Monday 20 April 2015

ANTARA FALSAFAH ISLAM DAN ILMU KALAM

Ustaz menerangkan tentang intisari persamaan dan perbezaan majāl (sudut) yang ada pada kedua-dua perbincangan tentang Falsafah Islam dan Ilmu Kalam. Sepertimana yang diketahui, sepanjang sejarah Islam, kedua-dua aliran ilmu ini tidak pernah sunyi dari menerima kritikan sesama mereka. Imam Al Ghazālī telah menolak falsafah Aristotelianism/Neo-Platonism yang dipelopori oleh Al-Fārābī dan Ibnu Sīnā dalam kitab agung beliau Tahāfut Al-Falāsifah, manakala Ibnu Rushd membalas kembali kritikan tersebut dengan karya Tahāfut Al-Tahāfut. Begitu juga Fakhruddīn Ar-Rāzi telah menulis kritikan pada aliran falsafah yang terdapat pada karya Ibnu Sīnā Al-Ishārāt wa At-Tanbīhāt, namun kritikan itu dijawab oleh Nasiruddīn At-Tūsī yang menjadi syārih kepada kitab Ibnu Sīnā tersebut.

Kembali kepada video, Ustaz Fodeh merajihkan Ilmu Kalam berbanding Falsafah Islam, yang pada pendapat beliau tidak mempunyai dhawābit yang cukup, serta ada beberapa kepincangan yang dilihat boleh mengakibatkan salah faham dalam isu aqidah yang dharūrī kepada muslim yang lain. Ini adalah kerana terdapat beberapa teori yang tidak dapat dibuktikan secara aqli serta dikatakan bertentangan dengan zahir nas dan wahyu.

Secara peribadi, saya melihat Ilmu Kalam telah melakukan check and balance kepada Falsafah Islam, supaya sentiasa berjalan atas landasan yang tepat untuk memberi hujah aqli yang betul dalam setiap aspek yang dibincangkan. Bahkan dalam tulisan Syeikh Ibrāhim Madkhour Fī Al-Falsafah Al-Islām, pekembangan ilmu Falsafah Islam sangat terkesan dengan Ilmu Kalam, kerana kedua-duanya bersaing untuk difā3 ad-dīn (mempertahankan agama) dengan hujah masing-masing.


Artikel Terkait


EmoticonEmoticon