Monday 16 June 2014

AGAMA DAN NEGARA; MENELUSURI DEFINISI SEKULARISME

    

     Kita sering melihat, hujah para pensinis agama (baca: Islam) banyak berkisar tentang campurtangan negara dalam urusan private sphere (skop peribadi) rakyat yang sepatutnya bebas dalam melakukan perkara yang tidak memberi mudarat pada komuniti sekeliling (pada pandangan mereka). Sebagai contoh yang nyata, jabatan-jabatan agama negeri tidak boleh menyerbu sesuka hati mana-mana kelab malam atau hotel bajet untuk membanteras kes khalwat ataupun pelacuran yang berlaku (yang terbaru serbuan terhadap majlis perkahwinan), atas hujah kebebasan hak asasi yang disadurkan dengan hujah dalam isu tajassus (mengintip orang lain melakukan kesalahan).

     Jawapan mudah boleh diberikan kepada pensinis agama ini. Memang betul, tugas negara dalam isu legislatif dan eksekutif lebih bersifat public sphere (skop awam). Namun, dalam falsafah politik Islam, Islam telah menggariskan beberapa unsur penting dalam menangani isu yang berkaitan dengan private sphere, dan telah meletakkan batas terhadap kebebasan bersuara dan hak asasi. Ini adalah bertujuan supaya negara sentiasa aman dan tidak dicemari dengan norma-norma yang boleh menjahanamkan masyarakat. Negara mempunyai autoriti untuk masuk campur dalam isu private sphere dalam keadaan tertentu demi menolak mudharat yang lebih besar yang bakal berlaku.

     Sebagi contoh, ketika zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, baginda memerangi golongan yang enggan membayar zakat, riddah (murtad) dan nabi palsu. Isu-isu yang diperangi ini bukanlah isu negara, tetapi isu peribadi beberapa individu dalam umat ketika itu. Namun, dengan ijtiihad Saidina Abu Bakar, dan setelah disyurakan dengan beberapa sahabat yang lain, maka mereka mengambil keputusan untuk memerangi golongan-golongan ini, walaupun pada luarannya, isu ini tidak akan menjejaskan perkembangan politik dan ekonomi empayar Islam ketika itu. 

     Islam tidak seiras sekular. bahkan umpama langit dan bumi yang tidak akan bertemu. Islam turun dari langit, sekular tumbuh dari bumi. Di dalam Islam, isu agama ada yang menjadi tanggungjawab individu dan ada yang di bawah tanggungan negara, berbeza dengan sekularisme yang meletakkan urusan agama hanyalah tanggungan peribadi semata-mata.  Sebab itu politik Islam istimewa dan sukar difahami oleh masyarakat yang dibentuk acuan politiknya dengan acuan sekular. Begitu juga isu negara, ada beberapa unsur yang dinaskan oleh nas-nas agama yang wajib diikuti, dan ada yang dibuka ruang ijtihad seluasnya dalam kerangka wahyu Ilahi.

     Baru kita memahami, kenapa Islamis bersungguh-sungguh ingin menegakkan negara Islam seperti yang dicita-citakan semua gerakan Islam di seluruh pelusuk dunia. Ini adalah kerana, itu adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh agama terhadap negara, sebagaimana tanggungjawab agama terhadap individu. Kewajipan menegakkan negara yang berlandaskan syariat, adalah sama tuntutannya dengan kewajipan mendirikan solat lima waktu. Ini amat berbeza dengan falsafah politik sekular, yang memisahkan antara private dan public, antara agama dan negara!

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon