Wednesday 18 March 2015

KERANGKA METAFIZIK DAN WORLDVIEW GERAKAN ISLAM

KECELARUAN FIQH AL-HARAKAH?

Sejak beberapa tahun lalu, wujud beberapa ahli akademik dan intelek yang mengkritik gerakan Islam/Islamisme (yang bercorak membangunkan politik dan sosial Islam) sebagai sebuah gagasan idea yang tidak lagi berupaya menghadapi cabaran zaman dan keperluan masyarakat kini. Gerakan Islam dilihat lesu dalam menangani punca permasalahan yang wujud dalam masyarakat, sekaligus dikatakan hanya menambah masalah yang sedia membarah.



Gerakan Islam juga dikatakan terpengaruh dengan globalisasi dan mengimport budaya modernisme tajaan Barat. Budaya Islamisme yang dinamakan Fiqh Al-Harakah ini, pada pandangan mereka perlu diganti dengan konsep Fiqh Al-Hadharah, kerana ia sudah tidak relevan dan bertentangan dengan tradisi keilmuan Islam dan membawa beberapa idea modernisme (walaupun pada hakikatnya mereka mendakwan membawa gagasan Islam), seperti;
1.     ANTI-TRADITION; Sikap menolak tradisi dan warisan silam peradaban Islam sebagai menjadi beban dan punca kelemahan dan kemunduran umat Islam
2.     ANTI-DOGMATISM; Sikap menolak autoriti institusi keagamaan dalam isu-isu yang berkaitan kehidupan manusia. Kebenaran tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa yang tidak jumud pada sesetengah pihak sahaja.
3.     POSITIVIST EPISTEMOLOGY; Kefahaman agama hanya tertumpu pada sumber yang rasional dan empirik (saintifik) dan menolak autoriti sumber mistik (mysticism) seperti wahyu, falsafah, ilmu kalam, tasawwuf, firasat dan lain-lain.
4.    MATERIALIST ONTOLOGY; Pergantungan kepada autoriti dalam pelbagai manifestasi seperti taqlid, habaib, tawassul, barakah dan karamah dianggap tidak benar dan sesat dalam ajaran Islam.


NOMENCLATURE (TATANAMA) YANG DISALAHFAHAMI

Istilah Islamisme yang digunakan sering disalahfahami dengan istilah Pan-Islamisme yang dipelopori oleh Syeikh Jamāluddin Al-Afghāni, Muhammad Abduh dan Rashīd Ridha. Idea Islamisme yang memperjuangkan Al-Hākimiyyah liLlah dengan menggunakan segala lapangan yang ada seperti pendidikan, sosial, ekonomi, politik dan lain-lain lebih sinonim dengan nama-nama tokoh seperti Asy-Syahīd Imam Hasan Al-Banna, Asy-Syahīd Sayyid Qutb serta Maulānā Sayyid Abul A3lā Al-Mawdūdī.

Pan-Islamisme lebih cenderung kepada dakwaan-dakwaan modernisme seperti yang diketengahkan di atas, bahkan Syeikh Jamāluddin Al-Afghāni sendiri dikenali dunia sebagai modernis Islam. Beliau membawa idea Pan-Islamisme ke serata dunia muslim dan mendakwa unsur-unsur kejumudan, taqlid, dan pengaruh sufisme yang menebal dalam kalangan umat yang menyebabkan berlakunya kemunduran pada umat Muslim pada zaman milenia ini. Laungan ini ada sedikit persamaan dengan kebangkitan pemikir Barat ketika awal kemunculan zaman Renaissance.

Tidak dinafikan, ada beberapa noktah persamaan antara idea Islamisme dan Pan-Islamisme, namun falsafah, teori dan manhaj (proses) yang dibawa keduanya berbeza. Imam Al-Banna sendiri, dalam biografi beliau Muzākirat Ad-Dakwah wa Ad-Dā3iyah menceritakan yang beliau terinspirasi dengan gerakan Syeikh Rāshid Ridha dan sering membaca majalah Al-Manār yang diterbitkan oleh syeikh. Cuma ini tidak menjadi satu dalil untuk menyamakan idea yang dipelopori oleh Imam Al Banna sama dengan idea Pan-Islamisme. Sejarah dan realiti membuktikan dari segi teori dan praktikal, kedua-dua idea ini berbeza walaupun tujuan akhir iaitu pengembalian semula Khilāfah Islāmiyyah itu serupa.



Proses Kebangkitan Islam (di sisi Imam Al-Banna dikenali dengan Manhaj Taghyir Islāmī, manakala di sisi Maulana Al-Mawdūdī dikenali dengan Manhaj Inqilāb Islāmī) adalah satu proses yang bermula dengan pentarbiyahan seorang individu yang lengkap dengan ciri-ciri seorang muslim sejati yang syumul. Individu-individu yang sudah ditarbiyyah ini akan membentuk komuniti sosial yang teguh, lalu menghasilkan arus yang membawa kepada Islamisasi negara dengan cara politik dan ekonomi. Negara-negara Islam ini akan membentuk sebuah empayar yang luas, lantas menegakkan kembali Khilafah yang telah sekian lama padam.


METAFIZIK DAN WORLDVIEW 

Dakwaan bahawa gagasan Islamisme atau fiqh al-harakah ini tidak mempunyai kerangka metafizik adalah suatu dakwaan yang agak dangkal dan kurang tepat. Bahkan gagasan ini kaya dengan metafizik dan worldview Islam yang unggul serta unik yang bersumberkan tradisi keilmuan Islam yang silam. 

Sebagai contoh, daripada tulisam-tulisan Asy-Syahid Sayyid Qutb seperti Di Bawah Naungan Al-Quran (Fī Zilāl Quran) dan Inilah Islam (Hāzā Ad-Dīn), kita dapat melihat konsep ontologi yang diketengahkan adalah konsep At-Tawhīd. Konsep Tawhīd ini boleh dinisbahkan sebagai "Ontologi Tunggal" dalam istilah falsafah. Allah sebagai pencipta al-mumkināt (alam dan segala makhluk), lantas menafikan Atheisme, Darwinisme dan Naturalisme. Selain itu, konsep ini meletakkan Allah sebagai the first cause (sebab utama), yang membawa makna setiap event (peristiwa) dan effect (akibat) secara mutlaknya berpunca daripada Allah. Causes (sebab-sebab) lain hanya  menjadi faktor pengantara kepada sebab utama iaitu Allah. Sebagai contoh, hari menjadi siang [event] kerana matahari terbit [cause]. Dengan konsep Ontologi Tunggal ini, muslim mempercayai bahawa sebab utama 'hari menjadi siang' secara mutlaknya adalah kerana kudrat Allah, manakala sebab 'matahari terbit' hanyalah menjadi pengantara semata-mata. Konsep ini seara jelas bertentangan dengan materialist ontology.

Dari sudut epistemologi, Islamisme mengamalkan konsep ontologically determined epistemology seperti yang dapat dirumuskan melalui risalah-risalah tulisan Imam Al-Banna. Epistemologi secara ringkasnya bermaksud FALSAFAH ILMU, yang membahaskan tentang isu yang berkait dengan tabiat ilmu manusia, seperti apa itu ilmu, sumber-sumber ilmu, sifat-sifat utama ilmu, jalan memperolehi ilmu,batas-batas ilmu, kemungkinan memperolehi ilmu dan lain-lain yang berkaitan. 

Dalam isu ilmu pengetahuan, adakah semua ilmu boleh diketahui dan dicapai? Adakah semua ilmu boleh diketahui dengan sumber empirikal dan rasional semata-mata? Di sini letaknya kelebihan Islam dalam mengatur hubungkait kedua antara ontologi dan epistemologi, dengan penurunan wahyu (revelasi) sebagai panduan dalam kerangka wujud dan ilmu. Di dalam ontologi Islam, manusia disifatkan sebagai makhluk yang tidak berupaya mengetahui setiap perkara dan perlu dibantu dengan petunjuk wahyu (epistemologi Islam). Manusia bukanlah pusat kepada segala ilmu pengetahuan seperti yang didakwa oleh Kebudayaan Barat, serta mempunyai keterbatasan dalam mengetahui perkara-perkara metafizik dan ghaybiyyat. Ini sekaligus menafikan dakwaan Islamisme mengamalkan konsep positivist epistemology.


RUMUSAN




Fiqh Al-Harakah/Islamisme adalah idea yang relevan untuk dipraktikkan, tanpa menafikan kepentingan Fiqh Al-Hadharah dalam pembinaan tamadun dan khilafah. Sepatutnya kedua-dua pendokong gagasan ini tidak berseteru, bahkan sepatutnya melengkapkan antara satu sama lain. Golongan intelektual seperti ulama' dan fuqaha' yang cenderung pada fiqh al-hadharah perlulah memberikan panduan serta guideline pada umara' dan wuzara' yang berkuasa ketika itu, seperti sinergi antara Nizāmuddin At-Tūsi (Nizām Al-Mulk) dan Imam Al-Juwayni yang dirakamkan dalam karya Ghiyāth Al-Umam fi Ilthiyāth Az-Zulam. Umara' dan wuzara' pula perlulah mempunyai dasar teori dan praktikal yang jelas dalam amal Islami, supaya Islamisasi yang diusahakan bukanlah hanya sekadar ketukan pada tin kosong. Ummah centric dalam rangka jemaah centric.


Artikel Terkait


EmoticonEmoticon