Friday 24 June 2016

LEGASI SEORANG PENULIS AGUNG

Mahasiswa, biar apa pun peringkat pengajiannya, perlu aktif untuk menulis terutama dalam genre artikel ilmiah. Penulisan merupakan satu tugas wajib dan bukan pilihan (al-ijbārī wa laisa al-ikhtiyārī) atas mahasiswa, lebih-lebih dengan metodologi universiti yang memerlukan mereka untuk menghasilkan karya-karya ilmiah untuk tatapan masyarakat.

Mahasiswa yang terlibat dengan aktivisme dakwah dan tarbiyah, lebih-lebih lagi memerlukan pada skill penulisan. Fikrah yang tulen, jika tidak disertai dengan hasil dan produk, tidak akan dapat disampaikan pada masyarakat dan generasi seterusnya dan akhirnya akan ditelan dengan berlalunya zaman. Sebab itu ulama' silam sangat aktif menulis untuk mewariskan ilmu dan fikrah pada generasi muslimin selepas zamannya.


TUJUAN UTAMA PENULISAN

Tetapi yang lebih penting daripada itu, adalah niat yang ikhlas dalam menghasilkan sesebuah penulisan. Dalam ayat 22 Surah As-Sajdah, Allah berfirman; 
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
[ Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar, dan yakin dengan ayat-ayat Kami.]

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, ketika mensyarahkan ayat ini menyatakan bahawa "dengan KESABARAN dan KEYAKINAN, seseorang itu akan mencapai darjat al-imāmah (pemimpin umat)." Pimpinan umat tidak lahir tiba-tiba tanpa dua elemen penting ini.

Jika seseorang menulis kerana hendak menjadi selebriti, masyhur dan terkenal, mendapat royalti serta gaji yang banyak, maka dia tidak boleh menjadi penulis agung yang karyanya menjadi imam (baca:rujukan) sepanjang zaman, walaupun selepas dia meninggalkan dunia ini. Dia hanya boleh menjadi penulis selebriti, yang hanya mendapat royalti. Tapi imam dalam ilmu dan penulis agung adalah milik mereka yang yakin dan sabar dalam proses mendalami, menulis dan menyebarkan ilmu walaupun berhadapan pelbagai mehnah dan tribulasi.

Imam Al-Bukhari, ketika hayatnya, beliau telah dibuang dari pelbagai negara yang dilawati beliau. Ini menyebabkan beliau mati dalam buangan, ketika beliau masih bermusafir mencari negara yang sudi menerima batang tubuhnya untuk berteduh. Namun karya beliau Sahih Al-Bukhari menjadi rujukan pertama dalam sumber pensyariatan selepas Al-Quran yang digunakan sehingga hari ini, dan sehingga hari Kiamat insya Allah.

Imam Ahmad Bin Hanbal juga diuji ketika fitnah Muktazilah melanda pemerintahan kerajaan Islam, menyebabkan beliau diseksa dan akhirnya dipenjarakan akibat enggan menyetujui iktiqad Muktazilah yang menyatakan bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Namun selepas beliau meninggal dunia, karyanya Musnad Ahmad menjadi rujukan utama dalam hadith sahih dan tersenarai dalam 9 kutub al-ahadith yang disenarai sebagai kitab-kitab paksi dalam ilmu hadith ar-riwāyah.


IDEA ADALAH PAKSI

Penulisan yang mantap dan berkesan juga memerlukan tempoh yang panjang untuk mematangkan idea. Tulisan ilmiah merupakan genre yang berbeza, tidak seperti genre penulisan lain yang bergantung pada gaya bahasa dan susunan ayat semata-mata. Tulisan ilmiah berpaksikan kepada keaslian idea dan pemikiran yang genuine, untuk memastikan tulisan tersebut betul-betul memberikan manfaat dan maslahat pada umat keseluruhannya, dan bukan sekadar sampah yang hanya merosakkan serta mengotorkan pemikiran masyarakat.

Sekali lagi, Imam Bukhari menjadi contoh, apabila menghasilkan kitab sahihnya dalam tempoh 16 tahun, tempoh yang lama untuk penulisan sesebuah buku. Manakala kitab Fathul Bari syarah kepada Sahih Al-Bukhari karya Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani mengambil masa 40 tahun untuk disempurnakan seperti yang ada di perpustakaan seluruh dunia ketika ini.


Saya tutup perkongsian ini dengan menukilkan kata-kata Ustaz Dr Mahmoud Abdel Rahman, Dekan Fakulti Usul Fiqh, Kuliyah Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar Kaherah;

"فالأمة يحميها رجلان، الفارس بسيفه والعالم بقلمه"

"Umat ini dipelihara oleh dua jenis golongan, panglima perang dengan pedang mereka, serta ilmuwan dengan tulisan mereka."

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon