruang lingkup aqidah, tetapi beberapa isu-isu tertentu sahaja seperti ta’yin al-imam (perlantikan imam secara khusus). 
  5. UFF ada menukilkan kata-kata Imam Al-Ghazali dalam Al-Iqtisod fi Al-I'tiqad dalam muqaddimah bab Al-Imamah. Saya ingin menambah, selepas daripada muqaddimah tersebut, Imam Al-Ghazali ada membawakan perbahasan penting tentang kewajipan untuk melantik imam. Bagi Imam Al-Ghazali, melantik imam adalah kewajipan syarie, kerana imam akan menyusun atur pentadbiran dunia, yang secara langsung akan menyebabkan nizam ad-din (urus tadbir agama) menjadi tersusun. Urus tadbir agama merupakan perkara yang diperintah oleh Allah secara qat’ie, jadi perkara yang membawa kepada urus tadbir agama (perlantikan imam) juga menjadi wajib. Bukankah  perkara yang wajib dan dinaskan itu termasuk dalam daerah aqaid?
  6. Imam Al-Ghazali hanya menyatakan tentang keperluan melantik pemimpin, bukan kewajipan memilih individu tertentu sebagai pemimpin. Perlu dibezakan antara naratif Imam Al-Ghazali dan apa yang dipegang oleh Syiah Imamiyah.
  7. Saya berpegang, dan menegaskan bahawa dalam siyasah, ada perkara-perkara yang dinaskan. Kita tidak boleh mengatakan politik itu bukan aqidah secara borong.. Ia kenyataan yang benar, tetapi tidak benar dalam masa yang sama. Perlu kepada tafsilan dan penjelasan supaya golongan sekularis dan liberalis tidak mengambil kesempatan dengan hujah ini.
  8. Apa contoh isu politik yang bersangkut-paut dengan aqidah? Secara ringkasnya seperti yang disebut di atas, iaitu kewajipan melantik imam yang berkelayakan untuk memimpin urustadbir dunia dan agama. 
  9. UFF ada menyatakan tidak semua sekularisme itu membawa kepada kekufuran. Benar, hukum takfir ini jelas memerlukan kepada pelbagai prosedur untuk disabitkan kekufuran seseorang. Tetapi yang lebih penting adalah sejauh mana kita memahami falsafah di sebalik kemunculan sekularisme itu sendiri. Adakah agama Islam dan tasawwurnya sama seperti gereja Katolik yang menyebabkan kita juga perlu mengimport Renaissance dan Reformation ke dunia kita? Saya harap UFF boleh menilai kembali ijtihad ini, yang saya kira tidak tepat, bahkan tidak sesuai untuk diperkatakan dalam suasana serangan kepada institusi agama yang berlaku sekarang ini.
  10. Menafikan keseluruhan politik daripada aqidah boleh menyebabkan suburnya gerakan liberalis dan sekularis yang memang ingin mendiamkan agama daripada ruang publik masyarakat. Kita harus berhati-hati supaya tidak dipergunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk meninggikan agenda mereka.

 Wallahua’lam, kita mohon petunjuk Allah.



Amar Ismat 
23 Julai 2019

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon